Trending
Selebriti

Adegan terajang curi perhatian netizen

KUALA LUMPUR: Perkongsian babak Salimah lakonan Fauziah Ahmad Daud memukul anak istimewa, Luqman dihidupkan Nafiez Zaidi dalam drama Bunga Hati yang dikongsi dalam media sosial, pantas meraih perhatian netizen terhadap karya yang bakal disiarkan Astro Ria, mulai esok.

Sepak terajang Salimah dan kemarahan membuak-buak yang ditunjukkan aktres berkaliber itu mengundang simpati netizen terhadap Luqman, apatah lagi klip video berkenaan turut dikongsi Fauziah atau mesra disapa Ogy dan Nafiez dalam media sosial masing-masing.

Mengulas mengenai bakat Nafiez, Fauziah memuji kebolehan aktor kelahiran Kangar, Perlis itu.

"Bakat baharu yang bersinar dalam Bunga Hati... Bakat yang fokus dan komited. Pelapis beginilah yang harus ada dalam industri seni Malaysia.

"Nafiez, anda berjaya memaku adegan kita bersama," katanya.

Sementara itu, Nafiez atau nama sebenar, Abdul Nafis Abduzaidi tidak menyangka Fauziah memujinya.

"Jujur tidak sangka Kak Ogy puji dalam media sosialnya. Mula-mula Kak Ogy memuat naik video babak kami untuk mempromosikan drama.

"Kemudian Kak Ogy muat naik gambar babak kami dan kapsyen memuji lakonan saya. Dalam hati memang berbunga-bunga.

"Saya rasa seperti di awang-awangan, betulkah semua itu? Pada suatu tahap, saya kelu apabila bakat lakonan dipersembahkan diterima dan dihargai pelakon senior seperti Kak Ogy," katanya.

Bunga Hati arahan Jamal Khan dan Che Mie menjalani penggambaran di Perlis sejak bulan lalu dijangka selesai, Februari ini.

Nafiez yang diperkenalkan dalam drama Kiah The Spy pada 2013, mengaku gementar kali pertama berlakon dan berkongsi babak dengan Fauziah.

"Saya fikir itu perasaan biasa apabila berdepan bakat besar disegani. Apatah lagi, karakter Luqman berat kerana dia adalah insan istimewa atau orang kelainan upaya (OKU)," katanya.

Nafiez yang juga kekasih Fify Azmi mengaku kali pertama disepak 'betul-betul' ketika beraksi dalam drama.

"Sebelum dan selepas saya 'dibelasah', Kak Ogy meminta maaf. Kak Ogy sangat okay. Beliau turut mempromosikan Warung Balun yang diusahakan saya melalui Instagram (IG)," katanya.

Drama Bunga Hati turut dibintangi Intan Najuwa dan Redza Rosli.