KUALA LUMPUR: "Kalau soal anak-anak memang saya tak tolak," katanya.
Demikian kenyataan pelakon, Datuk Aaron Aziz yang kali pertama mengarahkan dan menjayakan filem pendek Bank Rakyat berjudul Tulus Ikhlas sempena Aidilfitri.
Aaron berkata, dia seronok diberikan kepercayaan berlakon dan mengarahkan iklan raya pertama, lebih lagi apabila mengetengahkan tema kekeluargaan yang cukup dekat dengan dirinya.
"Tulus Ikhlas mengetengahkan hubungan anak lelaki dengan ayah. Tak ramai mengetengahkan mesej ini, jadi kepentingan hubungan adalah mesej halus yang mahu disampaikan.
"Mesejnya pula dekat dengan hati saya sebagai seorang bapa yang mempunyai anak. Ia mengenai bagaimana kita belajar daripada anak sebab tak semestinya sebagai ibu bapa, kita sentiasa betul.
"Jadi, saya gembira dapat terbabit dalam produksi iklan raya ini walaupun masa diberikan agak singkat, iaitu selama dua hari penggambaran. Namun, itulah cabarannya yang saya perlu tempuhi.
"Kru banyak membantu dan ini adalah kerjasama pasukan. Saya juga boleh katakan ia iklan berbeza sebab kami nak tunjukkan kesedihan tanpa memaparkan kesedihan," katanya yang ditemui pada sidang media iklan raya filem pendek Bank Rakyat berjudul Tulus Ikhlas di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini, pagi tadi.
Aaron berkata, filem pendek itu menekankan Ramadan bukan sahaja tertumpu kepada ibadah dan puasa semata-mata.
Namun, katanya, Ramadan juga peluang bagi ibu bapa untuk memperkukuhkan kesedaran diri dan sosial anak-anak, membina hubungan baik dengan pencipta dan sesama manusia serta membantu masyarakat secara keseluruhan.
"Objektif filem pendek ini untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemahaman mendalam terhadap realiti sosial dalam persekitaran, melingkungi rasa tanggungjawab individu daripada setiap peringkat umur untuk membantu golongan memerlukan.
"Realiti sosial adalah sesuatu yang benar-benar berlaku dalam masyarakat dan antara yang ketara adalah kemiskinan," katanya.
Filem fiksyen pendek berdurasi lebih tujuh minit hasil terbitan Razor's Edge Pictures Sdn Bhd itu mengisahkan kesedaran sosial oleh kanak-kanak berusia 10 tahun, Rayyan, mengenai kemelut kehidupan anak-anak yatim yang tiada tempat berlindung dan kurang bernasib baik berbanding dirinya serta adik perempuan.
Menerusi Tulus Ikhlas, Aaron yang cukup sinonim dengan pembabitannya dalam naskhah filem atau drama cinta kali ini digandingkan dengan pelakon, Sharifah Husna Syed Mustaffa bersama dua pelakon cilik, Aaron Yusof Raj dan Adreana Jameela Raj.