Trending
Selebriti

Siti Nurhaliza nyanyi lagu OST filem Anwar

KUALA LUMPUR: Mesej cinta, kesetiaan dan pengorbanan wanita cukup menyentuh perasaan penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Lantas, lamaran produser dan pengarah filem Anwar: The Untold Story mendendangkan lagu runut bunyi (OST) berjudul Menjaga Cintamu ciptaan Andi Rianto dan lirik oleh Sekar Ayu Asmara tidak sesekali dilepaskan.

Lebih manis, impian Siti bekerjasama dengan komposer terkenal Indonesia, Andi menerusi lagu Menjaga Cintamu tercapai.

Siti berkata, walaupun menyanyikan lagu OST filem Anwar: The Untold Story, tetapi karya ini menggambarkan kesetiaan dan pengorbanan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Saya terima tawaran menyanyikan lagu Menjaga Cintamu kerana yakin dengan kekuatan lagu ini. Ia bukan hanya gambaran kesetiaan Dr Wan Azizah, tetapi secara amnya, untuk wanita yang setia mencintai pasangan.

"Saya amat tertarik dengan mesej dalam lagu ini. Saya faham lirik lagu Menjaga Cintamu ini lebih kepada pengorbanan seorang isteri dan cinta yang tiada tolok bandingan.

"Secara kebetulan, saya dalam tempoh menerbitkan album baharu," katanya kepada BH Online.

Tambah Siti, dia juga sudah lama mahu bekerjasama dan menyanyikan karya ciptaan komposer hebat seberang, Andi.

"Sejujurnya, saya sudah lama menyimpan hasrat bekerjasama dan menyanyikan lagu ciptaan Andi. Jadi, peluang ini bagaikan pucuk dicita ulam mendatang dan sangat bermakna.

"Saya berterima kasih kepada Penerbit Eksekutif, Zukiflee Anwar Haque atau Zunar dan pengarah dari Indonesia, Viva Westi kerana memberikan kepercayaan kepada saya menyanyikan lagu Menjaga Cintamu.

"Saya adalah penyanyi dan tugasan saya memang menyanyi. Pada masa sama, saya juga memiliki peminat di Indonesia.

"Saya jarang menolak menyanyikan lagu OST. Apabila wakil penerbit datang berbincang dengan pengurusan, mereka menawarkan saya untuk menyanyikan lagu ini.

"Saya juga mendapat penerangan mengenai filem Anwar: The Untold Story. Proses perbincangan juga berjalan dengan lancar," katanya.

Berkongsi pengalaman rakaman di studio, Siti berkata, proses rakaman lagu Menjaga Cintamu hanya sejam dan Andi sendiri menjaga vokal dan menerbitkannya.

"Ia satu pengalaman baharu. Saya akui tetap gementar kerana kali pertama bekerja dengan Andi dan menyampaikan lagu ciptaan komposer hebat sepertinya.

"Saya sebenarnya berdepan cabaran menyampaikan lagu Menjaga Cintamu. Ini kerana suara saya masih dalam proses pemulihan akibat kesan jangka panjang virus COVID-19.

"Namun, saya sudah berusaha sebaiknya untuk menyampaikan lagu ini dengan sebaiknya. Proses rakaman dilakukan di Cranky Music, milik komposer Aubrey Suwito, baru-baru ini," katanya.

Mengulas perbezaan bekerja dengan komposer Indonesia seperti Andi, Siti berkata, setiap kali masuk studio, ia adalah pengalaman berharga buatnya.

"Saya bersyukur sering menyanyikan lagu-lagu komposer Indonesia. Jadi, sedikit sebanyak saya sudah memahami cara mereka bekerja. Apabila menyampaikan lagu, mereka memberi tunjuk ajar dan pastinya mahu yang terbaik, begitu juga Andi.

"Saya merakamkan lagu Menjaga Cintamu selama sejam. Andi terkejut kerana biasanya proses rakaman membabitkan selama dua jam atau lebih.

"Namun, lagu Menjaga Cintamu memang mudah menyerap dalam hati, jadi saya dapat menyanyikan dalam tempoh singkat," katanya.

Filem Anwar: The Untold Story mengangkat kisah ranjau politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjengah pawagam seluruh tanah air pada Mei depan.

Filem membabitkan kos sebanyak RM10 juta itu mengetengahkan kisah benar berlaku dalam sebahagian hidup Anwar ketika mula menjawat jawatan Menteri Kewangan dari 1991 hingga dipecat pada 1998.

Ia menampilkan pelakon Malaysia dan Indonesia seperti Farid Kamil yang memegang watak utama sebagai Anwar, Hasnul Rahmat (Tun Dr Mahathir) dengan dibantu pelakon Indonesia seperti Acha Septriasa (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail), Saskia Chadwick (Nurul Izzah), Dewi Irawan (Che Yan - ibu Anwar), Piet Pagau (Ibrahim - bapa Anwar), Felice Lovely Hidayat (Nurul Iman) dan Azzahra Annasera (Nurul Hana) dan ramai lagi.

Selain Malaysia, filem terbitan Bianglala Entertainment itu turut menjalani penggambaran di Indonesia.