Trending
Selebriti

Saari Amri terus aktif cipta lagu

KUALA LUMPUR: Daripada seorang bekas pemanjat kelapa, buruh binaan dan anak yang terabai kasih sayang ketika dirinya amat memerlukan, kepayahan yang dilalui itu akhirnya menghadiahkan sebuah kejayaan buat seorang insan bernama Saari Amri.

Insan seni cukup berbakat ini juga membuktikan kejayaan bukan hanya menjadi milik mereka yang ada segulung ijazah di tangan.

Saari Amri atau nama sebenarnya Saari Jusoh membuktikan, tanpa sebarang kelayakan akademik, dia mampu membina nama sebagai seorang ikon terhebat dalam industri muzik tanah air sekitar era 90-an.

Sebut sahaja namanya, pasti ramai yang dapat membayangkan wajah penyanyi yang pernah popular dengan lagu ciptaannya seperti Ziana Zain, Ukays, Slam, Ella, Shima, Nike Ardilla, Azie dan Aris Ariwatan.

Boleh dikatakan, Saari memiliki sentuhan emas kerana setiap karya yang dihasilkannya pasti akan popular dan menjadi pilihan deejay untuk diputarkan di corong radio.

Tidak keterlaluan juga andai dikatakan, dia seorang komposer dan penulis lirik yang paling popular serta hidup mewah hasil royalti lagu hits ciptaannya ketika itu.

Bekerja seawal usia 12 tahun

Mengimbau kembali detik awal ketika mula menceburkan diri dalam dunia muzik, lelaki berasal dari Kelantan ini mengaku, untuk mencapai kedudukan sekarang, ia tidaklah semudah disangka. Terlalu banyak halangan dan onak duri harus ditempuhinya.

"Saya tak belajar tinggi dan sekolah pula setakat darjah enam, atas faktor kemiskinan. Pada usia 12 tahun, saya sudah bekerja di ladang kelapa dan empat tahun kemudian, saya berhijrah ke Singapura untuk menjadi buruh kontrak di sana. Ketika bercampur dengan kawan-kawan di sana, saya mula berjinak-jinak dengan muzik, iaitu bermain gitar.

"Ketika itu, ada juga saya mencipta lagu sendiri dan memperdengarkan karya itu kepada mereka. Dari situlah mereka mula mengesan bakat saya dan meminta saya berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencuba nasib, sekali gus merealisasikan hasrat menjadi seorang penyanyi dan pencipta lagu," cerita Saari dalam pertemuan eksklusif bersama HIP di kediamannya di Pandan Mewah, Ampang, baru-baru ini.

Pandang Pertama ciptaan pertama diterima

Sangkanya, perjalanan untuk mengejar cita-citanya itu dipermudahkan, namun apa yang berlaku adalah di sebaliknya.

"Banyak lagu yang saya hantar ke syarikat rakaman kena tolak mentah-mentah. Pada pendengaran saya, lagu yang saya cipta itu sedap didengar, tetapi syarikat rakaman mempunyai pandangan berbeza.

"Apabila wang simpanan habis, saya kembali ke kampung. Kemudian, saya datang semula ke ibu kota untuk mencuba nasib buat kesekian kalinya.

"Mengenangkan kembali zaman susah dulu, saya memang sedih. Pernah satu tahap, saya terpaksa mengemis, meminta makanan di kawasan Jalan Chow Kit semata-mata untuk meneruskan hidup. Mujurlah ada yang bersimpati.

"Puas mencuba, akhirnya Tuhan membuka pintu rezeki saya apabila lagu saya diterima oleh syarikat rakaman NSR. Lagu itu berjudul Pandang Pertama, nyanyian Rohana Jalil. Kiranya, itulah lagu saya yang pertama diambil syarikat rakaman," imbas bapa kepada empat cahaya mata ini.

Lagu Pasti ubah kehidupan

Pintu untuk menempa kejayaan seterusnya terbuka apabila sebuah lagi lagu ciptaannya menjadi popular dan menurut Saari, ia menjadi detik paling manis, yang seterusnya membawa langkahnya sehingga berada pada kedudukan hari ini.

"Waktu itu, saya bekerja kilang di Cheras dan lagu saya, Pasti, yang dinyanyikan kumpulan Mega menjadi hits. Percaya dengan bakat saya, bos syarikat rakaman BMG Records waktu itu, Datuk Aziz Bakar, menawarkan saya bekerja di bahagian stor dan dari situlah saya menimba pengalaman sambil mencipta lagu.

"Saya memang tak memilih kerja kerana saya sedar, saya tidak belajar tinggi. Bagaimanapun, saya anggap ia sebagai peluang terbaik untuk mengejar cita-cita, hinggalah saya ditawarkan untuk memegang jawatan Pengurus di syarikat rakaman terbabit," kata lelaki berusia 50 tahun ini.

Sebagai komposer yang tidak mempunyai pendidikan formal dalam bidang muzik, Saari memberitahu, dia mempunyai formula tersendiri dalam menghasilkan sesebuah lagu.

"Setiap lagu yang dihasilkan datangnya daripada hati kerana saya percaya, pendengar boleh rasa dan menjiwai karya yang dihasilkan secara jujur. Sebab itu, lagu yang dicipta sebegitu mudah diterima dan menjadi popular. Dan, saya juga suka menghasilkan lagu yang bernada tinggi kerana bagi saya, ia menerbitkan rasa teruja sebagai seorang komposer," kata komposer dari Tanah Merah ini.

Dedah rahsia nama Amri

Tentu ramai yang ingin tahu, dari mana datangnya Amri yang diletakkan pada penghujung namanya itu. Dedah Saari, ada maksud tersendiri di sebalik penghasilan nama itu.

"Selepas mak dan ayah berpisah, saya dibesarkan oleh emak. Dialah yang banyak berkorban untuk saya. Pada mulanya saya letak nama saya sebagai Saari AM yang bermaksud Saari anak mak. Bagaimanapun, untuk menyedapkan lagi nama itu, kawan-kawan mencadangkan supaya ia dipanjangkan menjadi Amri. Lagipun bunyinya lebih sedap," katanya.

Masih aktif mencipta lagu

Sementara itu, kelibatnya yang jarang kelihatan di kaca televisyen membuatkan ramai yang menyangka Saari kini dipinggirkan berikutan dirinya sudah tidak lagi relevan kepada industri.

Saat diajukan pertanyaan berkenaan kepada si empunya diri, Saari menepis dakwaan tidak berasas itu.

"Sejujurnya, saya masih aktif mencipta lagu. Terbaru, saya ada menerbitkan album baharu penyanyi, Aris Ariwatan dan single untuk mereka yang berminat menjadi penyanyi. Selain itu, saya juga sering mendapat undangan untuk menjadi juri pertandingan nyanyian.

"Pernah juga saya ditawarkan untuk menjadi juri tetap program realiti. Bagaimanapun, saya terpaksa menolaknya kerana pernah berlaku sebelum ini, peserta yang saya pilih dan dirasakan layak untuk menang digagalkan kerana produksi mahu peserta lain, atas pelbagai alasan. Perkara seperti inilah yang membuatkan saya tawar hati untuk menerima sebarang undangan. Lebih selesa duduk di belakang tabir sahaja," kata Saari yang pernah mencuba nasib menjadi penyanyi bersama kumpulan Ways ini.

Guna duit royalti besarkan anak

Banyak menghabiskan masanya di rumah dan sesekali di pejabat, Saari bersyukur kerana segala kerja keras ketika namanya berada di puncak banyak membantunya untuk meneruskan kehidupan.

"Terus-terang, duit royalti yang saya dapat saban tahun itulah yang digunakan untuk menampung kehidupan dan membesarkan anak-anak yang masih belajar. Bak kata orang, masa untuk menuai hasil selepas bercucuk tanam.

"Selama 30 tahun dalam industri, saya ada 600 lagu yang sudah berada di pasaran dan lagu popular saya bersilih ganti muncul di dunia muzik. (Keadaan) Ini berbeza dengan komposer sekarang yang ada sebuah lagu popular, lepas itu senyap. Apapun, saya bersyukur dengan kehidupan saya sekarang. Lebih tenang dan santai," kata Saari yang peramah ini.

INFO
Nama: Saari Jusoh
Nama Komersial: Saari Amri
Usia: 50 tahun
Tempat Lahir: Tanah Merah, Kelantan
Kerjaya: Komposer, Penulis lirik, Penerbit Album
Tahun Aktif: 1989-2000, 2009-kini
Label: Menora Music Entertainment
Isteri: Senorita Abdul Rahman
Anak: Mohd Fitri Amri, 22; Iraas Irmarita, 21; Iraas Marliany, 15; dan Amri Farizuan, 14.
Lagu Popular: Madah Berhelah, Putus Terpaksa dan Kemelut Di Muara Kasih (Ziana Zain); Di Sana Menanti Di Sini Menunggu dan Seksa (Ukays); Gerimis Mengundang (Slam); Sembilu (Ella); Lamunan Terhenti (Aris Ariwatan); Ramalanku Benar Belaka (Umbrella); Butakah Cinta (Spring); Luka Seribu Rindu (Fotograf); Pelamin Anganku Musnah dan Kau Tetap Dalam Anganku (Azie); Penantian (Blackrose); Pasti (Mega); Yang Terlarang Itu Godaan (Sweet Child); Suci (May); Sesat Dalam Rindu (Damasutra); Diri Terlindung (Nike Ardilla); Bara (Datuk Awie); Setelah Aku Kau Miliki (Shima); dan Pasrah (Erra Fazira).

Diskografi

  • Koleksi Ciptaan Terbaik Saari Amri (1992)
  • Koleksi Ciptaan Terbaik Saari Amri Vol II (1993)
  • Baik Punya (1998)
  • Rock Berbisa
  • Lentok Berbisa (bersama Eddie Hamid)
  • Tajam Berbisa (2011)