Trending
Kembara

Rindu bunyi siren masuk waktu iftar

MENJALANI ibadah puasa sepanjang Ramadan momen yang ditunggu-tunggu umat Islam kerana memiliki 1,001 macam keberkatan dan menggandakan pahala.

Yang pasti laungan azan Maghrib dari masjid, surau atau corong radio, televisyen, telefon bimbit, menandakan tiba waktu berbuka puasa di serata pelosok dunia, ditunggu-tunggu mereka.

Setiap tempat pula mempunyai cara tersendiri seperti memukul beduk atau membunyikan siren sebagai tanda sudah masuk waktu iftar dan imsak.

Dulu, di Masjid Jamek Sultan Ibrahim yang menjadi antara mercu tanda Bandar Maharani Bandar Diraja, Muar, bunyi siren menandakan masuk waktu berbuka puasa dan imsak amat ditunggu-tunggu penduduk setempat dan pengunjung.

Namun, bunyi siren dan meriam sebagai petanda masuknya waktu solat fardu lima waktu serta dibunyikan sepanjang Ramadan, bukan lagi jadi rutin.

Siren diletakkan di menara tingkat kedua bahagian depan masjid menggunakan kuasa elektrik itu juga hanya tinggal sejarah.

Sebelum adanya bekalan elektrik, siren berkenaan dibunyikan dengan menggunakan kuasa bahan api yang dijana dengan putaran tangan.

Difahamkan ketika ini siren itu hanya digunakan pada waktu-waktu tertentu kerana bunyinya sudah 'tenggelam' dan kurang sesuai lagi disebabkan kebisingan kenderaan yang lalu lalang.

Antara masjid tertua, jadi tarikan

Bagi penduduk tempatan sendiri meskipun ia tidak kedengaran bunyi siren itu dan sekadar nostalgia, namun mereka tetap berbangga dengan kewujudan masjid berkenaan serta merindui saat itu.

Yang pasti Masjid Jamek Sultan Ibrahim, berusia 92 tahun ini, adalah masjid tertua di Johor dan berdiri gah sekali gus berfungsi sebagai rumah ibadat yang menjadi tumpuan serta tarikan pengunjung.

Ketika melintasi Jambatan Sultan Ismail, yang merentasi Sungai Muar dan menghubungkan bandar Maharani dengan Tanjung Agas, kita disajikan dengan pemandangan masjid berwarna putih dan kubah berwarna biru tersergam indah.

Tenang mendengar pancuran air

Masjid itu dibina gabungan ciri-ciri pembinaan zaman kolonial Eropah dan nilai estetika Islam.

Seni binanya unik jelas kelihatan menerusi struktur reka bentuk di pelbagai pelosok ruang dengan hiasan dalam menarik seperti tiang, lampu dan ukiran di mimbar masjid.

Warisan budaya estetika terserlah termasuk pada kolam untuk mengambil wuduk.

Hati pula rasa tenang apabila mendengar bunyi pancuran air pancut yang turut menghiasi di tempat mengambil wuduk.

Memasuki ruang dalam, pandangan mata akan terpanah dengan satu set jam matahari yang masih berfungsi dengan baik menggambarkan keunikan inovasi cendekiawan Islam zaman silam.

Mampu muat 2,000 jemaah bersolat Aidilfitri

Menjelang Aidilfitri ini Masjid Jamek Sultan Ibrahim ia bakal menjadi tumpuan dengan dipenuhi penduduk tempatan dan perantau yang pulang menyambut Syawal.

Mengikut kapasiti, masjid ini mampu memuatkan kira-kira 2,000 untuk solat Aidilfitri, selain mengambil kesempatan untuk merakam video atau gambar kenangan.

Seperti kelaziman, masjid ini juga menjadi lokasi pertemuan rakan-rakan lama pulang beraya selepas menunaikan solat Aidilfitri.

Related Article