Trending
Selebriti

Saya tegas bertempat - Syafinaz

KUALA LUMPUR: Penyanyi yang juga pensyarah vokal, Datuk Syafinaz Selamat mengakui, tegas dalam membimbing anak didik serta pelajarnya, namun semua itu dilakukan demi masa depan mereka.

Syafinaz, 45, bagaimanapun berkata, ketegasannya itu bertempat dan tidak melampau batas kerana dia mahu melihat mereka berjaya sebagai insan seni.

“Saya memang tegas apabila bekerja kerana mahu mendapatkan keputusan yang diinginkan. Tetapi, itu tidak bererti saya harus terjerit-jerit, marah, cubit atau merotan hingga memberi tekanan kepada pelajar.

“Mungkin cara saya bercakap membuatkan ramai beranggapan saya garang dan tidak boleh bertolak ansur. Dalam memberikan ilmu, saya suka berterus-terang dan tidak akan berselindung.

“Jika tidak suka, saya akan beritahu dan selepas itu, saya tidak berfikir lagi mengenainya. Mungkin bagi sesetengah orang, cara saya itu kasar, tetapi itu adalah hakikat kehidupan yang perlu kita terima,” katanya.

Mengulas dakwaan mengenai caranya mengajar yang dikatakan memberi tekanan kepada dua protegenya dalam program realiti, Mentor 7, Syafinaz berkata, untuk memahami bidang seni, mereka perlu terlebih dulu mengenali diri sendiri.

Menganggap apa dilalui itu sebagai proses pembelajaran, Syafinaz juga mahu dua anak didiknya meletakkan diri mereka sebagai penyanyi profesional.

“Proses pembelajaran itu bukan hanya untuk mereka, tetapi untuk saya juga. Saya perlu memahami mereka, pada masa sama, mereka juga perlu mengenali diri sendiri.

“Orang selalu lihat muzik sebagai perkara yang menyeronokkan dan hiburan semata-mata. Mereka tidak tahu untuk menjadi yang terbaik, kena letak banyak usaha.

“Jangan hanya fikir mengenai populariti, sebaliknya perlu melihat sisi lain kerana muzik juga adalah cabang pendidikan.

“Untuk menjadi insan seni yang bagus, kena faham apa itu muzik. Tidak ada benda dalam dunia ini mudah dan semua itu memerlukan pengorbanan.

“Daripada bercakap di belakang, lebih baik saya berterus terang supaya semua orang faham,” katanya.

Mentor 7 juga kata Syafinaz, mendorongnya untuk membuka akaun laman sosial, Instagram. Namun, Syafinaz berharap, peminat tidak menjadikan laman sosialnya itu sebagai tempat perbalahan atau melepaskan amarah.

“Mentor 7 membuka ruang untuk saya melakukan pembaharuan dalam hidup. Jika nanti saya terbaca komen yang menyakitkan, saya cuba menjadi positif.

“Seboleh mungkin, saya cuba abaikan komen yang menjatuhkan kerana ia tidak membantu dalam kehidupan. Jika benar-benar mahukan penjelasan, datang bertemu saya secara berdepan.

“Saya akan jelaskan sebab kenapa dan mengapa saya buat itu serta ini. Kalau benda itu tidak perlu, jangan beratkan hingga ia menjadi kudis.

“Saya tidak tahu apakah selepas program ini akaun saya masih ada ataupun dilenyapkan,” katanya.