Trending
Lain-lain (Hujung Minggu)

Khazanah hutan semakin 'kritikal'

SPESIES pokok balak atau nama saintifik, shorea kuantanensis dan lebih kenali dalam kalangan penduduk tempatan sebagai pokok Damar Hitam Siput Daun Besar, pernah dilaporkan sudah pupus di dunia oleh 'Malaysia Plant Red List: Peninsular Malaysia Dipterocarpaceae' akibat aktiviti penukaran tanah hutan kepada pertanian, pada 2018.

Pokok dari kumpulan kayu keras sederhana dalam kumpulan damar sebelum ini hanya boleh ditemui di Hutan Simpan Bukit Goh, Kuantan, Pahang pada 1963.

Bagaimanapun, tiga pokok Damar Hitam Siput Daun Besar, ditemui semula di Taman Eko-Rimba Lata Tembakah terletak di Hutan Simpan Pelagat, Hulu Besut di Jerteh, Terengganu, pada Ogos 2014.

Pokok itu ditemui oleh pegawai Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Mohd Nasir Mohd dan Salleh Endut ketika memasuki hutan terbabit.

Susulan penemuan itu JPSM dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu mengambil langkah pemeliharaan dan pemuliharaan spesies pokok itu dengan menubuhkan petak Hutan Yang Mempunyai Nilai Pemuliharaan Yang Tinggi (HCVF) di Hutan Simpan Pelagat.

Penubuhan HCVF bertujuan memastikan shorea kuantanensis dapat diurus dan dipulihara secara efektif bagi mengelakkan kepupusan.

Kawasan itu juga tidak dibenarkan sebarang aktiviti seperti pembalakan, riadah dan sebagainya kerana boleh mengganggu

tumbesaran pokok.

Pada masa sama, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang untuk mengagihkan anak benih pokok untuk ditanam di kawasan bersesuaian sekitar Kuantan bagi tujuan menambah populasi spesies Damar Hitam Siput Daun Besar.

Kegunaan pokok damar

Penyelidik pokok hutan termasuk spesies damar yang juga pensyarah Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Nazre Saleh, berkata shorea kuantanensis adalah spesies damar yang menjadi khazanah hutan wajar terus dipelihara sama seperti cengal, merawan, keruing, balau serta meranti.

Dengan pelbagai kegunaan dan dikatakan pula mempunyai khasiat tersendiri, mempunyai nilai yang tinggi menjadikan pohon berkenaan sentiasa menjadi buruan.

Katanya, damar sebenarnya bahan terdapat di bahagian dalam pokok yang turut dikenali sebagai resin, antara fungsinya melindungi pokok itu jika terluka.

"Bentuk damar ini seperti getah pokok. Apabila keluar ia sedikit cair, namun lama-kelamaan akan menjadi keras dan perlu dicairkan semula sebelum digunakan.

"Damar sudah mengeras itu diambil dan digunakan sebagai bahan bakar, perekat, varnis dan ada juga digunakan untuk menjadi minyak wangi.

"Bau damar ini pula berbeza dengan gaharu kerana baunya seakan bau kemenyan," katanya.

Spesies kritikal dan hampir pupus

Untuk perubatan, beliau tidak dinafikan ada menggunakan damar secara tradisional, namun dalam jumlah yang kecil kerana jika tersalah atau terlebih, ia boleh membahayakan kesihatan.

"Bagaimanapun, kegunaan pokok damar lebih sebagai salah satu sumber kayu balak kerana ia lebih berharga.

"Pokok Damar Hitam Siput Daun Besar kemungkinan dahulunya ditebang kerana tidak tahu ia adalah spesies yang kritikal dan hampir pupus," katanya.

Mohd Nazre berkata, jangka hayat pokok damar mampu mencapai hampir 200 tahun dan hanya mula matang ketika berusia 30 sehingga 50 tahun.

Mengenai Damar Hitam Siput Daun Besar yang pupus dalam laporan sebelum ini adalah disebabkan berlaku penukaran kawasan berhutan kepada pembangunan termasuk untuk pertanian di sesebuah kawasan menjadikan antara punca utama habitat pokok musnah sama sekali.

Katanya, tidak semua orang mengenali pokok damar terutama spesies Hitam Siput Daun Besar, malah sehingga kini usaha untuk merekodkan dan mengkaji spesies pokok lain di hutan masih dilakukan oleh Jabatan Sains Perhutanan dan Biodiversiti, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, UPM, agensi lain seperti Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) serta JPSM.

"Berkemungkinan spesies shorea kuantanensis ini boleh didapati di kawasan lain juga tetapi kemungkinan itu sangat kecil.

"Malah jumlah pokok yang ditemui semula itu di Hutan Lata Tembakah boleh dikatakan sangat kecil jika dibandingkan dengan jumlah keluasan hutan di Malaysia dan di seluruh dunia yang menjadikan spesies ini endemik dan berstatus kritikal untuk terus dipulihara," katanya.

Usaha kekalkan populasi spesies damar

Lantas usaha mencari lagi populasi pokok berkenaan itu katanya, bukan satu usaha yang mudah kerana selain memerlukan kepakaran dan tenaga kerja, ia turut membabitkan sumber kewangan yang banyak bagi tujuan meneroka dan merekodkan spesies tumbuhan.

"Dalam satu hektar di kawasan berhutan, berkemungkinan terdapat antara 700 sehingga 1,000 pokok yang terdiri daripada pelbagai spesies.

"Untuk mengkaji satu persatu spesies yang ada, kajian botani dan ekologi perlu dilakukan berdasarkan saiz plot tertentu yang dibina dan ia turut mengambil masa," katanya.

Justeru katanya, penting supaya pokok-pokok yang sudah diketahui habitatnya terutama semakin diancam kepupusan itu harus terus dipulihara.

Banyak aktiviti pencerobohan hutan

Katanya, untuk memulihara pokok atau kawasan yang mempunyai tumbuhan penting seperti Damar Hitam Siput Daun Besar, memerlukan usaha yang paling mudah iaitu dengan tidak berbuat apa-apa iaitu membiarkan sahaja ia hidup dalam keadaan semula jadi terutama di dalam hutan termasuk melarang apa sahaja aktiviti manusia di dalam habitatnya.

Namun katanya, usaha itu amat sukar dilakukan berikutan ketika ini terlalu banyak pencerobohan hutan oleh pelbagai pihak termasuk aktiviti rekreasi dan riadah yang sekali gus mengakibatkan tumbuhan di habitat asal terganggu serta musnah di tangan manusia.

"Apabila manusia masuk ke hutan terutama bagi menjalankan aktiviti contohnya secara haram, pasti ada perbuatan yang tidak sepatutnya dilakukan seperti mencabut pokok atau penebangan pokok kecil bagi membuat khemah atau buaian.

"Perbuatan itu akan menyebabkan kerosakan tumbuhan dalam hutan tanpa disedari.

"Pokok di dalam hutan amat sensitif dan mudah terganggu terutama spesies yang tidak mudah dijumpai seperti Damar Hitam Siput Daun Besar dan akhirnya musnah secara perlahan.

"Oleh kerana spesies tumbuhan di dalam hutan hidup dalam satu komuniti dengan pelbagai spesies, tetapi jika berlaku gangguan pada sebatang pokok, maka pokok sekelilingnya juga akan terjejas sekali gus mungkin ada yang mati secara perlahan-lahan.

"Hakikatnya, komuniti pokok di dalam hutan saling memerlukan 'rakan-rakan' mereka sendiri bagi tujuan kemandiran (survival) untuk terus hidup.

"Ini kerana spesies berkenaan tidak boleh berpindah seperti haiwan. Sejak jutaan tahun dahulu mereka hidup dalam ekosistem sebegitu," katanya.

Ekosistem hutan terganggu

Mohd Nazre berkata, ekosistem hutan jika terganggu perlu mengambil masa lama untuk pulih, iaitu sekurang-kurangnya 30 tahun atau lebih. Malah, untuk pulih sepenuhnya seperti keadaan asal memerlukan ratusan tahun.

Namun, sebagai manusia yang turut memerlukan hutan bagi kehidupan seharian termasuk ekonomi, rekreasi dan lain-lain kegunaan, sudah pasti tidak dapat mengelak untuk masuk ke hutan.

"Kini ada konsep lestari dalam pengurusan hutan termasuk mengetatkan kawalan, contohnya keperluan permit.

"Dengan itu ia dapat mengawal jumlah manusia yang memasuki hutan supaya tidak mengganggu atau memberi impak besar kepada ekosistem hutan," katanya.

Justeru, beliau amat berharap supaya konsep pengurusan lestari itu dapat digunakan secara berterusan supaya hutan terus terpelihara terutama untuk generasi akan datang.

Selain itu katanya, masyarakat juga perlu mengawal diri ketika di dalam hutan supaya tidak mengusik atau merosakkan pokok bagi mengelak ia diancam kepupusan.

Ketika ini, terdapat kira-kira 10 spesies damar hitam seperti Damar Hitam Gajah dan Damar Hitam Telepok, namun tidak banyak maklumat diperoleh berkaitan Damar Hitam Siput Daun Besar.

Related Article