Trending
Selebriti

Balik ke pangkuan dia? Minta dijauhkan - Bella Astillah

KUALA LUMPUR: Bella Astillah menafikan tanggapan netizen konon mahu kembali ke pangkuan bekas suami, Aliff Aziz susulan hantaran berkaitan pengumuman istimewa di Instagram (IG), harı ini.

Bella atau nama sebenar, Dayang Ara Nabella Awang Astillah, berkata pengumuman istimewa itu adalah gimik Konsert A Night With Sumandak Stars-Ceritera Hatiku yang akan dijayakan pada 30 November depan.

"Saya buat hantaran itu atas permintaan penganjur dan persetujuan keluarga. Saya tidak pernah lagi buat hantaran sebegitu. Kalau orang komen sebegitu (berbaik semula dengan Aliff) saya minta dijauhkan.

"Saya minta maaf kalau ada yang risau dan saya bersyukur kerana ia bermaksud ada yang ambil berat.

"Saya sekarang hendak fokus pada anak-anak sahaja, jadi, apabila saya baca komen yang mengandaikan saya mahu kembali bersama, jangan risau sebab perkara itu tidal akan terjadi.

"Hantaran di IG itu adalah berkaitan konsert. Itu sebab saya cakap saya berharap semua dapat menerima dengan baik. Disebabkan ini julung kalinya saya buat konsert. Untuk buat konsert seperti ini, tidak mudah. Alhamdulillah diberikan kesempatan dan peluang ini untuk bersama rakan-rakan berbakat besar," katanya pada sidang media Konsert A Night With Sumandak Stars - Ceritera Hatiku di sini, harı ini.

Konsert yang akan dipentaskan di Zepp Kuala Lumpur itu akan menggabungkan Bella bersama penyanyi berasal dari Sabah iaitu Marsha Milan, Adira Suhaimi, Stacy Anam, Nikky Palikat, Wani Kayrie dan Didi Astillah.

Bella berkata, dia tidak menduga ramai yang akan menganggap dia akan kembali dengan Aliff melalui hantaran itu.

"Apabila orang komen mengenai kisah lalu saya, jujurnya ia buat saya berdebar membaca. Kalau anda takut, saya lagi takut. Tetapi saya faham orang risaukan saya. Terima kasih kerana prihatin," katanya.

Terdahulu, Bella memuat naik hantaran di IG memberitahu bakal membuat pengumuman istimewa dan berharap peminat dapat menerima berita itu dengan baik.

Biarpun tidak memberi gambaran, ramai yang mengaitkan entri berkenaan dengan bekas suaminya, Aliff.

Ada netizen melayangkan komen bimbang mereka bakal kembali bersama selepas sah bercerai talak satu pada 13 Jun lalu.

Bella dan Aliff berpisah selepas lapan tahun hidup bersama. Mereka memiliki dua orang cahaya mata iaitu Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4 tahun.

Related Article