Trending
Selebriti

Teman anggap Saari pencipta lagu luar biasa

KUALA LUMPUR: Disenangi ramai, kuat bekerja, cendikiawan, pemurah, baik hati dan seorang yang mempunyai semangat setia kawan cukup tinggi.

Itulah antara sifat dimiliki komposer, Saari Amri, mengikut pandangan rakan artis, sahabat rapat dan pelbagai pihak yang mengenali dirinya.

Bukan pujian kosong, namun berpeluang bekerja dengan pencipta lagu itu dan pengalaman berada di sisi lelaki berkenaan membuatkan masing-masing sepakat mengatakan Saari sememangnya seorang insan yang hebat, bukan saja di arena seni tetapi juga dalam persahabatan.

Antara mereka yang mengakui hakikat itu ialah penerbit album, komposer dan penulis lirik terkenal, Azam Dungun.

Bermula sebagai rakan dalam industri, hubungan antara mereka berlanjutan sebagai sahabat karib. Azam yang kini bergelar pensyarah kanan muzik di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) menyifatkan Saari sebagai komposer yang pintar dalam berkarya.

"Sebagai seorang yang tidak pernah mendapat pendidikan secara formal dalam bidang muzik, saya anggap kebolehannya mencipta lagu dan mampu menjadikan karyanya popular sebagai anugerah kurniaan Tuhan.

"Boleh dikatakan, untuk era 90-an, lagu ciptaannya sangat segar. Apabila kita mendengar lagu ciptaannya, ia bagaikan sebuah cerpen yang mengandungi pelbagai cerita.

"Selain menghasilkan lagu berdasarkan gerak hati, liriknya juga dicipta berdasarkan pengalamannya sendiri. Faktor itulah yang membuatkan lagunya mudah melekat dalam diri pendengar," katanya ketika dihubungi HIP.

Kerjasama erat persahabatan

Azam berkata, faktor yang membuatkan tali persahabatan mereka bertambah erat apabila dia dan Saari saling bekerjasama dalam berkarya.

"Lirik pertama yang saya hasilkan untuk Saari ialah lagu Kembali Mencari nyanyian kumpulan Ukay. Waktu itu, kumpulan berkenaan masih menggunakan nama Ukay. Nama album itu pula adalah Mencari. Selepas itu, banyaklah juga saya menghasilkan lirik untuk lagi ciptaannya.

"Kebanyakan lirik yang saya tulis adalah untuk kumpulan Slam, antaranya ialah Tak Mungkin Berpaling, Kembali Merindu, Manisnya Rindu dan pelbagai lagi.

"Saari juga ada menulis lirik untuk saya, menerusi lagu Duit. Itulah lirik pertama dan terakhir daripadanya untuk lagu ciptaan saya," cerita Azam.

Mudah percayakan orang

Bercerita mengenai komposer yang menaikkan nama ramai penyanyi, sama ada secara solo dan mahupun berkumpulan, itu dari sudut pandangan seorang sahabat, Azam mengakui Saari seorang yang sangat baik hati dan mudah percayakan orang.

"Kadang-kadang, sikapnya itu membuatkan ada pihak suka mengambil kesempatan ke atasnya. Sebagai kawan, kita kasihan juga dengannya. Bagaimanapun, jika kita memberikan nasihat sekalipun, memang ia tak memberi apa-apa kesan kerana itulah perangai sebenarnya.

"Walaupun kami sama-sama sibuk, dia di Kuala Lumpur dan saya di Tanjung Malim, sesekali kami akan tetap berjumpa sama ada untuk melepak ataupun sama-sama menghadiri mesyuarat badan kutipan royalti yang kami anggotai," katanya.

Suka tukar kereta

Turut berkongsi pandangan serupa dengan komposer dan penulis lirik terbabit ialah penyanyi yang terkenal dengan lagu nada tinggi, Ziana Zain. Tidak dinafikan, Ziana antara penyanyi yang berjaya mencipta fenomena menerusi lagu ciptaan lelaki terbabit.

Lagu Saari yang berjaya membawa nama bekas pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) ini ke persada seni ialah Madah Berhelah.

Ziana berkata, sikap pemurah dan baik hati Saari ada ketika membuat orang sekelilingnya geleng kepala.

"Saari seorang yang suka tukar kereta. Apabila ada kereta baharu yang menarik perhatiannya, dia akan beli dan kenderaan lama akan dijual. Apa yang membuat kami pelik, dia hanya akan meminta pembeli keretanya itu untuk sambung bayar, tanpa meminta bayaran pendahuluan.

"Kalau diikutkan, perbuatannya itu bakal membuatkannya menanggung risiko yang tinggi. Namun itulah sikapnya, kalau kita cakap pun, bukannya dia dengar," cerita kakak kepada penyanyi Anuar Zain ini.

Nafi bermasam muka

Bekerja dengan Saari, kata Ziana, memberi pengalaman yang berbeza buatnya, terutama dari segi cara penghasilan lagu.

"Cara kerja dia memang pelik sikit kerana dia akan dapat ilham secara spontan. Contohnya, hari ini kami berjumpa dan berbual-bual, esoknya dia akan telefon saya untuk memaklumkan, dia ada lagu baharu untuk saya. Kiranya, macam satu kejutan buat saya," katanya sambil ketawa.

Mengenai hubungannya dengan komposer berkenaan, Ziana berkata, walaupun ada gosip mengatakan mereka bermasam muka, Ziana menafikan perkara itu.

"Saya dan dia baik-baik sahaja. Biasalah mulut orang, kadang-kadang cerita yang dinyatakan lain, tetapi cara dan intonasi ia disampaikan mungkin menyebabkan orang salah faham. Yang penting, kita sendiri tahu situasi sebenar," katanya.

Selain Madah Berhelah yang diterbitkan pada 1991, banyak lagi lagu ciptaan Saari dinyanyikan oleh Ziana, antaranya Kekal, Kemelut Di Muara Kasih dan Tika Naik Tika Jatuh.

Nasib berubah selepas bertemu Saari

Seorang lagi artis yang cukup sinonim dengan karya ciptaan Saari tentunya Amir, yang juga bekas vokalis kumpulan Ukays. Menyingkap kembali tirai sejarah kejayaan kumpulan terbabit, tidak dinafikan semuanya disebabkan sentuhan emas komposer berkenaan.

Amir berkata, jujurnya dia amat terhutang budi pada Saari kerana mempercayai bakatnya, sekali gus menjadikan Ukays sebagai kumpulan popular sekitar era 90-an serta meraih jualan album melebihi 400 ribu unit.

"Saya masih ingat kali pertama bertemu Saari ketika menghadiri uji bakat untuk menjadi artis. Sebelum itu, saya pernah mempunyai album bersama kumpulan Analisa. Namun, percubaan sulung itu tidak membuahkan rezeki. Selepas uji bakat, saya kemudiannya diterima menjadi artisnya dan diserapkan sebagai vokalis kumpulan Ukay.

"Selepas saya menyertai kumpulan itu, namanya ditukar menjadi Ukays. Malangnya, nasib sekali lagi tidak menyebelahi saya apabila album berkenaan juga tidak menjadi. Walaupun ada lagu popular di dalamnya, tetapi album terbabit tidak laku. Waktu itu saya memang sangat kecewa dan memutuskan untuk mengundurkan diri dari bidang seni serta mencari kerja lain.

"Bagaimanapun, Saari tidak berputus asa dan memujuk saya untuk terus menyanyi. Lalu, terhasillah album Bisa Berbisa, sekali gus meletakkan nama Ukays sebagai kumpulan paling popular, seterusnya mengubah kehidupan kami semua," katanya.

Garang apabila bekerja

Berkongsi pengalamannya bekerjasama dengan komposer terbabit, Amir mengakui Saari seorang yang sangat garang, terutama ketika bekerja.

"Pernah juga saya dimarahi oleh Saari kerana gagal menyanyikan lagu seperti yang dikehendakinya. Biasalah, lagu dia semuanya bernada tinggi. Waktu itu, terasa jugalah hati ini, tetapi apabila mengenangkan dia berbuat begitu kerana mahukan yang terbaik, saya terima saja tegurannya.

"Seperkara mengenai Saari, semua lagu ciptaannya dibikin berdasarkan pengalamannya sendiri. Sebagai contoh, lagu Di Sana Menanti Di Sini Menunggu adalah kisah benar dirinya yang menjalinkan percintaan dengan dua gadis. Perasaan dilemanya itu diceritakan kepada saya. Tiba-tiba muncul lagu itu dan dia minta saya merakamkannya," katanya.

Dalam temubual itu juga, pemilik nama Mohd Azmir Muhammad Yusof ini turut mendedahkan cerita mengenai lagu Gerimis Mengundang yang dipopularkan oleh kumpulan Slam.

"Kali pertama mendengar melodi lagu itu, saya terus tertarik dan meminta Saari memberikannya kepada Ukays. Bagaimanapun, dia enggan memberikannya kepada kami dengan alasan, sudah terlalu banyak lagu yang sedap-sedap dalam album Ukays. Kebetulan, Slam ada meminta lagu daripadanya dan dia pun menyerahkan Gerimis Mengundang kepada kumpulan berkenaan.

"Memang terkilan sangat, tetapi nak buat macam mana, dia berhak untuk menyerahkan lagu itu kepada sesiapa sahaja," ujarnya.

Rapat dengan semua pekerja

Sebagai bekas pegawai perhubungan awam syarikat rakaman BMG Music, yang mengedarkan album Ukays, Rouslan Moktar, pula memuji sikap Saari yang sangat merendah diri dan tidak kisah untuk bercampur dengan pekerja bawahan.

"Waktu itu, Saari bertugas sebagai Artis & Repertoire (A&R) Mekar Productions. Walaupun menjalankan tugas sebagai A&R, dia tetap ambil tahu mengenai semua perkara.

"Dia juga rapat dengan pekerja bahagian jualan dan pengedaran serta pemilik kedai muzik kerana dulu dia pernah bekerja di bahagian stor. Disebabkan itu, dia tahu membuat pemasaran sekali gus menyebabkan albumnya laris," katanya.

Seorang yang pemurah

Mengenai sikap Saari sebagai teman, Eksekutif Pemasaran Nova Music ini memberitahu, komposer disegani itu sememangnya seorang yang sangat pemurah.

"Dia juga seorang yang tidak berkira. Pernah suatu ketika, waktu itu telefon bimbit sedang popular. Untuk memudahkan urusan, saya membeli telefonnya dan berjanji untuk bayar secara bulanan. Bagaimanapun Saari kemudiannya menolak untuk menerima bayaran dan memberikannya secara percuma kepada saya.

"Saari juga seorang yang panas baran, terutama apabila membabitkan soal kerja dan masa. Saya pernah nampak dia membaling telefon bimbitnya hingga berkecai disebabkan orang yang dihubungi tidak menjawab panggilannya, sehingga menyebabkan semua urusannya tertangguh," cerita Rouslan.

INFO

  • Pada 1994, Saari mencipta sejarah apabila album Ukays, Bisa Berbisa, berjaya mencatat jualan 400 ribu unit sebelum rekod itu dipecahkan kumpulan Raihan menerusi Puji Pujian (1996).
  • Lagu Gerimis Mengundang ciptaan Saari mencatat sejarah tersendiri buat komposer ini apabila dialih bahasa kepada 20 dialek Nusantara.
  • Pada 2013, Saari pernah muncul dengan sebuah lagu ketuhanan berjudul Maha Bijaksana.