Trending
Sihat

Derita sakit belakang

SAKIT belakang ketika mengangkat benda berat atau melakukan senaman yang agresif antara derita biasa dialami individu.

Dalam situasi kerjaya tertentu mengangkat barang berat tidak dapat dielakkan, namun individu perlu berwaspada kudrat itu, jika tidak dijaga boleh menyebabkan kekejangan otot atau tulang rawan di celah tulang belakang akan terkeluar daripada kedudukan asal.

Malah, kesakitan itu tidak terhenti di situ, sebaliknya ia boleh terasa sehingga ke bahagian punggung dan kaki.

Jika itu berlaku seseorang itu berhadapan risiko mendapat sciatica, iaitu simptom atau masalah neurologi di bahagian belakang atau saraf yang tersangkut di pinggul.

Selain itu, individu yang mempunyai masalah obesiti, selain mempunyai gaya hidup yang tidak aktif berisiko juga boleh mendapat sciatica.

Jangan pandang ringan

Mengulas lanjut, Pakar Perubatan Sukan Hospital Serdang, Dr Malini Karupiah, menegaskan sciatica yang bermula dengan masalah tidak serius seperti sakit belakang, punggung dan kaki ketika mengangkat benda berat, bagaimanapun tidak boleh dipandang ringan.

Ini kerana jika tidak dirawat ia berupaya mendatangkan masalah lebih berat seperti sukar berjalan yang mengganggu pergerakan dan tidak boleh melakukan kerja tertentu seperti mengangkat benda berat serta masalah neurologi.

"Kesakitan yang berlaku akibat sciatica boleh terjadi disebabkan beberapa faktor iaitu cakera, saraf atau peningkatan berat badan.

"Selain individu yang mempunyai masalah obesiti, 'sciatica' berisiko berlaku kepada warga emas kerana pergerakan tidak aktif dan wanita mengandung berikutan semakin kandungan meningkat usia, semakin banyak tekanan kepada tulang belakang.

"Bagi individu yang mempunyai masalah obesiti akan wujudnya tekanan pada tulang belakang yang sukar ditampung akibat faktor berat badan," katanya.

Kebas di bahagian belakang

Kongsi Dr Malini saraf kemudiannya akan menjadi mampat sekali gus menyebabkan kebas dan mula berlakunya sakit di bahagian belakang.

"Jadi sama ada masalah itu semakin serius atau tidak ia bergantung kepada tahap aktif seseorang sama ada dia banyak bergerak atau lebih banyak menghabiskan masa dengan duduk bagi melakukan kerja pejabat.

"Kalau kita duduk lama dan tidak aktif, otot tidak dapat digerakkan sekali gus menyebabkan cakera tulang menjadi keras dan mengganggu urat di bahagian tulang belakang," katanya.

Urat paling besar dalam badan

Mengenai apa itu sciatica, Dr Malini berkata, ia adalah urat paling besar di dalam badan dari belakang menuju ke bawah membabitkan pinggul hingga ke kaki.

Bagi individu yang menghadapi masalah sciatica ini, seseorang itu akan menghadapi kerengsaan saraf yang boleh menjadi sakit dan kebas.

"Antara sebab biasa yang menjadikan gejala ini adalah gangguan cakera atau gelinciran cakera menekan urat belakang.

"Ia bermula dengan keadaan tidak serius seperti sakit ketika mengangkat benda berat, namun jika tidak mendapat rawatan sepatutnya dan berlaku peningkatan berat badan, tekanan di belakang akan bertambah.

"Ia sekali gus akan menekan saraf sekali gus mendatangkan masalah menjadi lebih teruk seperti sukar berjalan kerana saraf sudah menjadi kejang," katanya.

Rawatan sciatica

Menjelaskan faktor mengapa masalah kebas dan lemah sering berlaku bagi mereka yang berhadapan dengan sciatica, Dr Malini berkata, ini kerana kekejangan otot di sekeliling punggung boleh terjadi apabila seseorang itu duduk terlalu atau ketika mengangkat benda berat atau masalah tulang belakang serta saraf.

Sciatica boleh dirawat dengan berjumpa doktor dan dengan dua kaedah sama ada cara konservatif  iaitu buat fisioterapi, senaman serta 'electroterapeutic modalities'.

Bagi yang mempunyai simptom lebih teruk boleh melakukan pengimejan resonans magnetik (MRI) atau imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) untuk mengenal pasti punca.

"Ada kalangan pesakit yang diberi rawatan biasa seperti pil penahan sakit atau rawatan fisioterapi fizikal, namun jika keadaan itu adalah teruk, pembedahan terpaksa dibuat oleh pakar bedah tulang.

"Selain itu, bagi kes yang kurang serius, kadangkala mereka pergi ke pusat urutan tradisional bagi melakukan akupuntur atau urutan elektroniktheraputik," katanya.

Bagi mengelakkan 'sciatica', perlu dilakukan senaman bagi memperkukuhkan otot belakang, kaki, punggung dan perut seperti yoga, pilates, senaman regangan dan daya kekuatan.

Selain itu, kaedah penting untuk mengekang penyakit ini adalah dengan menjaga pemakanan, iaitu tidak mengambil terlalu banyak  makanan proses yang boleh meningkatkan kiraan Indeks Jisim Badan (BMI).

Info: Simptom neurologi

* Sakit (sakit sengit di bahagian punggung)

* Kesakitan kaki radikular di kawasan "lumbosacral"

* Rasa kebas

* Kelemahan otot

* Disfungsi cara berjalan

* Kerosakan sensori

* Gangguan sensori

* Panas dan sejuk atau kesemutan atau rasa sensasi terbakar di kaki

* Kerosakan refleks

* Paresthesia atau disesthesia dan edema di bahagian badan bawah boleh disebabkan iritasi saraf sciatic

Faktor risiko sciatica:

* Usia tua.

* Kondisi tulang belakang menua

* Kegemukan - berat badan tingkatkan tekanan tulang belakang

* Diabetes - tingkatkan risiko kerosakan saraf

* Pekerjaan - babitkan angkat bebanan berat

* Duduk lama terlalu lama

Related Article