Trending
kolumnis

Perbetul kekeliruan masyarakat terhadap suntikan dos penggalak

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan strain baharu COVID-19, B.1.1.529 sebagai varian membimbangkan (VOC) dan dinamakan semula sebagai Omicron.

Klasifikasi itu meletakkan Omicron yang kali pertama dikesan di Afrika Selatan dalam kategori varian COVID-19 paling membimbangkan bersama Delta, Alpha, Beta dan Gamma.

Varian B.1.1.529 berbeza ketara daripada varian diperhatikan sebelum ini kerana ia mempunyai mutasi tambahan yang terletak dalam spike atau pepaku protein. Varian baharu itu juga mempunyai sekurang-kurangnya 10 mutasi berbanding varian Delta (dua mutasi) dan Beta (tiga mutasi) serta mempunyai 32 mutasi protein pepaku, dua kali ganda lebih banyak berbanding Delta.

Jangkitan Omicron dilaporkan di Botswana pada 11 November lalu, sebelum dikesan di Afrika Selatan pada 14 November dan Hong Kong, Britain, Jerman serta Itali mengesahkan kes pertama mereka bagi strain baharu COVID-19, manakala pihak berkuasa Belanda mengkuarantin 61 penumpang dari Afrika Selatan yang didapati positif COVID-19.

Sebagai tindak balas segera, kerajaan seluruh dunia mula menutup pintu untuk membendung varian Omicron. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut memutuskan untuk mempertingkat langkah pencegahan dan kawalan sempadan ke atas individu yang tiba di pintu masuk negara.

Warga tempatan yang merancang melawat negara seperti Afrika Selatan, Botswana dan Zimbabwe, tidak dibenarkan meneruskan perjalanan mereka, selain sekatan sementara kepada semua warga asing yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara terbabit dalam tempoh 14 hari.

Persoalannya adakah vaksin digunakan sekarang yang disediakan bagi virus asal SARS-CoV-2 - masih berkesan untuk melindungi jangkitan varian Omicron?

Saintis terus berusaha menentukan ancaman yang timbul daripada strain yang sangat bermutasi ini, terutama kemampuannya untuk kebal terhadap vaksin sedia ada.

Umumnya, dunia masih belum mengetahui tahap keterukan varian Omicron. Namun, pembuat vaksin termasuk Pfizer/BioNTech, Moderna dan Novavax menyatakan keyakinan vaksin berkenaan dapat melawan strain Omicron.

AstraZeneca pula sudah membangunkan platform vaksin yang membolehkan mereka bertindak balas dengan cepat terhadap varian baharu yang mungkin muncul.

Felo Kanan Akademi Sains Malaysia, Prof Emeritus Datuk Dr Lam Sai Ki, menyarankan orang ramai mendapatkan suntikan vaksin dan dos penggalak COVID-19 tanpa mengira pelbagai jenis varian SARS-CoV-2 terhasil.

Belgium sudah mengumumkan kes pertamanya membabitkan orang tidak divaksinasi yang pulang dari luar negara.

Ketua Menteri New South Wales di Australia, Dominic Perrottet, menyarankan kita belajar untuk hidup bersama pelbagai jenis virus yang akan datang kepada kita.

Justeru, perkara terbaik boleh dilakukan ialah mendapatkan vaksin dan suntikan penggalak, selain meneruskan langkah kesihatan awam serta sosial sedia ada

Britain misalnya, kembali mewajibkan pelitup muka selepas mengesahkan dua kes pertama jangkitan Omicron.

Dalam konteks Malaysia, kita masih berpontensi menghadapi gelombang jangkitan COVID-19 disumbangkan pelbagai faktor. Ini termasuk varian ganas seperti Delta yang sudah menular di negara ini, malah terdapat juga dua varian yang perlu diberi perhatian iaitu Lambda dan Mu.

Faktor lain adalah ramalan peningkatan kes akibat Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka dapat dilihat dalam tempoh 10 hingga 14 hari, selain faktor rentas negeri (yang dibenarkan kerajaan mulai 10 Oktober 2021). Selain itu, PRN Sarawak dijangka diadakan 18 Disember depan.

Lantaran pelbagai perkembangan itu, KKM dalam pertimbangan dan tidak menolak kemungkinan penerima dos penggalak vaksin COVID-19 akan diletakkan di bawah kategori lengkap vaksinasi.

Hal ini disebabkan wujud risiko gelombang baharu seperti kemunculan varian Omicron, penurunan efikasi vaksin dalam badan penerima serta rakyat yang mula leka dan alpa.

Namun, Malaysia akan melihat dan mengambil kira pengalaman negara yang melaksanakan strategi dos penggalak lebih awal. Natijahnya, ia dilihat antara langkah berjaya, memandangkan pemberian dua dos pertama vaksin menunjukkan penurunan keberkesanannya.

Sehingga kini, lebih sejuta suntikan penggalak diberikan seluruh negara. Namun, pelaksanaan strategi dos penggalak tidak bermaksud pemberian vaksin sebelum ini gagal seperti dakwaan pihak tertentu.

Bayangkan tanpa vaksin, kita masih berhadapan 20,000 hingga 30,000 kes harian, dengan kadar kematian sangat tinggi. Antara Jun, Julai, dan Ogos misalnya, kita berhadapan kemuncak pandemik dengan kira-kira 20,000 kes sehari.

Peningkatan ketara peratusan vaksinasi COVID-19 dalam kalangan rakyat penyumbang kepada penurunan kes jangkitan ketara, selain pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Hakikatnya, terdapat kekeliruan dan salah faham tentang dos penggalak sehingga menjadi punca sebilangan rakyat menolaknya. Antaranya seperti tiada keperluan, kekangan untuk ke fasiliti kesihatan, enggan disuntik vaksin jenama lain daripada yang diterima terdahulu serta bimbang kesan sampingan yang boleh membawa maut.

Orang ramai yang bimbang berlaku kejadian 'terlebih dos' apabila mengambil dos penggalak atau dos ketiga vaksin COVID-19 perlu melihat kajian dan data tersedia mengenai keberkesanan vaksin berkenaan.

Menurut Dekan Fakulti Farmasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Makmor Bakry, orang awam perlu memahami dua kesan membabitkan pengambilan dos penggalak seperti juga vaksin lain iaitu kesan sampingan biasa seperti sakit di tempat suntikan, demam atau kelesuan yang sepatutnya tidak menyebabkan maut, manakala kesan mudarat selalunya tidak dijangka dan sangat jarang berlaku.

Tanggapan masyarakat bahawa KKM sengaja atau 'suka-suka' memberi dos penggalak kepada orang ramai juga tidak berasas kerana pegawai dan kakitangan KKM sendiri mengambilnya serta menyarankan ahli keluarga mereka disuntik.

Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Kumitaa Theva Das, menyatakan penerima dos penggalak di luar negara hanya menunjukkan kesan sampingan sama dengan pemberian dos normal.

Tidak ada data menunjukkan seseorang boleh terlebih dos dengan vaksin. Banyak kajian di luar negara untuk melihat keselamatan dan keberkesanan vaksinasi heterologous, termasuk ketahanan terhadap varian Delta.

Kajian Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan di Amerika Syarikat (AS) yang mengkaji campuran vaksin COVID-19 terhadap beratus pesakit, mendapati semua dos penggalak meningkatkan titer antibodi peneutral terhadap varian Delta, tidak kira apa jenis penggalak digunakan. Setakat ini, belum ada kebimbangan terhadap isu keselamatan dibangkitkan.

Profesor Madya di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM)

Related Article