Trending
Selebriti

Karya Malaysia ke persada dunia

KUALA LUMPUR: Bagi menzahirkan sokongan terhadap komuniti filem tempatan, Disney+ Hotstar memeterai perjanjian bersama pengedar dan 'aggregator' atau pengagregat kandungan premium Malaysia, Primeworks Studios (PWS).

Mulai 1 Jun ini, peminat tempatan boleh menikmati tontonan lebih 500 jam filem dan drama termasuk tayangan perdana filem 'blockbuster' serta drama hebat.

Sebagai penyedia kandungan terbesar di Malaysia untuk Disney+ Hotstar, ini menjadi penanda aras yang sangat membanggakan buat PWS apabila mampu menyajikan kandungan terbaik berkualiti tinggi oleh penggiat seni tanah air di Disney+ Hotstar.

Secara tak langsung inisiatif ini dapat merapatkan jurang sempadan anak seni tempatan dan sekali gus membawa karya dan bakat kreatif mereka di persada antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios (PWS), Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, pihaknya teruja kerana Disney+ Hotstar berbesar hati bekerjasama dengan PWS yang menyediakan platform bagi kandungan tempatan untuk dinikmati lebih ramai penonton.

"Ini sejajar dengan strategi PWS untuk bekerjasama dengan pemain utama dalam menyediakan kandungan terus kepada pelanggan.

"Secara tidak langsung usaha ini meluaskan lagi capaian digital dan membawa lebih banyak kandungan Malaysia dan Asia ke peringkat antarabangsa," katanya.

Pengarah Eksekutif Kandungan dan Kreatif, Disney+, Asia Tenggara, Datuk Ahmad Izham Omar, berkata menjadi suatu keistimewaan dapat bekerjasama dengan PWS dalam membawa cerita Malaysia ke hadapan serta memberi tumpuan kepada pembuat filem dan bakat tempatan.

"Kami akan terus memastikan perkembangan komuniti kreatif Malaysia dan menantikan kerjasama seterusnya bersama PWS untuk menjadikan Disney+ Hotstar sebagai tempat mengumpul filem eksklusif dan program yang dinantikan.

"Usaha ini menjadi tempat arkib kepada pelbagai kandungan," katanya pada pelancaran Disney+ Hotstar bersama media secara virtual, Khamis lalu.

Antara filem yang bakal ditayangkan melalui platform Disney+ Hotstar adalah J2: J Retribusi, Ada Hantu dan Zombitopia.

Peminat drama pula boleh menonton WiFi Di Sebelah Rumah, Semanis Senyumanmu, Single Terlalu Lama dan Kekasih Hati Mr Bodyguard.

Apa yang menarik, filem J2: J Retribusi adalah sebuah filem sekuel blockbuster yang dinanti-nantikan selepas J Revolusi filem yang menjanjikan aksi yang padat.

Filem ini dibintangi barisan pelakon hebat tanah air seperti Zul Ariffin, Allahyarham Ashraf Sinclair, Amelia Henderson dan Datuk Rosyam Nor.

Eksklusif buat penonton Disney+ Hotstar, filem ini bakal dipertontonkan buat kali pertama hanya di platform ini dan tidak akan ditayangkan di mana-mana pawagam di Malaysia.

Selain itu, siri drama Wifi Sebelah Rumah dan Semanis Senyumanmu adalah antara siri eksklusif yang juga dapat ditonton secara serentak di Disney+ Hotstar.

Menambah tarikan, siri drama terpilih seperti Single Terlalu Lama dan Kekasih Hati Mr Bodyguard boleh distrim 15 jam lebih awal sebelum tayangannya di televisyen (TV).

Disney+ Hotstar juga akan menayangkan filem animasi hebat dengan kutipan tertinggi pecah panggung melebihi RM30 juta di Malaysia, iaitu Ejen Ali The Movie, sebuah filem kerjasama produksi antara PWS dan WAU Animation.

Selain Ejen Ali The Movie, Ejen Ali musim pertama, kedua dan Ejen Ali Misi Juang yang dibintangi Ali, seorang budak lelaki yang menjadi ejen rahsia juga akan ditayangkan menerusi platform ini.

Selain itu, siri animasi 3D prasekolah, hasil kerjasama produksi antara PWS dan Blindspot Studios, Alif & Sofia yang dibintangi dua beradik yang belajar mengenai kehidupan melalui cerita dan lagu, yang diilhamkan daripada nilai murni Islam turut ditayangkan, tidak lama lagi.

Perkhidmatan strim Disney+ Hotstar boleh dilanggan pada harga RM54.90

selama tiga bulan.

Penonton boleh menikmati lebih daripada 800 filem dan 18,000 episod, yang merangkumi filem dan drama siri premium dari PWS selain kandungan jenama hiburan ikonik Disney seperti Disney, Pixar, Marvel, Star Wars, National Geographic, FX, 20th Century Studios dan banyak lagi.

Penonton boleh melanggan Disney+ Hotstar dari laman web disneyplushotstar.my atau dengan memuat turun aplikasi Disney+ Hotstar

pada peranti Android dan iOS.