Trending
Sihat

Peluang lelaki mandul dapatkan zuriat

PERUBAHAN terhadap gaya hidup dengan berhenti merokok, tolak minuman beralkohol dan bersenam boleh membantu mengurangkan masalah kesuburan dalam kalangan lelaki.

Malah, dengan rawatan yang tepat, masalah ketidaksuburan masih boleh dirawat, namun bergantung kepada punca masalah itu.

Ini bermakna, lelaki terutama mereka yang sudah berkahwin dan mempunyai masalah sedemikian masih berpeluang mempunyai zuriat.

Pakar Perunding (Urologi) Jabatan Surgeri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Ahmad Nazran Fadzli, berkata merokok dan meminum minuman beralkohol bukan punca utama masalah ketidaksuburan atau tidak boleh mendapatkan anak.

Namun katanya, ada kes individu yang disahkan mempunyai sperma tidak normal (Oligo-astheno-teratozoospermia (OAT), tetapi apabila mula berhenti merokok dan minum minuman beralkohol serta menjalani gaya hidup sihat, spermanya boleh bertambah baik.

"Bukan 100 peratus mereka yang menghisap rokok boleh mengakibatkan masalah sperma tidak normal dan masalah ketidaksuburan.

"Ini kerana terdapat banyak punca terjadinya masalah ketidaksuburan dalam kalangan lelaki," katanya.

Punca ketidaksuburan lelaki

Beliau berkata, antara punca ketidaksuburan termasuk kerana saluran organ reproduktif lelaki tersumbat, kibat kemalangan, penyakit kronik seperti kencing manis, pernah menjalani prosedur vasektomi iaitu memutuskan saluran reproduktif lelaki.

Selain itu, membabitkan pesakit kanser terutama kanser testis yang perlu menjalani proses kemoterapi atau radioterapi, jangkitan kuman pada organ reproduktif, varikosele (pembengkakkan salur darah vena di kantung), tidak cukup hormon lelaki, masalah genetik dan tidak subur sejak dilahirkan.

Bagaimanapun katanya, kira-kira 30 sehingga 40 peratus masalah ketidaksuburan lelaki tidak diketahui puncanya.

"Namun, antara usaha boleh dilakukan untuk meningkatkan kesuburan adalah berhenti merokok dan mengurangkan meminum minuman beralkohol dan bersenam.

"Senaman amat penting kerana apabila berat badan tinggi, hormon leptin yang berada di dalam lemak boleh bertukar menjadi hormon wanita.

"Selain itu, senaman juga dapat menambahkan stamina dan mengurangkan lemak dalam badan," katanya.

Rawatan ketidaksuburan

Berkenaan rawatan beliau berkata, ia bergantung kepada jenis punca ketidaksuburan dan jika masalah itu kerana kekurangan hormon, perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan sama ada rawatan memakan ubat atau suntikan.

Katanya, dalam keadaan dunia di hujung jari ketika ini, terdapat banyak jenis ubat hormon di pasaran dan mereka yang ada masalah tidak digalakkan membeli ubat sebegitu sahaja.

"Penting untuk berjumpa doktor terlebih dahulu bagi mengetahui jenis ubat yang bersesuaian kerana jika tersalah makan ubat akan menyebabkan masalah ketidaksuburan menjadi lebih teruk.

"Bagi kes saluran tersumbat, boleh menjalani rawatan pembedahan untuk membetulkan masalah dialami. Namun, ada juga kes ketidaksuburan kekal dan tidak dapat dirawat lagi.

"Selain itu, tidak semestinya lelaki yang mempunyai sperma tidak normal tidak boleh mendapat anak kerana ada juga lelaki yang mempunyai masalah itu tetapi tidak begitu teruk dan berjaya mendapatkan anak secara semula jadi," katanya.

Pelbagai cara dapatkan zuriat

Dr Ahmad Nazran berkata, langkah seterusnya jika tidak dapat membaiki masalah ketidaksuburan adalah dengan membantu lelaki berkenaan dan pasangannya mendapatkan zuriat.

"Masih terdapat pelbagai cara untuk mendapatkan zuriat iaitu dengan menjalani prosedur permanian berhadas (IUI), suntikan sperma intracytoplasmic (ICSI) atau rawatan kesuburan in-vitro (IVF). Untuk kes rumit sperma perlu dikeluarkan menggunakan jarum atau pembedahan sebelum boleh melakukan ICSI atau IVF.

"Rawatan tidak semestinya untuk membaiki kemandulan, tetapi berusaha untuk mendapatkan anak," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, masalah ketidaksuburan yang dihadapi oleh lelaki boleh menyebabkan hubungan intim dengan pasangan menjadi kurang kerap namun tahap kepuasan tidak berubah.

Malah katanya, kajian mendapati lama-kelamaan perhubungan antara pasangan akan menjadi lebih baik walaupun lelaki mempunyai masalah.

"Ini kerana ia bukan masalah ereksi jadi hubungan intim akan kekal seperti biasa. Memang akan wujud tekanan di situ tetapi pada akhirnya masalah itu boleh mendekatkan lagi hubungan dengan pasangan," katanya.

Lelaki tertekan emosi sebab tidak subur

Berkenaan masalah tekanan emosi dengan masalah ketidaksuburan, Dr Ahmad Nazran berkata, lelaki juga tidak terlepas daripada menerima tekanan emosi jika mengetahui dirinya tidak subur.

Katanya, ia berikutan wujud pemikiran yang mengatakan lelaki tiada masalah untuk mendapatkan zuriat selain ada stigma merasakan dirinya bukan lelaki sempurna.

"Selain itu, lelaki tidak seperti perempuan yang mempunyai banyak sokongan daripada pelbagai pihak termasuk keluarga atau rakan kerana kaum itu lebih suka memendam perasaan," katanya.

Beliau berkata, tinjauan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2014, menunjukkan 8.4 peratus keluarga mempunyai masalah kemandulan manakala kajian mendapati 60 peratus analisa sperma tidak normal.

Katanya, kajian seorang doktor di kliniknya di Terengganu pada 2019 pula mendapati, daripada 300 pasangan yang datang ke kliniknya, sebanyak 23 peratus mempunyai masalah sperma tidak normal.

"Justeru, pada pasangan sudah berkahwin lebih setahun dan sudah melakukan hubungan intim sekurang-kurangnya tiga kali seminggu namun masih belum mempunyai anak, boleh mula membuat pemeriksaan.

"Pemeriksaan bertujuan untuk mengetahui apa punca masalah kerana kemungkinan untuk kedua-dua pasangan mempunyai masalah adalah 50-50.

"Selepas mengetahui punca, boleh terus menjalani rawatan jika perlu dalam usaha mendapatkan zuriat ," katanya.

INFO: Faktor boleh merendahkan tahap kesuburan lelaki

▪ Persekitaran panas seperti tempat kerja di kilang, komputer riba di atas riba

▪ Pemakaian seluar dalam terlalu ketat (suhu optimum untuk buah zakar ialah 2 darjah Celcius lebih rendah daripada suhu badan)

▪ Kecederaan atau jangkitan salah satu atau kedua-dua buah zakar

▪ Bengkak buah zakar akibat dipukul atau jatuh.

▪ Jangkitan virus beguk

▪ Terdedah kepada bahan toksik seperti nikotin (daripada asap rokok dan alkohol

▪ Ubat-ubatan tertentu seperti ubat propranolol (digunakan untuk darah tinggi), cimetidine (ubat gastrik) dan maxolon

Related Article