Trending
Selebriti

Lancar single baharu, Wany dituduh tak sensitif

KUALA LUMPUR: Persis judulnya, single terbaharu Wany Hasrita menerima kritikan 'pedas' daripada netizen yang mempertikaikan langkah penyanyi itu melancarkan lagu ketika Palestin bergolak.

Netizen menganggap sekarang bukan masa sesuai bagi Wany melancarkan single Pedas ketika seluruh dunia memberi perhatian kepada nasib rakyat Palestin yang berdepan ancaman rejim Zionis.

Wany yang pernah meraih trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31, dituduh tidak peka dengan situasi meruncing dihadapi rakyat Palestin ketika ini.

Bagaimanapun, Wany menjelaskan urusan pelancaran single Pedas dibuat sebelum Ramadan.

"Sebenarnya hati saya bercampur-baur ketika meneruskan hasrat melancarkan single ini. Saya faham dan tahu mengenai pergolakan yang berlaku di Palestin.

"Saya ada terima mesej langsung di Instagram (IG) yang memberi pandangan sekarang bukan masa sesuai untuk melancarkan lagu baharu.

"Namun, perancangan dalam karier seni sudah dibuat sejak beberapa bulan lalu dan diputuskan single Pedas dilancarkan, malam kelmarin.

"Malah, kami ada berbincang untuk menangguhkannya. Namun, saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana membabitkan ramai pihak.

"Proses muat naik video di YouTube juga tidak boleh ditarik sesuka hati," katanya kepada BH.

Wany mengaku mengikuti perkembangan di Palestin seperti rakyat Malaysia yang lain.

"Dunia mendapat perkhabaran gembira apabila diumumkan gencatan senjata antara Palestin dan Israel. Selepas 11 hari bergolak, rakyat Palestin akhirnya dapat beraya.

"Namun, siapa sangka, ketenangan itu hanya sementara. Tentera Israel kembali melancarkan serangan di beberapa lokasi.

"Saya pula melancarkan lagu pada jam 8 malam kelmarin. Namun, tidak sampai sejam single dilancarkan, Palestin dilaporkan kembali bergolak.

"Luluh hati saya antara hendak mempromosikan lagu ini dan terus menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin," katanya.

Wany berkata, apa yang dilakukan sekarang adalah menangguhkan urusan promosi single Pedas melalui media sosial.

"Saya teruja berkongsi lagu ini. Apatah lagi, saya belum pernah menghasilkan lagu pop sebelum ini.

"Namun, atas perkembangan yang berlaku di Palestin, saya tidak boleh mementingkan diri sendiri.

"Saya jadi marah dan geram kenapa rejim Zionis terus bersikap kejam dan tidak berperikemanusiaan," katanya yang menghargai sokongan peminat yang berkongsi lagu baharu itu dalam media sosial.

Lagu Pedas ciptaan Shazee dan lirik dihasilkan Altimet turut menampilkan Sophia Liana daripada kumpulan DeFam.