Trending
Kembara

Wajah baharu Jambatan Tamparuli

PEKAN Tamparuli terletak kira-kira 38 kilometer dari bandar raya Kota Kinabalu, sememangnya terkenal dengan jambatan gantung yang menjadi mercu sebagai tanda ikonik serta kebanggaan masyarakat di Sabah.

Selain terkenal dengan daya tarikan jambatan gantung terpanjang, iaitu 200 meter itu turut lebih popular sejak lagu Jambatan Tamparuli sepanjang dicipta penyanyi tempatan terkenal, Justin Lusah suatu ketika dahulu.

Malahan, di sebelahnya pula terdapat satu jambatan konkrit menghubungkan kenderaan dari luar daerah ke pekan terbabit sebenarnya menyimpan satu mitos yang cukup diketahui orang ramai, khususnya penduduk sekitar apabila dikatakan seorang gadis bernama Solungkoi pernah menjadi korban bagi membina jambatan konkrit berkenaan.

Namun, sehingga hari ini, kedua-dua jambatan itu masih berdiri teguh dan dijaga penduduk sekitar sebaik mungkin bagi memastikan ia kekal bermanfaat sebagai kegunaan harian.

Kini, Jambatan gantung Tamparuli sudah pun bertukar 'wajah' selepas dihiasi lukisan mural atau corak bermotifkan tradisional yang mengandungi ciri-ciri etnik terdapat di daerah Tuaran.

Ceriakan jambatan gantung Tamparuli

Penyelaras projek lukisan mural, Dohimbang Bongkihoi, berkata idea untuk menceriakan tiang jambatan gantung Tamparuli itu dilaksanakan demi mempertahankan budaya etnik yang terdapat di daerah itu.

"Corak terdapat pada tiang ini melambangkan etnik yang terdapat di daerah ini khususnya masyarakat Dusun dan Cina".

"Kini, ia kelihatan lebih indah dan menarik dipandang pengunjung sekali gus dapat mempromosikan hasil seni tempatan sama ada bakat pada pelukis mahupun produk akan dipamerkan atau dijual di sekitar jambatan gantung ini," katanya.

Menurutnya, seni lukisan mural itu dihasilkan tujuh sahabat yang juga guru sekolah yang digelar '7 Tompinai' atau dalam bahasa melayunya Tujuh Bersaudara diketuai, Saidina Atiman.

Perancangan bermula melakar idea sehingga terhasilnya karya mural yang dikenali Mural Linangkit dan Lelewangan Jambatan Gantung Tamparuli itu terdiri corak geometrik di permukaan setiap tiang serta dipadankan corak kain tenunan daripada Hajah Suraya @ Litar Agon.

Selain itu, terdapat juga corak lelawangan masyarakat Bajau pada gelegar mendatar di tiang jambatan.

Ikonik masyarakat Tamparuli

Malah Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim, menganggap lukisan mural bercorak etnik tempatan itu bakal memberi wajah baharu kepada Tamparuli sebagai tarikan pengunjung khususnya pelancong dalam dan luar negara yang menjadikan ia kawasan persinggahan ke Taman Kinabalu Kundasang, Ranau.

Katanya, meskipun jambatan itu sering menjadi sebutan di pelusuk negara, namun bagi seluruh dunia ia masih perlu diberi nilai tambah bagi menceriakannya yang menjadi ikonik bagi masyarakat Tamparuli.

"Lukisan mural dengan corak tradisi atau budaya etnik dilihat lebih sesuai agar ia dikenali sebagai identiti atau budaya masyarakat sekitar".

"Lukisan ini mampu menyerikan lagi tugu peringatan tentera Australia dan Lagenda Solungkoi sekali gus meningkatkan peluang pekerjaan dalam kalangan penduduk terhadap produk-produk berkaitan tradisi serta kebudayaan," jelasnya.

Info:

Mengenai Jambatan Tamparuli:

* Terletak di daerah Tuaran, Sabah

* Kebanyakan penduduk berbangsa Kadazan-Dusun.

* Terkenal dengan daya tarikan mempunyai jambatan gantung terpanjang

* Ada lagu Jambatan Tamparuli

* Antara jambatan kayu seperti lain-lain di Sabah

* Dipercayai dibina, jurutera British selepas perang (1950an)

Related Article