Trending
Selebriti

Siti hamil anak kedua

KUALA LUMPUR: Spekulasi dirinya berbadan dua terjawab apabila penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengesahkan hamil empat bulan.

Siti mengumumkan berita gembira itu pada sesi sidang media virtual TwoGether Launching Live Streaming, sebentar tadi.

"Alhamdulillah, pada hari ini, saya ingin berkongsi berita baik iaitu saya sedang melalui proses kehamilan.

"Saya tahu ramai yang sudah dapat mengagak. Terima kasih kerana mendoakan," katanya dalam nada teruja.

Berkongsi fasa kehamilannya, penyanyi Aku Bidadari Syurgamu ini mengaku lebih selesa berehat di rumah menjaga kesihatan diri dan kandungan, berikutan pandemik COVID-19.

"Saya memang mendiamkan diri di rumah. Cuaca dan keadaan sekarang membuatkan saya selesa duduk di rumah.

"Doakan semoga saya diberi kesihatan dan dapat melahirkan zuriat yang sihat dan sempurna.

"Lelaki atau perempuan, saya tidak kisah. Tetapi kalau dapat anak lelaki memang seronok kerana nanti anak kami sepasang," katanya.

Sementara itu, suami Siti, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa bersyukur isteri tersayang hamil.

"Saya bersyukur kepada Allah dan sangat gembira kerana dikurniakan seorang lagi cahaya mata.

"Kandungan Siti kini empat bulan," katanya yang menemani Siti pada sidang media virtual itu.

Sebelum ini, spekulasi kehamilan Siti heboh diperkatakan apabila netizen ternampak 'baby bump' dalam beberapa foto yang dimuat naik penyanyi itu dalam media sosial.

Khalid dan Siti dikurniakan anak sulung, Siti Aafiyah yang kini berusia dua tahun.