Trending
Selebriti

Isu anak bercium tak halang Ridhuan Tee cegah kemungkaran

KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas, Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah tidak patah semangat, sebaliknya akan terus menjalankan kewajipan menegur kemungkaran termasuklah isu membabitkan anaknya.

Kenyataan itu dibuat Mohd Ridhuan menerusi hantaran dimuat naik menerusi akaun Facebook, hari ini, rentetan kontroversi video panas membabitkan anaknya yang juga pelakon baharu, Syafi Tee, baru-baru ini.

Mohd Ridhuan tampil membuat kenyataan selepas lima hari video panas itu kecoh berkata, dia agak sibuk dengan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu menyebabkan tidak berkesempatan mengulas kontroversi membabitkan anaknya.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kerana ramai mengambil berat berkaitan saya dan anak. Ramai sayangkan saya dan keluarga.

"Saya anggap apa yang berlaku ujian Allah untuk menguji sejauh mana keimanan hamba-Nya. Allah menguji sesuai dengan kemampuan hamba-Nya.

"Saya akui mempunyai kelemahan. Saya juga bukanlah insan sempurna. Benar sekali iman tidak dapat diwarisi dan dijual beli.

"Pada mereka yang bertepuk tangan gembira, terima kasih seadanya, moga semua ini tidak terjadi kepada kalian. Pada mereka yang bersama saya memberikan nasihat dan menegur cara baik, moga Allah merahmati anda, " tulis Ridhuan.

Bagaimanapun, kata Mohd Ridhuan, kontroversi membabitkan anak kedua daripada enam beradik itu tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk meneruskan kerja dakwah dan menegur perkara tidak betul, tidak mengira golongan artis, orang biasa, bahkan anaknya sendiri.

Ini kerana, katanya, dia mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Indonesia apabila segelintir ulama dan ilmuan hanya berdiam diri serta tidak tampil menegur kehidupan artis hingga mengakibatkan ramai tersasar.

"Apa yang berlaku, tidak akan menghalang saya meneruskan kehidupan ini. Saya akan terus melaksanakan tanggungjawab sebagai Muslim dengan menjalankan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar, sama ada secara lisan mahupun tulisan.

"Umat Islam terutama anak-anak Melayu Islam kita perlu diselamatkan, meskipun yang terpaksa diselamatkan itu anak sendiri. Ini adalah satu ujian yang akan mematangkan kita.

"Sedangkan Nabi Nuh pun tidak mampu untuk menyelamatkan anaknya. Inikan pula saya, hamba Allah yang hina ini, tetapi saya sudah melakukan yang terbaik untuk mendidik enam orang anak.

"Begitu juga dengan saudara-mara saya. Selebihnya saya berserah, saya pasrah…," katanya.

Sebagai bapa, Mohd Ridhuan berkata, dia tidak menghalang minat anaknya menceburi bidang seni. Malah, sering menasihati dan mengingatkannya agar pandai membawa diri.

Namun, katanya, apa yang terjadi adalah ujian buatnya.

Video aksi panas Syafi berdurasi 26 saat bersama seorang wanita dipercayai kekasihnya mula tular menerusi aplikasi TikTok, baru-baru ini.

Sebelum ini, Syafi juga pernah menimbulkan kontroversi apabila video berpelukan bersama seorang wanita tular, tahun lalu.

Mohd Ridhuan pula kerap memberikan komen mengenai kehidupan artis. Antaranya, kontroversi membabitkan video panas Zul Ariffin dan perlakuan mesra peserta program realiti, Big Stage 2022, Yazmin Aziz dan Danial Chuer.

Related Article