Trending
Asia

Hong Kong didakwa 'enggan haram buruh paksa'

HONG KONG: Seorang mangsa penderaan seks yang kesnya membawa kepada teguran kehakiman terhadap kegagalan Hong Kong mengharamkan buruh paksa, mengakui terkejut dengan tindakan kerajaan untuk merayu keputusan penting itu.

April lalu, seorang hakim memutuskan kekurangan undang-undang antipemerdagangan khusus di Hong Kong menyumbang kepada kegagalan polis menyiasat penderaan pembantu rumah Filipina, yang dikenal pasti di mahkamah sebagai 'CB'.

Kesimpulan itu selari laporan Amerika Syarikat (AS) mengenai pemerdagangan manusia, bulan lalu, yang mendakwa hab kewangan China 'tidak memenuhi piawaian minimum bagi penghapusan pemerdagangan'.

Namun, harapan keputusan itu akan membawa kepada reformasi perundangan yang pantas, musnah kerana Jabatan Kehakiman bandar itu mengesahkan membuat rayuan bagi kes itu.

"Saya sangat terkejut dengan kerajaan (rayuan)," kata CB semalam, sambil menambah pembaharuan undang-undang diperlukan bagi mencegah 'layanan tidak berperikemanusiaan'.

Peguamnya, Patricia Ho, berkata dia menjangkakan kerajaan 'berjuang hingga ke akhirnya' untuk menegakkan undang-undang.

Pegawai Hong Kong berulang kali menjelaskan, pemerdagangan manusia 'tidak pernah menjadi masalah lazim' di bandar itu dan jenayah berkaitan ditangani undang-undang sedia ada.

Namun, hakim dalam penulisannya April lalu, berkata ada kesalahan khusus yang boleh membantu polis memfokuskan siasatan mereka dengan betul, manakala pegawai dalam kes CB terlalu cepat menolak kemungkinan buruh paksa.

Memetik rayuan yang sedang dijalankan, polis bagaimanapun enggan mengulas siasatan baharu mereka terhadap kes CB.

Hong Kong kini mempunyai kira-kira 340,000 pembantu rumah asing, kebanyakannya wanita dari Filipina dan Indonesia.

Amnesty International berkata, Hong Kong gagal melindungi pekerja asing secara berkesan daripada penderaan dan eksploitasi, selain menggesa 'undang-undang komprehensif mengenai pencegahan, pendakwaan dan perlindungan'. - AFP

Related Article