Trending
Santai

Tarikan baharu 'kaki seni'

SESUATU lokasi akan lebih ramai dikunjungi dengan adanya destinasi peranginan tanah tinggi, pulau, air terjun. taman tema atau tapak peninggalan sejarah yang popular.

Namun, lakaran seni jalanan dan karya lukisan turut mengheret individu meneroka keunikannya yang menterjemahkan nilai estetika tersendiri, walau di mana juga lokasinya.

Umpamanya, Kapallorek Art Space terletak di Seri Iskandar, Perak, antara tarikan baharu di daerah itu yang wajar dikunjungi termasuk kepada 'kaki

seni'.

Bahkan penulis teruja melihat dan merasai mesej disampaikan pada lukisan, malah dianggap 'lengkap' dengan penggunaan aplikasi seperti Artivive dan ARvid.

Menerusi pameran ANTARA di Kapallorek Art Space, baru-baru ini menampilkan kepelbagaian karya artis muda berbakat besar, baru-baru ini.

Menurut pengasas dan pemilik Kapallorek Art Space, Fadly Sabran, 38, galeri itu menganjurkan pameran setiap dua bulan dengan tema serta konsep berbeza. Setakat ini, hampir 100 pameran dianjurkan di sini.

"Bukan saja artis lokal, ada pelukis luar negara hadir berkongsi ilmu dan karya termasuk dari Jepun, Russia, Perancis dan Jerman. Kalau mereka 'travel' ke Asia mereka akan singgah ke sini.

"Antara artis lokal terkenal dengan media baharu dan seniman kontemporari yang pernah membuat pameran di sini seperti Haris Abadi, Azizan Paiman, Mohd Farizal Puadi, Roopesh Sitharan dan Hawari Berahim," katanya.

Pencinta seni kreatif

Setakat ini, sambutan diterima sangat menggalakkan sekali gus Kapallorek Art Space semakin dikenali sebagai tarikan baharu orang ramai terutama pencinta seni kreatif meluangkan masa menerokai pameran seni.

"Mereka yang datang ke kafe mengambil peluang 'meneroka' pameran di galeri, sekali gus dapat memberi pendedahan baharu kepada masyarakat di sini yang sudah mengenali kita sebagai pusat seni," katanya.

Februari ini, lima seniman lokal dan lima dari Indonesia akan mengadakan pameran.

Lebih menarik, keupayaan dan lenggok pelukis menyentuh emosi dan pemikiran penonton terserlah pada karya ditampilkan, biarpun medium digunakan agak unik serta tersendiri.

Justeru, galeri dibangunkan pada 2014 itu menyediakan platform alternatif untuk artis media baharu, seni antara disiplin, artis eksperimen, residensi artis dan penyelidik seni.

Di sini diadakan pameran, bengkel, seni persembahan, sesi dialog dan perkongsian mengenai amalan kreatif dengan komuniti setempat, selain pertukaran projek seni kerjasama dengan pengamal seni serta ruang seni serantau serta antarabangsa.

"Kita berpindah ke bangunan ini dua tahun lalu dengan berkolabarasi bersama kafe Kopi Mesin dimiliki seorang rakan. Galeri kami di tingkat atas boleh menempatkan 15 hingga 20 karya dua atau tiga dimensi.

"Di sini tiada ruang menganjurkan pameran dan galeri atau aktiviti kesenian untuk artis tempatan secara khusus membawa kepada wujudnya galeri ini, selain pameran bersama pelajar sebagai landasan untuk melihat dengan lebih dekat penganjuran pameran sebenar," katanya yang berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Seni Halus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar.

Medium teknologi media baharu

Mengulas lanjut, mendalami seni media baharu dalam bentuk seni moden yang dibuat, disunting atau dihantar menggunakan medium teknologi media baharu.

Ini termasuk karya dengan objek robotik, video, seni yang ada durasi dan animasi komputer serta seni digital, seni interaktif, 'augmented reality' dan seni alam maya.

Memandangkan teknologi sentiasa berkembang pesat, teknologi media baharu sering dicipta dan diteroka oleh artis demi menghasilkan karya yang seiring dengan peredaran zaman.

Fadly berkata, ANTARA menjadi pameran menyokong idea inovasi dan kontemporari dalam industri seni keeatif dan meneroka idea melalui estetika alternatif dalam seni.

"Ia berkaitan seni dan teknologi. Contohnya ia bukan sekadar bentuk saja dan sesuatu karya itu dianggap lengkap dengan menggunakan aplikasi.

"Seni tidak tertakluk kepada lukisan semata-mata dan ironinya ia berubah mengikut peredaran zaman. Kita galak seniman muda dengan idea yang segar. Seni adalah sama cuma medium berbeza mengikut kreativiti seniman," katanya.

Seni itu lebih menonjolkan aspek berinteraksi dengan visual bergerak dan bunyi yang dapat menarik orang menghayati karya.

"Selain campuran media, medium lain digunakan dalam penghasilan semua karya berkenaan membabitkan video, bunyi, interaktif aplikasi, dan seni pemasangan," katanya bakal menyertai pameran di Venice Bienalle, Itali pada April ini dengan membawa karyanya sendiri," katanya.

Galeri Kapallorek Art Space

* Menyediakan platform karya seni pelukis dalam dan luar negara

* Lokasi di Seri Iskandar, Perak

* Dibuka setiap hari

* Waktu operasi : 10 pagi hingga 5 petang

* Masuk percuma

* Yuran serendah RM10 untuk penyertaan bengkel seni dianjurkan

Related Article