Trending
Lain-lain (Hujung Minggu)

Tiga daerah Wilayah Utara sarat warisan

Tiga daerah di Wilayah Utara Perak, iaitu Lenggong, Kuala Kangsar dan Taiping kaya dengan monumen warisan mercu tanda, seni bina sejarah, adat tradisi, perdagangan, tapak arkeologi, kepelbagaian biodiversiti serta budaya sekali gus boleh dimanfaatkan secara menyeluruh.

Lenggong umpamanya mungkin sebuah kawasan kecil dalam peta di negeri itu, tetapi daerah di bahagian Hulu Perak ini mempunyai peninggalan sejarah awal yang 'besar' serta menjadi tapak arkeologi penting bagi ketamadunan serta penempatan manusia.

Daerah ini menjadi perhatian dunia selepas rangka Orang Perak atau Perak Man yang hampir sempurna dan tertua pada era Paleolitik, dianggarkan hidup antara 10,000 hingga 11,000 tahun lalu, ditemui dalam Gua Gunung Runtuh, Bukit Kepala Gajah pada 1991.

Nilai prasejarah yang besar di Lembah Lenggong menyebabkan ia diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sedekad yang lalu.

Kajian geologi di Bukit Bunuh, Lenggong menunjukkan bukti mengenai kemusnahan budaya awal Paleolitik kesan bencana meteorit 1.83 juta tahun lalu, menyebabkan wujudnya kesan hentaman ditinggalkan batuan asal terlebur dikenali sebagai Suevite.

Penemuan alat batu seperti kapak genggam di dalam Suevit, menunjukkan Lembah Lenggong sebagai pusat penempatan terawal yang pernah wujud.

Sayangnya, penghayatan yang kecil terhadap nilai sejarah dibawa tapak arkeologi penting di Perak ini, menyebabkan ia masih tidak diketahui ramai.

3 daerah kaya warisan sejarah dan budaya

Menurut Pengarah Keutamaan Pembangunan Ekonomi berasaskan Kebudayaan Think City, Dr Ceelia Leong, masih ramai tidak menyedari Malaysia sendiri memiliki penempatan terawal manusia, yang juga tertua di luar benua Afrika.

Begitu juga dengan Kuala Kangsar mempunyai pelbagai keunikan apabila ia menjadi bandar diraja pertama, ada Istana Kenangan yang memaparkan seni bina Melayu tradisional, Menara Jam Kuala Kangsar dan banyak lagi.

Di Taiping pula, daerah itu menjadi ibu negeri pertama Perak serta bandar pentadbiran, selain Stesen Keretapi Taiping (stesen kereta api pertama di Malaysia dibina pada 1882).

Justeru, jika ketiga-tiganya daerah itu sambungkan akan melalui lapisan sejarah yang mampu memberikan pengalaman yang lebih menarik untuk pengunjung.

"Pastinya pelbagai keistimewaan dan kelainan seperti tapak arkeologi ia dapat memberi pendedahan serta memperkayakan nilai warisan sejarah di negeri terbabit.

Bagi menggalakkan minat masyarakat kepada sejarah dan merancakkan ekonomi tempatan, Think City mengumumkan peruntukan RM10 juta melalui Program Geran Pemangkin Ekonomi Budaya.

Program yang mendapat kerjasama Kementerian Kewangan (MoF) itu seiring inisiatif pihaknya melalui Rangkaian Arkeopelancongan Wilayah Utara dan Program Pembangunan Ekonomi Tempatan.

Kongsi Ceelia, Rangkaian Arkeopelancongan Wilayah Utara melihat kepada usaha memanfaatkan kekayaan sejarah, kebudayaan dan warisan ketara serta tidak ketara.

Pada masa ini, tumpuan diberikan kepada tiga kawasan di wilayah utara terlebih dahulu iaitu Lenggong, Kuala Kangsar dan Taiping.

Program ini akan melihat ke arah memanfaatkan wilayah utara yang sangat kaya dengan nilai kebudayaan dan sejarah yang luas," katanya.

Destinasi warisan arkeologi antarabangsa

Mengulas lanjut, Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed menjelaskan usaha kini sedang dijalankan pihaknya bagi memastikan sejarah serta budaya bernilai tinggi di daerah ini diraikan dengan cara baharu.

Selain merancakkan ekonomi tempatan, penerokaan arkeologi dan penemuan sejarah ini perlu memperkayakan pengetahuan pengunjung.

"Memang tapak ini sudah wujud sejak sekian lama tetapi lebih utama pengalaman berkunjung ke tapak bersejarah ini perlulah menawarkan peluang merasai pengalaman baharu.

Pada masa sama, negara berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi warisan arkeologi antarabangsa.

"Di luar negara, pelancongan arkeologi adalah industri yang besar, justeru kita mahu memulakan projek ini.

"Ini sebagai permulaan kepada pelbagai program yang akan dibangunkan kerana kita melihat tapak warisan budaya tanah air ini penting bukan saja di dalam negara malah di peringkat antarabangsa.

"Penekanan ini akan meletakkan negara pada kedudukan yang sangat kompetitif setanding beberapa tapak utama di seluruh dunia," katanya.

Bagi memastikan matlamat pembangunan Wilayah Utara ini berjalan lancar program Geran Pemangkin Ekonomi dilaksanakan untuk memanfaat warisan arkeologi Malaysia sebagai pemboleh pertumbuhan sosioekonomi.

Program itu mendapat kerjasama Kementerian Kewangan (MoF) ini, geran bernilai RM10 juta diperuntukkan dalam Bajet 2022 bagi mempertingkat pembangunan ekonomi berasaskan budaya di wilayah terbabit.

Hamdan berkata wilayah utara ini kaya dengan sejarah serta berpotensi berkembang sebagai destinasi utama dari segi kelestarian budaya.

Malah, projek itu juga mendapat sokongan kerajaan negeri dan pihak majlis tempatan akan menggalakkan penerokaan serta penemuan tapak arkeologi di sepanjang koridor kebudayaan itu.

Tujuannya ialah mengaktifkan sumber pembangunan komuniti tempatan, berasaskan budaya, pelancongan, perusahaan komuniti, minat awam dan meningkatkan arkeopelancongan Malaysia sekali gus membantu memulihkan sektor ini yang terjejas teruk akibat COVID-19.

"Pembangunan ekonomi berasaskan budaya adalah antara fokus utama kami kerana pelaburan dalam warisan arkeologi akan menarik perhatian ramai dan berkepentingan untuk menyertai pelbagai aktiviti di koridor kebudayaan di kawasan terbabit.

"Kita sudah mengenal pasti kawasan berpotensi untuk mempertingkatkan pengalaman berasaskan budaya di wilayah utara ini," katanya.

Memperkasakan komuniti

Beliau berharap penerima manfaat geran ini akan dapat mendalami dan mempelbagaikan pengalaman dan pemahaman pengunjung terhadap kepentingan budaya.

Matlamatnya untuk memperkasa komuniti supaya mereka terus berbangga dengan sejarah yang dikongsi bersama dan bakal diterjemahkan kepada aspek sosial, ekologi dan kewangan untuk generasi akan datang.

"Setakat ini, sebanyak 40 permohonan daripada pihak yang berminat sejak geran yang juga sebahagian inisiatif Bajet 2022 itu dilancarkan 11 April lalu," katanya.

Related Article