Trending
Selebriti

MyPentas sasar sejuta tontonan Asia Tenggara

KUALA LUMPUR: Menyasarkan sejuta tontonan setiap bulan, MyPentas menjadi penstriman Over The Top (OTT) dalam talian pertama di Malaysia dan Asia Tenggara membantu penggiat muzik menjana pendapatan.

Dibangunkan syarikat usahawan teknologi Malaysia, Twenty30 Digital Sdn Bhd, MyPentas yang beroperasi sejak 10 bulan lalu sudah mengumpulkan 100 video membabitkan penyanyi dan pemuzik tempatan.

Nyata, era digital mengubah hala tuju pendengar dalam menikmati karya, sekali gus menjadikan platform OTT sebagai pilihan.

MyPentas ditubuhkan pada Mac tahun lalu memuat naik kandungan atas permintaan ramai membabit penyanyi tempatan yang pernah memenangi anugerah dan menjadi perintis industri kreatif.

Ia termasuk Altimet, Kyoto Protocol, Daiyan Trisha, Talitha Tan, Kavin Jay, Bil Musa, Pitapet Theatre dan ramai lagi.

Ketua Pegawai Digital MyPentas, Muralee Pillay, berkata pelan yang diperkenalkan iaitu 'dapatkan hasil dengan MyPentas 2022' memberi manfaat untuk penyanyi, pemuzik, komedi, penari dan penggiat teater yang terbabit dalam ekosistem hiburan tempatan.

"Kami berpegang kepada matlamat dan usaha bagi membantu menggerakkan semula industri muzik yang hampir dua tahun lumpuh disebabkan COVID-19.

"MyPentas dicipta secara eksklusif bagi tujuan membantu penyanyi dan pemuzik tempatan platform menjana pendapatan sejak pandemik.

"Sehingga kini, MyPentas berjaya membuat pembayaran kepada penyanyi yang menyertai platform ini dengan menghasilkan kandungan dan video," katanya kepada BH Online.

Beliau berkata, matlamat utama MyPentas membantu penyanyi dan penggiat muzik menjana pendapatan menerusi kandungan video menerusi platform itu.

"Model perniagaan ini meliputi bayaran setiap tontonan, menonton secara percuma dan pakej langganan. Daripada pendapatan dihasilkan, lebih 70 peratus akan diberikan kepada penyanyi dan penggiat muzik," katanya.

Selain program insentif kewangan untuk MyPentas, Pillay berkata, pihaknya bangga menjadi perintis platform OTT pertama di Malaysia dan Asia Tenggara.

"MyPentas menyasarkan mendapatkan 300 video menjelang Mac depan. Kami giat berusaha bagi mencapai sasaran itu.

"Kami juga berusaha mendekati pelbagai jenama, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan menyokong MyPentas agar matlamat dapat dicapai tahun ini.

"Ia sekali gus mengembangkan satu-satunya platform seni hiburan yang boleh mencipta dan mempersembahkan hasil karya seni tempatan terbaik dengan mencapai sasaran lebih satu juta penonton, setiap bulan," kata Pillay.

Sementara itu, penyanyi jazz, Maya Hanum antara barisan artis yang menerima pendapatan menerusi penghasilan video dalam platform MyPentas.

"Kewujudan platform khusus seperti ini membantu penggiat muzik, terutama artis muda seperti saya.

"Saya bersyukur menerima insentif dan teruja menghasilkan kandungan video lebih banyak untuk platfom MyPentas," katanya.

Selain itu, kumpulan Berdosa yang dianggotai tiga anggota turut menerima insentif kewangan menerusi platform berkenaan.

"Kami gembira hasil kerja diterima dan video disiarkan di MyPentas. Platform ini membolehkan kami mengetengahkan karya berbeza untuk tontonan seluruh Malaysia dan Asia Tenggara.

"Usaha ini agak sukar buat penggiat muzik sebelum ini. Namun, kini semua karya dalam bentuk digital boleh dihasilkan pada bila-bila masa," kata anggota Berdosa.

Untuk mengetahui lebih lanjut, sila layari laman web MyPentas di www.mypentas.com, Instagram @MyPentas_2030D atau Facebook MyPentas.