Trending
Lain-lain (Hujung Minggu)

Dentuman senapang kejutkan penduduk di awal pagi

BUNYI dentuman senapang dari Balai Polis Bukit Kepong, pada awal pagi itu masih terngiang-ngiang dalam kotak fikiran warga emas ini.

Meskipun menetap kira-kira enam kilometer (km), dari rumah Ibrahim Tolah, 84, yang tinggal di Kampung Gek, Bukit Kepong, Muar, bunyi tembakan yang seolah-olah seperti dentuman mercun, jelas kedengaran.

Mengimbas memori berkenaan, Ibrahim salah seorang penduduk dari kampung berkenaan ketika itu berusia 12 tahun sedang nyenyak tidur di rumah keluarga bersama ibu dan ayah.

Masa itu kami sekeluarga sedang tidur termasuk ibu dan ayah, namun terkejut dengan bunyi bising datang dari arah balai polis.

Berikutan masih budak lagi ketika itu, maka saya tidak mengetahui dengan lebih lanjut apa yang sedang berlaku.

Namun, saya dimaklumkan ketika itu, ramai penduduk kampung pergi ke balai polis itu untuk membantu walau berdepan risiko.

Ternyata, walaupun sudah lebih 70 tahun tragedi itu berlalu, namun penduduk kampung sekitarnya pasti tidak melupakan insiden berdarah terbabit.

Buktinya, situasi itu yang dikongsikan oleh Ibrahim kepada penulis yang bertanya mengenai sejarah Bukit Kepong ketika singgah di kedai makan berhampiran bagi menghilangkan dahaga, penduduk sekitar amat ringan mulut membuka cerita.

Penulis mengambil kesempatan membuat liputan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sepanjang bulan lalu sambil 'mengenali' dengan lebih rapat mengenai sejarah Bukit Kepong.

Ketika ditugaskan mengikut calon berkempen, penulis turut melawat Galeri Darurat Bukit Kepong yang terletak kira-kira 60 km dari bandar Muar.

Dikejutkan dentuman senapang

Berkongsi cerita lanjut Ibrahim mengakui dirinya antara saksi yang kini masih hidup dan menyaksikan insiden terbabit.

Menurut Ibrahim, ketika kejadian dia baharu berusia 12 tahun dan dirinya tidak sangka pagi itu dikejutkan dengan bunyi dentuman senapang dari Balai Polis Bukit Kepong.

Menurutnya, bapa saudaranya yang ketika itu bertugas di balai polis terbabit turut terkorban akibat serangan komunis.

Pada jam kira-kira 5 pagi pada 23 Februari 1970, segerombolan 200 pengganas komunis menyerang balai polis terbabit sebelum mengorbankan puluhan anggota pasukan keselamatan.

Kenangan sejarah itu kini boleh disaksikan seluruh rakyat Malaysia di Galeri Darurat Bukit Kepong yang menampilkan pelbagai artifak seperti senjata api, pakaian, keadaan berek anggota dan beberapa kenderaan yang pernah digunakan pasukan keselamatan.

Pengunjung juga berpeluang mendapatkan maklumat berkaitan polis yang disusun dengan kemas selain ruang interaktif seperti tayangan filem sejarah Bukit Kepong diarahkan oleh seniman negara, Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin.

Hargai wira Bukit Kepong

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamad, yang ditemui penulis turut bersetuju bahawa usaha memperingati sejarah Bukit Kepong setiap tahun harus disemarakkan bagi memastikan generasi muda menghargai keamanan yang dikecapi kini.

Ismail sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang (kini dikenali sebagai Bukit Kepong) berkata, ketika itu pihaknya tidak pernah ketinggalan menganjurkan program mengingati detik bersejarah setiap tahun.

Ketika menjadi wakil rakyat di sini pada 2013 hingga 2018, setiap tahun kita akan mengadakan tahlil dan karnival rakyat bagi memperingati hari itu.

"Kita mahu pengorbanan pasukan polis ini dihargai semua masyarakat sampai bila-bila khususnya kepada golongan muda," jelasnya.

Selain sambutan memperingati pengorbanan anggota bertugas, Ismail turut menjejaki waris mereka untuk diberikan bantuan.

"Besar harapan saya supaya program menghargai wira Bukit Kepong yang diadakan pada 13 Februari lalu diteruskan oleh wakil rakyat sedia ada" luahnya mengakhiri perbualan.

Info:

Galeri Bukit Kepong

* Terletak kira-kira 60 kilometer dari bandar Muar

* Menyimpan pelbagai khazanah berkaitan Tragedi Bukit Kepong

* Dibina dengan kos RM11.5 juta bagi menghargai jasa dan pengorbanan anggota polis berjuang daripada komunis

* Ada artifak seperti senjata api, pakaian, keadaan berek anggota dan kenderaan pasukan keselamatan

Related Article