Trending
Lain-lain (Hujung Minggu)

Trend perantau pulang beraya

HARI ini semua umat Islam menyambut Aidilfitri. Sebilangan besar perantau sudah pulang ke desa, manakala sesetengah dalam perjalanan atau merancang pada hari berikutnya.

Meskipun tarikh 1 Syawal dirai hari ini, dan tersasar daripada jangkaan awal, iaitu pada esok, namun ia tidak mengubah semangat warga kota dan seluruh umat Islam meraikan dengan penuh kemeriahan.

Malah, dendangan koleksi lagu-lagu raya berkumandang di corong radio yang sudah diputar sejak sebelum Syawal hingga sekarang membuatkan mereka melonjak sama tidak sabar ingin bertemu ayah, bonda dan sanak-saudara yang jauh nun di kampung halaman.

Yang pasti banyak momen dirindui untuk dirai bersama keluarga kini terbalas, selain dapat mengunjungi mengunjungi rumah sanak-saudara, sahabat-handai dan jiran tetangga.

Di kala ini juga kediaman ibu bapa atau rumah pusaka sudah sendat dengan ketibaan anak-anak dan cucu-cicit membuat kemeriahan Syawal tambah terasa.

'Mengalah' menginap di inap desa

Hakikatnya, bagi perantau menginap di hotel atau inap desa menjadi trend sama ada untuk menginap sementara atau ada duduk di situ untuk bersama keluarga.

Dengan tiada sekatan rentas negeri seperti dua tahun dulu menjadikan masing-masing amat teruja menghabiskan cuti raya dengan merasai suasana percutian dalam suasana desa.

Bagi adik-beradik ada ramai anak mungkin terpaksa 'mengalah' menginap di hotel atau inap desa disebabkan rumah ibu bapa kecil dan tidak banyak bilik, dan ini pastinya tidak dapat menampung jumlah ahli keluarga yang besar berikutan pulang serentak.

Tempahan penuh di inap desa

Trend itu diakui oleh Pengurus Inap Desa Bagas Zakariah di Jalan Besar Kampung Lawan Kuda, Gopeng, Perak, Nor Azhari Nordin, pada musim perayaan seperti Aidilfitri memang ramai mencari hotel atau inap desa yang berdekatan dengan rumah orang tua sebagai lokasi penginapan sementara disebabkan tidak muat tinggal serumah.

Sempena raya tahun ini, tempahan inap desa Bagas Zakariah ini sudah penuh ditempah bermula 30 April ini hingga 9 Mei depan.

"Tempahan inap desa mereka tahun ini lebih 'meriah' dan amat memberangsangkan selepas dua tahun tidak dapat beroperasi kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sehingga kini inap desa itu masih dihujani panggilan orang ramai untuk membuat tempahan, namun tidak dapat menerimanya kerana sudah penuh.

"Kebanyakan tempahan diterima sebelum Ramadan lagi. Ada yang sudah membuat tempahan sejak tahun tahun lalu.

"Ada yang membuat tempahan sekali gus untuk Aidiladha. Sebab itulah tempahan untuk raya korban tahun ini juga sudah penuh," katanya.

Mahu merasai beraya cara desa

Beliau berkata, trend beraya dan percutian keluarga bersama dengan adik-beradik berkumpul ketika Aidilfitri di kampung dengan konsep 'Old Malaya' memang sangat dirasai di sini kerana inap desa itu berada di kampung.

"Ada perantau yang pulang ke kampung meraikan Aidilfitri bersama adik-beradik sahaja kerana ibu bapa sudah tiada," katanya.

Justeru, beliau juga menerima tempahan keluarga dari kota yang mahu merasai suasana beraya di kampung, malah ada juga bukan Islam mahu merasai suasana sama.

Bagas Zakariah yang dibuka pada 2019 dengan konsep kehidupan kampung, dilengkapi dengan tiga rumah, iaitu Rumah Kuning yang juga rumah asal dibina pada 1920-an, Rumah Lenggong 1950, dibeli dan dipasang semula serta Rumah Lawan Kuda sempena nama kampung lokasi inap desa berkenaan.

Bagas dalam bahasa Mandailing adalah rumah mempunyai suasana kampung lama yang damai dan tradisional, menjadi pilihan perantau atau anak kota beraya dalam suasana desa.

"Suasana kampung lebih menonjol. Pagi kita boleh dengar ayam berkokok, persekitarannya juga tenang dengan pokok bunga kantan, bunga kemboja dan kerak nasi (harum sundal malam) selain terdapat anak sungai.

Inap desa ini kerap menjadi pilihan ramai termasuk untuk merakam video dan gambar kenang-kenangan.

"Ada juga yang menempah satu kampung iaitu ketiga-tiga rumah untuk keluarga mereka tetapi untuk tahun ini setiap rumah ditempah keluarga berbeza," katanya.

Lebih 50 peratus tempah duduk di hotel

Ketua Pegawai Eksekutif Marina Island Group, Ding Mei Looi, pula berkata Marina Island Pangkor Resort dan Hotel sudah melebihi 50 peratus tempahan daripada pelanggan menjelang Aidilfitri ini.

Berdasarkan tempahan, kebanyakan pengunjung memilih hari raya pertama dan kedua untuk menginap di sini.

Sejak Ramadan pihaknya sudah menerima panggilan yang bertanyakan mengenai promosi dan tempahan bilik untuk Aidilfitri.

"Kami mula menerima tempahan seawal minggu pertama bermulanya Ramadan daripada pelanggan di sekitar Perak, iaitu Ipoh, Teluk Intan dan Taiping.

"Selain itu, tempahan turut diterima dari Lembah Klang dan Pulau Pinang," katanya.

Cuti tenangkan fikiran

Ramai pelanggan memilih hotel berkenaan kerana faktor lokasi hotel itu yang berhampiran jeti Marina Island ke pulau bebas cukai, Pulau Pangkor yang mengambil masa selama 10 minit sahaja.

Selain hampir dengan Pulau Pangkor, kedudukan geografi yang terletak di laluan Selat Melaka dengan pemandangan indah dan pelbagai aktiviti seperti berkayak, mengayuh paddle-boat membuatkan ramai teruja untuk menginap di sini.

"Ada yang menginap di sini disebabkan rumah keluarga tidak muat dan kemudian terus mengambil kesempatan untuk menyambung cuti bagi meneruskan aktiviti berekreasi

"Malah ada juga mengambil kesempatan cuti umum panjang untuk berehat bagi menenangkan fikiran," katanya.

Menghias hotel dengan dekorasi Aidilfitri

Tambahnya lagi, trend peningkatan tempahan apabila musim perayaan terutama Aidilfitri bermula sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak ketinggalan menghias hotel dengan dekorasi Aidilfitri bagi membangkitkan suasana hari raya.

"Sejak bermula Ramadan, kami tidak melepaskan peluang menghidupkan suasana hari raya dengan konsep gabungan dekorasi ala Arab dan tradisi Melayu. Dekorasi konsep sama juga dibuat tahun ini untuk bufet Ramadan," katanya.

Teruja rai raya di kampung

Sementara itu, bagi pasangan baru berkahwin, Jamilin Shukri Ali dan Norazilawati Senin, mengakui sambutan Aidilfitri tahun ini berbeza kerana ini adalah kali pertama pulang ke kampung bersama isteri yang mahu merasai suasana desa.

Jamilin anak kelahiran Muar, Johor menyewa di inap desa, jaraknya tidak jauh dari rumah pusaka orang tuanya untuk berkumpul bersama empat lagi adik-beradiknya yang semua tinggal di Kuala Lumpur manakala seorang kakaknya tinggal di Johor Bahru.

"Hari ini, isteri saya paling teruja kerana dia anak jati Kuala Lumpur dan tidak mempunyai kampung. Jadi raya kali ini dapat merasai suasana kehidupan kampung.

"Walaupun kedua-dua ibu bapa saya sudah meninggal dunia lebih 10 tahun lalu, tapi kami lima beradik bersepakat untuk pulang beraya di rumah pusaka.

"Saya sebak setiap kali pulang beraya di rumah pusaka ini kerana tiada lagi ibu dan ayah menyambut kami untuk meraikan bersama.

"Tiada lagi dapat merasai ketupat, lodeh dan dodol hasil air tangan ibu, tapi tetap tidak mematahkan semangat kami bersama adik-beradik dan anak saudara yang ramai beraya di kampung sejak lebih 10 tahun lalu hingga kini," katanya.

Sertai majlis marhaban

Jamilin mendaftar masuk ke inap desa terbabit kerana mahu memberi peluang kepada abang dan kakaknya yang mempunyai keluarga besar menginap di rumah pusaka.

"Pagi ini semua adik-beradik berkumpul beramai-ramai untuk bermaaf-maafan, menikmati pelbagai juadah sebelum beraya di rumah sanak-saudara.

"Uniknya di kampung saya masih mengadakan marhaban dari rumah ke rumah. Esok, saya akan mengikut kumpulan marhaban. Ini saat paling menarik kerana dapat berjumpa perantau lain dan rakan sekampung," katanya.

Related Article