Trending
Selebriti

Aina Abdul perkukuh reputasi

KUALA LUMPUR: Tiga tahun lalu, di pentas Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, penyanyi dan komposer, Aina Abdul pernah membuat penonton bersorak dan menyanyi bersama tatkala mempersembahkan lagu Sumpah ciptaannya yang bersaing pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34.

Bagai mengimbau peristiwa bersejarah itu, di lokasi sama kelmarin, Aina membawa atmosfera serupa pada konsert berskala besar, A Night With Aina Abdul (ANWAA) 3.0 yang dipentaskan khusus buat si pemuja.

Hampir sedekad berada di belantara seni dan meraih pelbagai kejayaan, Aina menuang pengalaman di pentas yang pernah menyaksikan nama besar dari dalam dan luar negara beraksi.

Ibarat pemanas badan, Aina membuka gelanggang konsert dengan alunan muzik rancak Ghost dan Fool, sekali gus memberi bayangan dia mempunyai cukup stamina untuk menghiburkan penonton untuk tempoh tiga jam.

Puas melayan lagu rancak, Aina atau nama sebenar, Nurul Aina Abdul Ghani mengubah tempo kepada lagu melankolik yang menjadi tanda dagangnya seperti Kelip-Kelip, Bleed, Sumpah, Bukan Untukku, Sedia Terluka, Nada Kalbu serta lagu yang dianggap sebagai lagu kebangkitannya berjudul Sepi.

Aina bukan sahaja membuai penonton dengan emosi ciptaannya, malah berkongsi kesedihan menerusi bait lirik 'galau' yang didendangkan.

Perasaan sebak menyelubungi lokasi ikonik itu ketika pemenang trofi juara Penyanyi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 ini menyanyikan lagu Atouna El Toufoule yang ditujukan khas buat warga Palestin.

Selain terharu dengan kehadiran lebih 10,000 penonton ke konsertnya, Aina turut berkongsi momen paling menyentuh perasaannya malam itu.

"Momen paling menyentuh perasaan sudah tentu ketika menyanyikan lagu Terus Hidup. Sebenarnya, baru semalam (Jumaat) saya buat keputusan pakai baju itu (busana berkonsep awan yang dipakai di pentas AJL Ke-37).

"Pada awalnya saya tiada niat nak buat 'encore' pun. Saya hendak terus menyanyi lagu itu. Tetapi, apabila ternampak busana itu dipamerkan, saya terfikir bagaimana jika saya pakai baju itu yang sangat istimewa dan masih ada bau AJL," katanya.

Sebagai penyanyi dikenali dengan lagu bernada tinggi, Aina memperkukuhkan tanda dagang melalui konsert yang dijayakan dengan kerjasama Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin).

Lebih dua jam beraksi dan mempersembahkan 34 lagu, Aina masih mampu mempertahankan keampuhan vokal saktinya sambil mengukir senyuman seperti tiada bebanan di bahu.

Pada malam itu, Aina turut membuktikan dia mampu membawakan lagu tradisional apabila memilih untaian indah dipopularkan Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini iaitu Fatwa Pujangga, Bunga Tanjung dan Empat Dara.

Meskipun lenggoknya tidak sama dengan penyanyi Irama Malaysia lain, namun persembahan itu masih boleh diterima. Kesungguhan Aina untuk membawa lagu tradisional di pentas sebesar itu wajar diberi pujian.

Antara lagu yang didendangkan Aina adalah Shadow, Blue, Bilang, Sesal, Puas Sudah, Kejam, Maybe, Tunggu Kamu, Mimpi Kita, Semalam, Jangan Mati Rasa itu serta medley lagu K-pop, I Will Go To You Like The First Snow, This Love, Shut Down dan How You Like That.

Apabila berbicara penyanyi kelahiran Johor Bahru, Johor ini, selain vokal, fesyen menjadi antara elemen cukup sinonim dengannya.

Menggayakan lima busana, penampilan Aina memukau hasil sentuhan empat pereka tersohor iaitu Melinda Looi, Rizman Ruzaini, Ezuwan Ismail dan Zaimi Zulkafli.

Bukan Aina gerangannya jika busana digayakan tidak memiliki unsur unik. Pada malam itu, busana menjadi perhatian sudah tentu persalinan rona 'midnight blue' yang bukan sahaja boleh mengeluarkan asap, malah kuntuman bunga yang menghiasinya boleh berpusing-pusing.

Kejayaan konsert ANWAA3.0 yang menelan kos RM1.8 juta ini turut dibantu dengan permainan cahaya serta sistem bunyi yang mampu membuat persembahan Aina tidak menampakkan sebarang cela.

Bagaimanapun, transisi antara segmen di mana Aina menukar persalinan mengambil masa agak lama. Lantas membuatkan momentum konsert sedikit menurun.

Mungkin pada konsert akan datang, Aina boleh menyelitkan persembahan khas yang mampu mengekalkan keterujaan penonton dan melancarkan perjalanan konsert agar tidak meleret-leret.

Tanpa perlu membandingkan dengan mana-mana penyanyi senior, konsert ANWAA 3,0 berjaya meletakkan kedudukan Aina pada tahap berbeza. Bagi penyanyi seangkatan dengannya, konsert ini boleh menjadi penanda aras buat mereka.

Konsert ANWAA 3.0 turut menyaksikan Aina berpadu suara dengan tiga penyanyi lelaki

iaitu Khai Bahar, Haziq Rosebi dan Lah Ahmad.

Aina turut mengumumkan bakal membawa konsert sama ke Singapura, Januari depan.