KUALA LUMPUR: Entah mengapa, perasaan dan emosi pelakon sensasi, Nora Danish jadi rapuh setiap kali mendengar kisah pergolakan rumah tangga pasangan suami isteri disebabkan kehadiran 'penyondol'.
Malah, Nora atau nama sebenarnya, Nora Mohd Danish Hanif turut larut dengan kesedihan dan berkongsi rasa yang mereka lalui.
Namun, sebagai orang luar, hanya rasa simpati mampu diluahkan dan berdoa semoga ada cahaya di hujung terowong buat pasangan yang diuji dengan kemelut rumah tangga.
"Sejujurnya, saya terkejut dan terkesima mendengar berita konflik rumah tangga pasangan selebriti seperti hangat diperkatakan.
"Saya memang sedih kerana ada antara mereka saya ikuti perkembangan dari zaman bercinta, berkahwin dan mempunyai anak.
"Tetapi, nak komen lebih pun tak boleh kerana saya juga mempunyai rumah tangga yang harus dijaga.
"Apa yang boleh saya katakan, alam perkahwinan tak selalu indah di pandangan mata, ada masanya berdepan jatuh dan bangun.
"Jadi, kita doakan urusan pasangan suami isteri diuji dipermudahkan dan dapat diselesaikan dengan cara baik," katanya kepada BH Online.
Mengulas isu 'penyondol' yang didakwa menjadi punca keretakan rumah tangga seperti diperdebatkan netizen, pelakon filem Polis EVO 3 itu enggan menyalahkan sesiapa.
"Sebenarnya, saya tak berapa gemar mendengar perkataan 'penyondol'. Rasanya gelaran 'orang ketiga' lebih sesuai.
"Pada pandangan saya, kehadiran orang ketiga juga satu ujian Allah. Tuhan hadirkan golongan ini untuk uji rumah tangga kita.
"Saya ada menonton filem Indonesia berjudul Mendarat Darurat lakonan Reza Rahadian dan Luna Maya. Cerita ini banyak membuka mata saya mengenai pergolakan rumah tangga.
"Naskhah ini menyatakan tak semua 'orang ketiga' bersifat jahat dan kejam. Umpamany bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi.
"Oleh itu, janganlah kita mudah membuat spekulasi kerana setiap apa yang berlaku pasti ada cerita di sebaliknya," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Starvilion Laskar Raya 2023, baru-baru ini.
Pada majlis itu, Nora yang juga duta Starvilion turut memperkenalkan koleksi baju raya kepada tetamu yang hadir.
Mengakui alam perkahwinan penuh warna-warni dan cabaran, Nora mengakui, sesekali terbit juga kebimbangan jika perkara yang sama menimpa rumah tangganya.
"Mestilah ada rasa bimbang. Kadang-kadang bila menonton filem berkaitan konflik rumah tangga membabitkan orang ketiga, saya ada juga mengusik suami supaya tak buat hal yang menyakitkan itu.
"Biasalah, mesti ada perselisihan faham dalam rumah tangga. Jadi, untuk menyelamatkan keadaan, salah seorang kenalah beralah atau berkorban," kata Nora.
Seperkara menarik pelakon yang namanya mula meledak menerusi drama rantaian Puteri itu masih mampu mengekalkan kejelitaan dan tubuh badan pada usia 41 tahun.
Diusik pertanyaan apakah kecantikan dimilikinya itu adalah hasil pembedahan, Nora menafikan perkara itu.
"Tiada rahsia tertentu, sebaliknya saya hanya mengamalkan pengambilan jamu dan menjaga rutin harian dari segi penjagaan wajah.
"Bila semakin berusia, tak bolehlah nak abai dari segi penampilan. Saya memang mengambil berat soal pemakanan dan penjagaan kulit.
"Selain itu, hati kenalah sentiasa bersih dan barulah kecantikan terpancar di wajah," ujarnya.
Pada 30 Mac lalu, Nora dan suami, Mohamad Nedim Nazri meraikan ulang tahun perkahwinan yang keenam. Jika ada rezeki, Nora berhasrat menimang cahaya mata perempuan.