Trending
kolumnis

Elak kartel jadi budaya, gaya hidup

Kelmarin, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan mengenai maklumat diterima berhubung kewujudan kartel di pelbagai peringkat dalam kalangan pegawai imigresen, sehingga menjejaskan tahap integriti jabatan berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata kehadiran kartel dengan pembabitan pegawai dalaman, membolehkan mereka bebas bergerak di jabatan berkenaan, termasuk di pintu masuk lapangan terbang.

Pendedahan ini amat memalukan negara memandangkan Jabatan Imigresen Malaysia antara agensi di barisan hadapan kerajaan yang dipertanggungjawabkan dengan satu amanah amat besar.

Jika agensi seperti Jabatan Imigresen Malaysia pun dapat dibolosi seperti dilaporkan, siapa lagi yang boleh dipercayai?

Amat menyedihkan, mereka yang terbabit ini tanpa rasa malu hidup bergelumang dengan rasuah, selain salah guna kuasa.

Pegawai kerajaan sebegini yang sanggup mencemari etika dan tanggungjawab penting dalam urusan penguatkuasaan undang-undang, menjaga pertahanan dan keselamatan negara, selayaknya dianggap pengkhianat negara.

Hakikatnya, isu ini sudah lama menjadi 'rahsia terbuka' susulan terdapatnya sindrom kartel yang bersekongkol dengan anggota Jabatan Imigresen dalam hal berkaitan salah guna kuasa, penyelewengan dan ketirisan hasil kerajaan.

Amalan rasuah boleh dikatakan sudah menjadi satu perbuatan yang diterima sebagai norma dalam kehidupan masyarakat terutama pegawai kerajaan. Malah, ia menjadi warisan di mana pegawai atasan mengajar kepada pegawai baharu untuk terbabit rasuah, menyebabkan ia sukar dibendung.

Maka tepat sekali seperti dinyatakan teori kriminologi bahawa crime is learned yang membawa maksud jenayah itu adalah sesuatu yang dipelajari.

Jika dilihat mutakhir ini, banyak pendedahan dan publisiti mengenai isu etika pegawai, ketirisan dan fraud, namun tiada tindakan efektif diambil jabatan dan kerajaan.

Kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk membersihkan nama negara yang sudah tercalar sehingga mampu menghakis kepercayaan masyarakat, serta merosakkan imej kerajaan di mata dunia.

Apa berlaku April lalu lebih menggerunkan. Satu sindiket dengan kerjasama 'orang dalam' dilapor berjaya menggodam pangkalan data Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) dengan memasang transmitter (alat pemancar) untuk membolehkan anggota sindiket menukar kata laluan pegawai imigresen, seterusnya mencetak Pas Lawatan Kerja Sosial (PLKS) daripada pusat operasi mereka di luar pejabat imigresen.

Ia satu pencerobohan ke dalam pangkalan data agensi kerajaan dan jelas membabitkan isu kebocoran keselamatan yang sangat serius.

Ini kerana, keupayaan ahli sindiket menggodam sistem komputer imigresen membolehkan mereka mencetak PLKS dan menjualnya kepada warga asing yang bekerja secara haram di negara ini.

Sebenarnya, gejala rasuah seperti didedahkan Menteri Dalam Negeri itu sudah banyak kali berlaku. Sebagai contoh, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), terdapat lebih 30,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) dibenarkan masuk ke negara ini dengan begitu mudah.

Teori fraud mengesahkan terdapat collusion (persubahatan atau pakatan sulit) antara sindiket dengan orang dalam.

Oleh kerana segelintir anggota imigresen yang tidak berintegriti dan tidak amanah menerima suapan, akhirnya keselamatan dan pertahanan negara tergugat, malah sempadan negara turut dikompromi.

Selaku agensi penting negara, Jabatan Imigresen perlu sentiasa mengekalkan integriti dengan tidak menerima habuan, apatah lagi bersekongkol dengan mana-mana kartel atau sindiket.

Kita perlu ingat kartel atau sindiket hanya memberi habuan serendah RM100 atau RM200 (sebagai contoh) kepada pegawai tidak bertanggungjawab, tetapi mereka untung beratus juta ringgit. Lebih merisaukan, impak negatif kepada keselamatan negara adalah tinggi.

Jika berkhidmat dengan jujur dan mempunyai integriti tinggi, budaya kartel dan sindiket dapat dihindar. Apakah kita tidak mempunyai semangat sayangkan negara sehingga sanggup membiarkan PATI dan orang luar memasuki negara tanpa dokumen?

Dalam hal ini, antara kelemahan sangat ketara adalah koordinasi antara kementerian dalam isu mengendalikan orang asing yang keluar masuk negara ini. Jika dilihat, banyak kementerian diberi tugas dalam urusan memantau proses ini dan ia mengundang banyak kepincangan.

Kini, pembukaan semula pelbagai sektor di negara ini serta keperluan kepada tenaga kerja yang mendesak, menyebabkan keadaan itu menjadi push dan pull factor (faktor pendorong dan penarik) kepada kegiatan salah guna kuasa terbabit, terutama membabitkan PATI dari Indonesia.

Lantas, exit policy atau dasar keluar bersesuaian perlu difikirkan segera supaya fungsi penyelaras Ops Bersepadu sedia ada perlu diambil alih agensi bersesuaian.

Jika Jabatan Imigresen dan agensi berkaitan masih belum mengambil tindakan proaktif dalam isu ini, kemungkinan besar negara akan menghadapi masalah lebih teruk membabitkan PATI, sindrom kartel dan rasuah.

Dalam hal ini, ketua kementerian, jabatan dan agensi perlu memainkan peranan dengan mengawasi dan peka terhadap red flag gejala rasuah.

Antaranya, mengenal pasti pegawai atau anggota yang hidup terlebih mewah berbanding pendapatan, selain terlalu rapat dengan pelanggan, serta ada yang enggan mengambil cuti atau menolak kenaikan pangkat disebabkan 'lubuk cari duit' jawatan sedia ada.

Setiap pegawai dan anggota juga perlu ditukarkan atau dilaksanakan sistem pusingan tugasan, contohnya setiap tiga tahun sekali.

Penting juga, individu yang mempunyai integriti rendah diambil tindakan tegas sebagai pengajaran. Elakkan mereka ini diletakkan di unit berisiko tinggi dan seharusnya tidak dinaikkan pangkat meskipun mempunyai kelayakan dan kehebatan dalam tugas masing-masing.

Selain mengawasi pegawai atau anggota bawahan, pegawai atasan juga perlu memperlihatkan contoh baik kepada anggota dengan menggunakan prinsip kepemimpinan melalui teladan. Hanya ketua yang baik dan berintegriti akan dihormati dan dipatuhi pegawai atau anggota bawahan.

Seperkara lagi, penjawat awam termasuk di Jabatan Imigresen khususnya pada peringkat tertinggi juga perlu sedar bahawa mereka sebenarnya diperhatikan masyarakat kerana memikul tanggungjawab dan amanah besar.

Dalam pada itu, kita harus menganggap rasuah sebagai jenayah luar biasa dan hukumannya juga tidak bolehlah setara dengan jenayah biasa. Pelaku rasuah perlu dihukum semaksimum mungkin oleh pihak mahkamah.

Realitinya, perasuah tidak akan serik dengan penjara sehari sahaja dan mereka mampu membayar sebarang denda dikenakan mahkamah. Faedah mereka peroleh hasil amalan rasuah berbaloi dan berlipat ganda.

Impak jenayah rasuah lebih teruk kerana setiap ringgit yang hilang itu sebenarnya adalah untuk kegunaan lebih penting seperti pembinaan sekolah, hospital dan sarapan percuma di sekolah. Berbeza dengan kesalahan membunuh kesannya hanya melibatkan pembunuh dengan mangsa dan keluarga sahaja.

Hakikatnya, rasuah adalah 'ibu' kepada segalanya kejahatan. Rasuah boleh menyebabkan sesesorang hilang pertimbangan dan terjeremus ke kancah aktiviti tidak bermoral.

Justeru, janganlah dijadikan kartel sebagai budaya dan cara hidup di Malaysia!

Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia

Related Article