KUALA LUMPUR: Keadaan kesihatan bintang utama drama Mr Grey, Fendy Bakry, yang dilaporkan pulang ke Perlis untuk berubat akibat terkena penyakit misteri, masih tidak berubah.
Menurut kakaknya yang dikenali sebagai Fahaniza, sehingga kini belum ada perubahan pada diri pelakon itu.
"Keadaannya masih sama. Belum ada perubahan. Jika ada apa-apa perkembangan nanti, saya maklumkan," katanya yang menjawab mesej dikirimkan ke WhatsApp adiknya.
Menurut laporan media sebelum ini, Fendy, 30, berada dalam keadaan lemah dan sukar untuk bercakap.
Sehingga semalam, bagaimanapun, akaun Instagram pelakon terbabit masih aktif dengan perkongsian kerja seninya.
Sementara itu, pelakon utama wanita drama terbabit, Eyra Hazali, tidak menyangka keadaan dan kesihatan teman gandingannya begitu teruk.
"Selama kami di lokasi penggambaran, tak nampak pula dia sebenarnya menyembunyikan sakit atau seperti orang yang lemah. Cuma sekali-sekala saya nampak dia memang kepenatan. Pada mulanya saya anggap ia keadaan biasa apabila terikat dengan kerja lakonan.
"Saya memang sedih mendapat perkhabaran mengenainya. Tidak hairanlah selama ini dia tak pernah menyertai acara promosi drama lakonan kami.
"Saya berharap, kita sama-sama memanjangkan doa semoga kesihatannya kembali pulih seperti sedia kala," kata Eyra.
Baru-baru ini, BH Online melaporkan, pelakon lelaki itu terpaksa pulang untuk berubat di kampung apabila didakwa terkena penyakit misteri, sejak awal April.
Syarikat pengurusannya, Prokuya Studios, mengesahkan Fendy tiba-tiba jatuh sakit hingga terpaksa menunda semua komitmen seni.
Pengurus Besarnya, Fadzil Zahari, berkata ketika hampir menamatkan penggambaran drama Mr Grey di ibu negara dan Melaka, awal bulan ini, Fendy tiba-tiba mengadu sakit.
Drama yang menemui penonton sebuah saluran berbayar itu dijangka berakhir pada 10 Mei depan.