Trending
Sihat

Kulat 'membiak' dalam faraj

SETIAP wanita pastinya pernah menghadapi kegatalan pada alat sulit atau vagina, pedih akibat terlalu kerap menggaru dengan kuat yang akhirnya timbul radang pada kulit di sekitar kawasan faraj.

Meskipun keadaan itu menyebabkan ketidakselesaan yang teruk, namun ia dibiarkan disebabkan perasaan malu yang menebal, lalu 'kesakitan' itu dibiarkan sahaja dengan menganggap akan pulih sendiri.

Jika dibiarkan dari sehari ke sehari keadaan akan bertambah serius dan anda pasti tidak dapat menanggung sengsara terutama apabila keluar keputihan melampau bertukar warna kekuningan serta berbau busuk.

Justeru, apabila anda berhadapan situasi itu, sewajarnya segera mendapat nasihat doktor bagi mengelak 'serangan' jangkitan kulat (candida) yang dikenali sebagai candidiasis disebabkan oleh beberapa faktor tertentu.

Ganggu hubungan intim suami isteri

Menurut Perunding Obstetrik dan Ginekologi MSU Medical Centre, Dr Noorneza Abdul Rahman, kira-kira 75 peratus wanita akan mengalami keadaan itu sekali dalam seumur hidup, manakala 45 peratus wanita pula didapati akan mengalami kegatalan yang sama sebanyak dua kali.

Katanya, walaupun jangkitan kulat pada vagina itu dilihat tidak mendatangkan penyakit yang serius, namun secara tidak langsung ia boleh memberi impak negatif dalam rutin kehidupan harian, kesihatan dan juga hubungan suami isteri.

Apa tidaknya, seharian berada dalam keadaan kurang selesa, kesakitan akibat menggaru, bau yang tidak menyenangkan, akhirnya mendatangkan masalah dalam hubungan intim suami isteri.

"Jangkitan kulat pada vagina ini dilihat kerap 'menyerang' individu yang mempunyai imun rendah seperti wanita mengandung, pesakit diabetes, menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi serta pengambilan antibiotik terlalu lama.

"Wanita hamil umpamanya antara golongan yang kerap mendapat jangkitan ini berikutan badan mengalami peningkatan hormon , iaitu 'progesterone dan oestrogen' yang ketara terutamanya semasa trimester ketiga.

'Progesterone' menyebabkan sel darah putih jenis neutrophil tidak berfungsi ke atas candida dan oestrogen pula menyebabkan lapisan faraj kurang berkesan membendung penumbuhan candida.

"Wanita hamil umpamanya antara golongan yang kerap mendapat jangkitan ini berikutan badan mengalami perubahan hormon dan nilai pH vagina berubah menjadi semakin lembab hingga mudah kulat membiak.

"Pengambilan antibiotik yang terlalu lama juga boleh memberi kesan penurunan kepada jumlah flora bakteria yang baik vagina hingga kulat mudah membiak," katanya.

Silap pilih pencuci wanita

Beliau berkata, jangkitan yang berlaku disebabkan imun rendah memang tidak dapat dielakkan, tetapi jangkitan ini juga boleh berlaku akibat tidak mempunyai ilmu pengetahuan untuk menjaga kebersihan vagina.

"Sering kali kita didedahkan dengan ilmu mengenai alat pencuci wanita, namun kerap kali juga wanita tersalah dalam pemilihan produk yang tepat.

"Pencuci wanita yang mengandungi bahan kimia berupaya 'membunuh' flora bakteria yang sihat pada vagina yang bertindak untuk memastikan faraj berada dalam keadaan sihat.

"Sebaiknya pencuci wanita itu mestilah pada nilai pH 3.8 hingga 4.5 dan bukannya terlalu berasid atau beralkali kerana dikhuatiri timbul penyakit lain pula," katanya.

Justeru , pencuci wanita tidak diperlukan, cukup sekadar mencuci dengan air bersih kerana bahan kimia boleh menyebabkan iritasi, alergi dan luka pada bahagian kemaluan dan memburukkan lagi jangkitan candidiasis.

Pasangan yang aktif dalam hubungan kelamin juga tidak terkecuali mendapat jangkitan kulat sekiranya terdapat jangkitan kelamin seperti "herpes" atau "warts".

Aktif hubungan kelamin dapat jangkitan kulat

Bukan itu sahaja, pasangan yang aktif dalam hubungan kelamin juga tidak terkecuali mendapat jangkitan kulat sekiranya berlaku luka atau melecet pada kulit sekitar vagina.

Walaupun secara umumnya wanita yang mempunyai imun rendah sering berdepan masalah ini, wanita yang tidak menjaga kebersihan alat sulit juga tidak terlepas mengalaminya.

Selain daripada penggunaan pencuci wanita yang salah, penggunaan tisu tandas juga boleh menyebabkan risiko jangkitan ini berlaku akibat kulat yang berada pada bahagian dubur tidak dicuci dengan air sebaiknya apabila selesai membuang air besar.

Cuci perlu dilakukan di bahagian hadapan dahulu, baru diikuti dengan basuh di sekitar tempat buang air besar.

"Douche"adalah sama sekali tidak perlu dalam penjagaan kebersihan faraj ini.

"Apabila kebersihan tidak berlaku dengan optimum, simptom kegatalan, keputihan yang tidak normal, berbau busuk dan bertukar warna akan berlaku.

"Sebaiknya, wanita disarankan untuk mencuci alat sulit dengan menggunakan air bersih sahaja bagi mengelakkan jangkitan, kerap menukar 'pantyliner' dan seluar dalam," katanya.

Kesan kegatalan faraj

Dr Noorneza berkata, semua perkara yang berlaku itu sudah cukup untuk 'mengganggu' kehidupan harian wanita selain mengganggu masa tidur yang mencukupi.

"Bagaimanapun, seperti dijelaskan, ia tidak menimbulkan satu penyakit yang berbahaya, sebaliknya dengan hanya menggunakan satu ubat selepas mendapat nasihat daripada doktor, masalah ini boleh selesai.

"Kebiasaannya doktor akan memberikan ubat antikulat seperti ubat sapuan dalam bentuk krim atau pil yang perlu dimasukkan ke dalam vagina atau ubat makan sekiranya jangkitan menjadi lebih serius," katanya.

Jelasnya, selain daripada itu, sebagai perlindungan tambahan elak terkena jangkitan itu ialah pastikan penggunaan pencuci wanita itu mempunyai tahap pH yang betul dan jangan sesekali menggunakan sabun beralkali untuk memastikan bakteria baik tidak dihapuskan.

"Penggunaan Probiotics juga boleh meningkatkan kelangsungan dan kestabilan jumlah flora bakteria yang baik di dalam usus dan vagina, selain pastikan cucian di bahagian dubur selepas membuang air besar dilakukan dengan bersih supaya kulat tidak merebak dengan mudah," katanya.

Info: Punca kegatalan pada faraj:

  • Jangkitan kuman/li>>
  • Keputihan berbau busuk, radang faraj dan rasa pedih selepas melakukan hubungan seks
  • Penyakit kelamin (STD)
  • Jangkitan yis (kulat vagina)
  • Menopaus
  • Penggunaan bahan kimia
  • Alergi seperti alahan pada sabun
  • Liken sklerosis - tompok putih nipis membentuk pada kulit
  • Elak kegatalan pada faraj:

  • Banyakkan minum air
  • Elak guna bahan wangian seperti bedak pada bahagian faraj
  • Elakkan pengambilan ubat secara berterusan tanpa nasihat doktor
  • Kurangkan makanan dengan kandungan tinggi gula
  • Basuh faraj dengan air bersih
  • Buang air kecil selepas aktiviti seks
  • Related Article