Trending
Selebriti

ASA 2024 perkenalkan kategori Podcast Terbaik

PUTRAJAYA: Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2024 memperkenalkan satu kategori baharu di bawah media baharu iaitu Podcast Terbaik.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kategori baharu itu bagi menyemarakkan penghasilan podcast atau audio siar berkualiti.

"Saya percaya podcast adalah satu trend baharu. Bila ada kategori media baharu, format akan berubah, tambah lagi podcast sekarang sangat popular dan banyak kandungan bagus.

"Jadi, inilah masa yang sesuai untuk beri pengiktirafan kepada podcast berkualiti tinggi.

"Kami sediakan satu kategori secara keseluruhan untuk podcast. Kalau penyertaan tinggi, kami boleh tambah baik," katanya ketika ditemui pada sidang media ASA 2024 di Kementerian Komunikasi, di sini, pagi tadi.

Justeru, Nie Ching berharap penganjuran ASA 2024 memberi suntikan semangat kepada penggiat industri penyiaran untuk terus berkarya dan menerbitkan kandungan kreatif berkualiti tinggi serta bertaraf antarabangsa, sekali gus memberikan impak keterlihatan serta peningkatan peluang pekerjaan.

"ASA 2024 juga platform yang memperjuangkan kecemerlangan dan inovasi dalam industri penyiaran dan menjanjikan perjalanan menarik dalam mengiktiraf bakat terbaik dalam industri penyiaran di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Pembangunan Kandungan Kementerian Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pencalonan ASA 2024, Norhadznita Mohammad Ilham berkata, syarat penyertaan podcast adalah semua pencalonan perlu dikemukakan melalui organisasi penyiaran yang berlesen.

"Podcast itu mestilah bersiaran di bahawa penyiar berlesen daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Maksudnya bukan podcast peribadi kerana ini adalah pengiktirafan daripada kerajaan," katanya.

Ditanya sama ada akan meneliti mengenai Dana Kandungan Kreatif untuk Podcast Terbaik, Norhadznita berkata, mereka akan menambah baik daripada semasa ke semasa.

"Kami memberikan Dana Kandungan Kreatif menerusi Drama Terbaik dan Dokumentari Terbaik pada 2022. Jadi, ASA 2024 akan ditambah baik daripada semasa ke semasa sehingga menjadi terbaik.

"Ini bukanlah anugerah berdasarkan populariti, tapi kualiti. Jika dicalonkan dalam ASA bermakna berada pada tahap berbeza disebabkan penjurian dibuat oleh pakar," katanya.

Pencalonan ASA 2024 bakal dibuka selama dua minggu bermula antara 1 hingga 15 Julai depan.

ASA dianjurkan sebanyak 35 kali sejak 1972 adalah inisiatif penting kerajaan melalui Kementerian Komunikasi untuk mengiktiraf dan memartabatkan industri penyiaran tanah air serta penggiat di belakang tabir.

ASA 2024 yang juga edisi ke-36 ini bertemakan Kilauan Prestij, Citra Kegemilangan mempertandingkan 60 kategori, iaitu 40 kategori televisyen (TV), 16 kategori radio dan empat kategori media baharu.

Selain itu, dua kategori khas iaitu Anugerah Khas Juri dan Tokoh Seri Angkasa juga ditampilkan menjadikan jumlah keseluruhan 62 kategori.

Syarat utama penyertaan ialah semua pencalonan perlu dikemukakan melalui organisasi penyiaran berlesen dan kali pertama disiarkan di stesen penyiaran dan platform media baharu dalam tempoh antara 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2023.

Sepanjang tempoh pencalonan, Kementerian Komunikasi turut menyediakan kemudahan mengakses dan mengemukakan pencalonan melalui sistem ASA 2024 di Makmal Komputer B, Aras 19, Kompleks Kementerian Komunikasi.

Semua stesen penyiaran kerajaan dan swasta dipelawa untuk merujuk dan mengemukakan pencalonan bagi 60 kategori secara dalam talian melalui laman sesawang www.anugerahseriangkasa.gov.my.

Related Article