Trending
Selebriti

Malbatt: Misi Bakara kutip RM4.5 juta dalam masa dua hari

KUALA LUMPUR : Selepas dua hari tayangan, filem Malbatt: Misi Bakara mencatat kutipan sebanyak RM4.5 juta.

Pelakonnya, Bront Palarae ketika dihubungi, bersyukur dengan sambutan penonton terhadap filem yang mula ditayangkan sejak Khamis lalu itu.

"Alhamdulillah, semuanya sokongan penonton. Apa yang lebih positif adalah melihat 'posting' (hantaran) di Instagram oleh mereka yang sudah menonton filem ini.

"Itulah semangat seluruh pasukan produksi ketika proses penggambaran sebelum ini," katanya.

a

Bront berkata, cerita itu penting untuk ditonton seluruh rakyat Malaysia kerana mesejnya.

"Filem ini menceritakan mengenai anggota tentera kita di peringkat antarabangsa. Kita juga berbangga dengan sumbangan mereka di luar negara," katanya.

Bront juga berharap filem ini akan dinikmati dan ditonton seluruh rakyat Malaysia.

"Saya berharap semua golongan masyarakat sama ada miskin, kaya, tua dan muda serta pelbagai bangsa akan sama-sama menonton serta memberi sokongan pada filem ini.

"Dari segi sasaran kutipan pula, sebagai pelakon, saya sudah buat yang terbaik dan selebihnya saya serahkan kepada penilaian penonton untuk menilai hasilnya di pawagam," katanya.

Selain Bront, filem arahan Adrian Teh ini turut menampilkan Shaheizy Sam, Hairul Azreen, Zahiril Adzim, Iedil Dzuhrie Alaudin, Adlin Aman Ramlie, Fauzi Nawawi, Tony Eusoff, Syazwan Zulkifli, Dafi, Dini Schatzmann dan Gambit Saifullah.

Filem itu berdasarkan kisah benar mengenai operasi anggota Batalion Malaysia (Malbatt) membantu menyelamatkan tentera Amerika Syarikat (AS) yang terperangkap ketika perang saudara di Somalia pada 1993. - HM Online