Trending
Eropah

Ribuan PATI serbu pagar sempadan di Melilla Sepanyol

MADRID: Kira-kira 2,000 pendatang cuba menyerbu sempadan yang memisahkan kawasan Melilla Sepanyol dari Maghribi hari ini, percubaan pertama besar-besaran itu sejak kedua-dua negara memperbaiki hubungan diplomatik Mac lalu.

Melilla dan Ceuta, wilayah Afrika Utara yang kecil di Sepanyol, mempunyai satu-satunya sempadan darat Kesatuan Eropah (EU) dengan Afrika, menjadikannya lokasi tumpuan bagi pendatang asing tanpa izin (PATI).

Delegasi tempatan kerajaan Sepanyol dalam satu kenyataan, berkata kira-kira 2,000 PATI pergi ke sempadan pada waktu subuh dan lebih 500 orang berjaya memasuki kawasan kawalan sempadan selepas memotong pagar dengan gunting.

"Daripada jumlah itu, 130 adalah PATI dari sub-Sahara Afrika, kesemuanya lelaki dan nampaknya golongan dewasa, berjaya memasuki Melilla.

"Maghribi mengerahkan sejumlah besar pasukan untuk cuba menangkis serangan di sempadan dengan 'bekerjasama secara aktif' bersama pasukan keselamatan Sepanyol," katanya dalam satu kenyataan.

Imej yang disiarkan menerusi media Sepanyol menunjukkan PATI yang keletihan berbaring di kaki lima di Melilla, ada di antaranya dengan tangan berdarah dan pakaian koyak.

Pada Mac lalu, Sepanyol menamatkan krisis diplomatik selama setahun dengan menyokong rancangan autonomi Maghribi untuk Sahara Barat, kembali kepada pendirian berkecuali selama beberapa dekad.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez kemudian melawat Rabat, dan kedua-dua kerajaan memuji 'tahap baharu" dalam hubungan.

Perselisihan itu bermula apabila Madrid membenarkan pemimpin Barisan Polisario, Brahim Ghali, yang juga pejuang prokemerdekaan Sahara Barat dirawat kerana wabak COVID-19 di hospital Sepanyol pada April 2021.

Sebulan kemudian, kira-kira 10,000 PATI melintasi sempadan Maghribi ke dalam kawasan Ceuta Sepanyol ketika pengawal sengaja tidak menghiraukannya, yang dilihat Rabat sebagai cara 'menghukum' Sepanyol. - AFP

Related Article