Trending
Lain-lain (Hujung Minggu)

Ikan salmon rangsang fungsi otak dan memori

MAKANAN laut bukan sahaja hidangan yang lazat malah ia mempunyai banyak khasiat yang tertentu termasuk ia menjadi keperluan kepada tubuh kanak-kanak.

Berdasarkan kajian yang dilakukan di Norway, mendapati hanya kira-kira dua daripada 10 kanak-kanak didapati mengambil makanan laut secara mencukupi.

Antara makanan laut yang digalakkan adalah ikan salmon kerana ia mempunyai pelbagai khasiat termasuk meningkatkan fungsi otak dan memori selain kaya dengan vitamin A dan asid amino.

Kajian terbaharu itu turut membabitkan kebanyakan negara lain, mendapati kanak-kanak tidak cukup mengambil ikan mengikut garis panduan diet kebangsaan.

Malah, kajian itu juga mendapati kira-kira 80 peratus kanak-kanak tidak makan dua hingga hidangan makanan laut bagi tempoh seminggu seperti disyorkan garis panduan nutrisi kebangsaan.

Data itu membabitkan kanak-kanak dan remaja berusia antara 8 hingga 19 tahun yang dibuat Ipsos bagi Majlis Makanan Laut Norway.

Perlu sumber nutrisi

Menjelaskan lebih lanjut, Pengarah Jualan Asia Tenggara, Majlis Makanan Laut Norway, Asbjorn Warvik Rortveit, berkata perkara itu diambil berat ibu bapa dengan mempelbagaikan sajian ikan kerana makanan laut itu mempunyai manfaat kepada kesihatan.

"Ada kajian mendapat kanak-kanak lebih gemar menikmati ikan berbanding makanan laut lain namun tabiat itu dipupuk kerana lazimnya mereka menyukai apa yang menarik minat, menyelerakan dan dimasak segar.

"Sebenarnya masalah ini tidak hanya di Norway malah di kebanyakan negara Barat termasuk Asia Tenggara hinggakan kita bimbang kanak-kanak tidak memperoleh sumber nutrisi mencukupi," katanya.

Beliau berkata, isu tidak cukup sumber protein itu diibaratkan seperti bom jangka dalam aspek kesihatan awam dan sepatutnya kanak-kanak mempunyai nutrisi mencukupi selain pada masa masyarakat dunia dididik makan hasil laut yang diternak secara segar dan lestari.

Menurutnya, kajian seumpama itu pernah dilakukan pada 2018 di Amerika Syarikat (AS), mendapati hanya enam peratus kanak-kanak dan remaja berusia dua hingga 19 tahun mengambil sajian ikan dua kali seminggu selain pengambilan makanan laut lain adalah rendah sejak 2007.

Cef Sous Curious Kitchen, Cef Jordash DeCruz, mengesyorkan ibu untuk mempelbagaikan sajian misalnya memasak ikan salmon dan Fjord Trout ke dalam pasta atau mengolah ramuan sosnya sendiri untuk menambat selera si kecil.

"Kreativiti masakan akan menarik minat si kecil untuk menikmatinya walaupun pada asasnya mereka tidak menggemari sejenis ikan namun kerana hidangannya segar, enak mereka akan memakannya.

"Mungkin ketika ini sukar untuk membawa keluarga makan di luar berikutan ramai bimbang penularan COVID-19, tetapi boleh saja sajian sihat boleh dinikmati daripada air tangan ibu. Lebih enak, berkhasiat," katanya menyajikan resipi enak pada acara makanan tengah hari secara maya baru-baru ini.

Implikasi jangka panjang

Asbjorn menjelaskan cabaran kesihatan awam memberikan implikasi jangka panjang hingga membolehkan kanak-kanak kehilangan nutrien penting menyokong perkembangan sihat.

"Ini kerana apa yang dimakan ketika kecil kita menjadi asas bagi diet kita pada masa dewasa.

"Ikan dan makanan bercengkerang adalah sumber protein rendah lemak, kaya vitamin penting dan mineral termasuk iodin dan Omega-3 yang boleh didapati dalam ikan salmon dan mackerel" katanya.

Katanya, seseorang tidak perlu menjadi tukang masak handal untuk menyediakan sajian makanan enak tetapi perlu mengolah resipi secara sihat, ringkas dan segar.

"Ini sudah mencukupi tidak kira sajian ikan segar, produk ikan sejuk beku kerana ikan berkualiti mampu mengekalkan kesegaran walaupun sudah disimpan lama," katanya.

Info: Manfaat ikan salmon

• Meningkatkan fungsi otak dan memori - mengandungi vitamin A dan asid amino.

• Mengurangi keradangan, pembekuan darah dan menghilangkan risiko strok, radang sendi atau kanser.

• Pengembangan otot menerusi kandungan protein dan asid amino.

• Meningkatkan metabolisme - mengawal diabetes dan gula dalam darah.

• Mencegah serangan jantung.