Trending
Santai

Sungai Atas Sungai

SUNGAI mempunyai fungsi tersendiri dan menjadi khazanah alam perlu dipelihara supaya dapat memberikan sebagai sumber air untuk kegunaan manusia, tanaman serta domestik.

Aliran sungai di kawasan hilir selalunya membawa bahan mendapan yang kaya dengan nutrien sebelum mendap di kawasan lembah sungai, sekali gus sesuai dijadikan sebagai kawasan pertanian.

Namun, berbeza dengan sebatang sungai di Kampung Ijok dan Kampung Redang Panjang terletak kira-kira 17 Kilometer dari Pekan Selama, Perak.

Sungai Redang Panjang ini berpotensi menjadi tarikan pelancong ke negeri itu. Kalau kita tidak berjalan dan mengambil tahu tempat menarik di negara ini, negeri mana yang menawarkan destinasi percutian terbaik untuk diterokai, pasti 'bagaikan katak di bawah tempurung'.

Jadi, sesuailah kita terus meneroka ke sini, jika tidak juga selama-selamanya kita tidak tahu.

Jadi terusan air ke Sungai Redang Panjang

Lazimnya sungai akan bercantum dengan sungai lain. Namun, berbeza di salah satu sungai di sini, mempunyai satu terusan air yang mengalir di bawah sebatang sungai iaitu 'Sungai Atas Sungai'.

Sungai Atas Sungai ini adalah terusan air dilencongkan dari Sungai Ijok dan merentasi Sungai Redang Panjang yang mengalir di bawahnya.

Pasti sesiapa menjejakkan kaki ke lokasi ini teruja melihat dan melintasi sebuah jambatan yang dibina pada 1936 merentasi terusan berkenaan dan masih kukuh sehingga hari ini.

Jambatan ini dibina kukuh, dilengkapi rekaan melengkung begitu menarik dengan palang besi jarang-jarang mengikut reka bentuknya sebagai pengadang di kiri dan kanan serta dicat warna biru muda.

Ini menambah keunikan jambatan ini. Meskipun persekitaran kawasan itu hanya pemandangan air mengalir melalui sungai dan pokok kelapa sawit dan pepohon lain menghijau, namun ia tetap memberikan panorama indah.

Bagi tujuan pengairan sawah padi

Penulis difahamkan terusan air dilencongkan dari Sungai Ijok itu sebenarnya cukup unik kerana dibina pada paras ketinggian tertentu merentasi Sungai Redang Panjang yang mengalir di bawahnya.

Justeru, atas sebab itulah wujudnya nama Sungai Atas Sungai.

Apabila penulis berdiri di atas jambatan berkenaan kelihatan air dari terusan atau tali air melaluinya dan langsung tidak bercantum dengan Sungai Redang di bawah jambatan berkenaan.

Terusan air sungai sejauh 6 kilometer (km) itu berfungsi untuk pengairan sawah padi di kawasan sekitar, manakala air sungai mengalir berkenaan dilencongkan ke Sungai Ijok sejauh lebih kurang 25 km ke lokasi berkenaan.

Air sungai berkenaan seterusnya akan mengalir ke Telaga Gergasi bagi pengairan sawah padi pada zaman dahulu.

Jadi 'spot' rakam gambar dan video

Berdasarkan cerita orang kampung, terusan air itu berfungsi untuk pengairan bijih timah dan menyalurkan bekalan air di Tasik Bukit Merah di Kerian, Perak bagi tujuan domestik.

Jika anda ke Selama, jangan lupa singgah ke Sungai Atas Sungai kerana lokasinya penuh dengan sejarah.

Malah, kawasan ini sesuai menjadi 'spot' merakam kenangan dengan bergambar dan begitu 'Instagramable'.

Related Article