BEIJING: Penyakit pernafasan semakin meningkat pada tahap membimbangkan di China susulan penularan virus 'human metapneumovirus' (HMPV), iaitu virus pernafasan yang kini menjejaskan beberapa negara Asia lain.
Terdapat aduan mengenai hospital penuh sesak dan sistem penjagaan kesihatan yang tertekan akibat penularan pantas virus terbabit terutama di kawasan utara China, menurut pihak berkuasa kesihatan negara itu.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China (CCDCP) mengesahkan bahawa wilayah utara China paling teruk terjejas. HMPV, yang boleh menjangkiti semua peringkat umur, kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak, sekali gus menimbulkan kebimbangan kesihatan awam.
Walaupun laporan di media sosial menggambarkan keadaan yang kritikal, pegawai China dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum mengisytiharkan darurat setakat ini.
Wabak itu meningkatkan kesedaran mengenai keperluan langkah pencegahan, terutama kerana tiada vaksin untuk HMPV walaupun virus itu telah dikenali selama hampir dua dekad.
Pakar kesihatan menggesa orang ramai berwaspada dan mematuhi garis panduan kesihatan awam bagi mengehadkan penyebaran virus.
Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai supaya membasuh tangan, memakai pelitup muka, dan mengambil langkah berjaga-jaga lain.
Pihak berkuasa di seluruh Asia sedang memantau dengan teliti wabak selesema dan penyebaran virus pernafasan di China.
Kawasan yang berdekatan dengan China sedang melaksanakan langkah pemantauan ketat. Sebagai contoh, Hong Kong melaporkan hanya beberapa kes manakala pihak berkuasa kesihatan Jepun sedang giat menangani isu itu, di mana jumlah bagi musim ini mencecah 718,000 kes.
Susulan wabak influenza yang ketara, Jepun melaporkan ribuan kes di seluruh negara. Menurut laporan media tempatan, 94,259 pesakit selesema direkodkan dalam seminggu sehingga 15 Disember di lebih 5,000 hospital dan klinik di seluruh negara.
Menurut CCDCP, human metapneumovirus (HMPV), yang tergolong dalam keluarga Pneumoviridae dan genus Metapneumovirus, adalah virus RNA rantaian tunggal bersifat negatif yang bersampul.
Kajian serologi menunjukkan bahawa ia telah wujud sekurang-kurangnya selama 60 tahun dan tersebar di seluruh dunia sebagai patogen pernafasan biasa.
Kanak-kanak, golongan kurang ketahanan badan, dan warga emas lebih mudah terdedah serta cenderung mengalami jangkitan bersama dengan virus pernafasan lain.
HMPV sering menyebabkan gejala selsema biasa seperti batuk, demam, hidung tersumbat, dan nafas berbunyi, tetapi dalam kes yang teruk, ia boleh mengakibatkan bronkitis dan radang paru-paru.
Bagi individu yang mempunyai masalah perubatan asas, jangkitan HMPV boleh menyebabkan kematian, yang mana satu peratus daripada kematian berkaitan jangkitan pernafasan akut dalam kalangan kanak-kanak bawah umur lima tahun boleh dikaitkan dengan HMPV.
Pada masa ini, tiada vaksin atau ubat yang berkesan untuk HMPV, dan rawatan lebih tertumpu pada melegakan gejala. - AGENSI