Trending
Selebriti

Siti mahu tolong 1,500 keluarga

KUALA LUMPUR: Simpati dengan nasib individu terkesan dengan impak pandemik COVID-19 yang masih menular, Datuk Seri Siti Nurhaliza menganjurkan kempen Bantuan Prihatin 2021 melalui Yayasan Nurjiwa dan keluarga CTDK Holdings Sdn Bhd.

Siti yang juga pengasas Yayasan Nurjiwa merangkap Presiden CTDK Holdings Sdn Bhd, iaitu pengeluar jenama SimplySiti, BeauSiti dan BeauTYRA, memberitahu, bantuan akan diserahkan kepada kanak-kanak daripada keluarga memerlukan.

"Kita memfokuskan kepada barangan keperluan kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah dengan keluarga di Selangor dan Kuala Lumpur boleh memohonnya.

"Kami harap bantuan ini dapat meringankan beban keluarga yang mempunyai anak kecil.

"Kami akan usahakan secara berperingkat dan menyasarkan 1,500 keluarga terjejas akibat pandemik ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Saya berharap agar lebih ramai pihak menyertai kami sebagai Rakan Kolaborasi Prihatin bagi program bantuan ini," katanya dalam kenyataan.

Penyanyi Aku Bidadari Syurgamu ini turut menzahirkan ucapan terima kasih atas kesudian beberapa pihak menjadi Rakan Kolaborasi Prihatin.

"Sejak pandemik COVID-19 melanda negara, usaha pelbagai pihak menyalurkan bantuan tidak pernah terhenti. Saya terharu dengan sikap prihatin yang ditunjukkan rakyat

"Hari ini kita terus kuat bersatu dan menjadi sebuah keluarga besar tanpa mengira agama, bangsa, kedudukan dan sebagainya," kata isteri tokoh korporat, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ini.

Antara syarikat yang menyalurkan sumbangan adalah Ikhlas.com, Mommyhana Creative Sdn Bhd, Yayasan Rosni Noor dan L&K Multivision Sdn.Bhd.

Mereka yang mahu memohon bantuan dalam program Bantuan Prihatin 2021 boleh memberi maklumat lengkap dengan melayari https://forms.gle/g4WzEVHYsTt9pC548.

Mengikut syarat, keluarga dalam kesusahan dan mempunyai anak berusia enam tahun ke bawah layak memohon. Hanya suami atau isteri dibenarkan mengemukakan permohonan.

Orang ramai juga boleh menyertai misi bantuan ini dengan menyumbang kepada Tabung Bantuan Khas Palestin dan COVID-19 yang dilancarkan Yayasan Nurjiwa dan CTDK bersama Kita Fund.

Related Article