Trending
kolumnis

Atasi masalah struktur pekebun, elak kenaikan harga berulang

Harga sayur dan harga makanan di restoran naik mendadak. Apakah ini norma baharu? Ia bergantung kepada dua faktor, iaitu situasi penawaran dan permintaan serta faktor fundamental menentukan paras harga, manakala kedua, struktur sektor makanan berkenaan.

Apa yang pasti, ia hakikat pasaran. Dalam pasaran bebas, turun naik harga adalah norma atau lumrah kerana permintaan dan penawaran tidak bergerak seiring. Harga akan mencari parasnya sendiri hingga situasi keseimbangan tercapai antara dua faktor berkenaan.

Faktor menentukan permintaan berbeza dengan penawaran. Permintaan ditentukan pendapatan pengguna dan cita rasa, lazimnya tidak banyak berubah. Hampir malar dalam jangka pendek.

Namun, penawaran sangat dinamik, lazimnya tidak stabil kerana ketidaktentuan beberapa faktor mempengaruhi pengeluaran, terutama di luar kawalan seperti cuaca, penyakit dan kini, pandemik.

Faktor lain termasuk baja terutama kos, benih, ketersediaan buruh, teknologi, kesuburan tanah, air, penyakit dan serangan serangga. Walaupun ketidaktentuan sering berlaku, petani tidak memiliki insurans melindung perusahaan.

Interaksi antara kedua-dua fundamental ini menentukan paras harga. Ketika permintaan mengejar penawaran terjejas, harga pasti naik dan sebaliknya seperti berlaku sekarang.

Apa yang tidak normal ialah magnitud kenaikan. Isunya, sama ada kenaikan itu berpadanan dengan pertama, situasi pasaran (permintaan dan penawaran) atau struktur persaingan, iaitu sama ada wujud perantara memiliki kuasa pasaran, terutama perantara bermonopoli dan berpakat mempengaruhi harga.

Apapun, fenomena ini berlaku ketika negara baru sahaja membuka ekonomi daripada kekangan pandemik dan hampir 78 peratus rakyat menerima suntikan penuh vaksin COVID-19.

Selepas berkurung hampir dua tahun di bawah pelbagai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pengguna 'gian' keluar makan di luar atau melancong. Bagi berpendapatan sederhana dan tinggi, simpanan banyak terkumpul kerana tidak banyak berbelanja hingga bersedia untuk berbelanja.

Namun, landskapnya berbeza kepada pekebun penanam sayur atau penternak. Pandemik menekan sistem pengeluaran kerana kekurangan buruh asing di kebun, harga baja meningkat antara 30 peratus dan racun (100 peratus), bekalan input seperti baja serta racun serangga terjejas, selain musim monsun mencapai tahap luar biasa kebelakangan ini. Kawasan pembekal utama Cameron Highlands mengalami gejala tanah runtuh lagi.

Di bawah pandemik, kebanyakan pengeluar dan petani menerima pendapatan rendah kerana permintaan berkurangan atau terjejas kawalan pergerakan. Ini menyebabkan modal mereka kecil untuk pengeluaran seterusnya.

Pekebun dan petani mengalami kekangan pengeluaran luar biasa, jauh lebih serius daripada apa pernah dialami. Dari sudut permintaan, ia meningkat kerana lebih ramai pengguna makan di luar rumah selepas PKP dan pengguna mula ke pasar membeli-belah.

Namun, sebaliknya pengeluaran sayur dan makanan baru sahaja memulakan perusahaan setelah dicabar pelbagai kekangan pengeluaran serius. Dari sudut ketidakseimbangan permintaan dan penawaran besar ini, kenaikan harga terjangka.

Kenaikan harga berlebihan perlu disokong data dan maklumat bergantung kepada beberapa faktor. Maklumat penting adalah pertama, kuantiti pengeluaran tempatan, import dan anggaran pengeluaran mengikut masa. Data ini boleh mengira anggaran jurang pengeluaran dan penggunaan.

Kedua, siri masa kos pengeluaran terperinci mengikut kawasan dan jenis komoditi, manakala ketiga, data serta maklumat mengenai perantara terbabit sepanjang rantaian bekalan.

Data berkaitan pula adalah bilangan mereka, kuantiti jualan, kos pemasaran, margin dan amalan pemasaran. Data siri masa diperlukan untuk melihat peratus kenaikan margin keuntungan. Jika margin sangat besar daripada keuntungan dalam pasaran normal atau biasa, ia boleh disifatkan keuntungan 'berlebihan.'

Malangnya tidak seperti di Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU), Malaysia tidak mengutip atau menyimpan siri masa data pengurusan kebun lengkap dan betul.

Analisis dibuktikan data tidak dapat dilaksanakan. Hanya membaling tuduhan tanpa landasan kukuh, lantas sebarang tindakan polisi diambil mungkin tidak akan meleraikan masalah sebenarnya.

Struktur pasaran turut menyumbang kepada kenaikan harga termasuk apabila perantara (orang tengah) memiliki kuasa pasaran besar, terutama pasaran sangat berpusat, iaitu hanya beberapa peniaga besar menguasainya. Melalui data raya, kerajaan boleh mengesan pergerakan komoditi di samping kuantiti, harga dan margin peserta pasaran.

Beberapa kajian menunjukkan gelagat asimetri peniaga dalam menangani harga. Apabila trend harga meningkat, peniaga akan meningkatkan harga dalam kadar lebih besar dan cepat. Namun, apabila trendnya menurun, mereka agak liat menurunkan harga.

Motif utama peniaga, keuntungan maksimum. Adalah tidak menghairankan jika mereka mengaut keuntungan apabila wujud peluang melakukannya, terutama apabila tidak ramai pesaing dalam pasaran mencabarnya.

Kemunculan krisis atau fenomena luar biasa, tidak tercetus sendirinya tanpa sebab. Cetusan adalah simptom kepada masalah struktur bertapak sekian lama. Industri berdepan masalah produktiviti rendah, bergantung kepada tenaga pekerja asing dan tidak teknologi moden, kos pengeluaran tinggi, nilai tambah minimum, amalan tidak lestari atau mesra alam serta rantaian bekalan tidak cekap.

Melainkan tanah, hampir semua input seperti buruh, benih, baja, racun dan kimia, peralatan serta mesin semua diimport. Lantaran itu, kos pengeluaran tinggi kerana bersama input diimport, Malaysia juga mengimport inflasi daripada pasaran antarabangsa.

Dengan produktiviti rendah dan kos tinggi, margin keuntungan mereka kecil. Pendapatan kecil bererti modal untuk kebun juga kecil, membatasi usaha memajukan kebun.

Kejutan pandemik, PKP dan kawalan pergerakan penuh hanya memburukkan masalah itu. Tidak menghairankan apabila wujud situasi permintaan meningkat, pekebun atau petani tidak dapat memberi respon sepatutnya kerana dihindar masalah struktur.

Melainkan padi dan beras, sektor makanan seperti sayur, buah-buahan serta ternakan tidak menerima sokongan pembangunan mencukupi untuk membolehkan pengeluaran berhasil tinggi dan berdaya tahan dalam apa jua situasi.

Sokongan utama seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengembangan masih tidak memadai terutama penerapan teknologi moden untuk meningkatkan hasil dan kualiti dan mengurangkan pergantungan kepada buruh.

Pengeluaran input tempatan sangat kecil. Masalah asas ini perlu diperbaiki dahulu untuk pembangunan berdaya tahan.

Dalam jangka pendek untuk meredakan suasana, Malaysia boleh membenarkan lebih banyak import untuk penggunaan dalam negeri. Bagi pengguna miskin tegar, mereka boleh diberi bantuan kewangan sementara untuk menjaga pemakanan keluarga.

Bantuan kewangan juga perlu diberikan kepada pekebun dan petani sehingga situasi pulih. Bantuan kewangan untuk makanan memberi pulangan tinggi, terutama dari segi pemakanan rakyat serta kelestarian sektor berkenaan.

Pandemik membongkar kelemahan struktur dan daya sektor sayur-sayuran serta makanan negara. Tiada jalan singkat membangunkan sektor ini, selain sokongan institusi meluas dan serba lengkap seperti R&D serta pengembangan, infrastruktur, pembangunan input tempatan, penerapan teknologi maju, selain sistem pemasaran saksama dan bersaing.

Polisi 'pertamakan makanan' dijadikan teras utama negara mulai sekarang supaya sumber digemblengkan ke arah membina daya tahan sektor ini pasca pandemik. Selagi ciri-ciri ini tidak dibina, sektor ini akan terus goyah apabila kejutan berlaku.

Ketua Kluster Pertanian dan Sekuriti Makanan, Akademi Profesor Malaysia (APM)

Related Article