Trending
kolumnis

Tiada idea baharu dalam debat perdana Najib, Anwar

Debat perdana yang julung kali diadakan amat mengecewakan. Kedua-dua pemidato, iaitu Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gagal memberi idea baharu serta bernas bagi menangani masa depan negara.

Malah, isu utama yang membawa kepada idea terlaksananya debat, iaitu persoalan sama ada syarikat minyak dan gas, Sapura Energy Bhd perlu diselamatkan atau sebaliknya juga tidak dijawab dengan kemas melainkan saranan syarikat itu perlu dibantu (bailed) oleh kerajaan kerana ia milik rakyat.

Pada masa sama, jawapan balas pula mengatakan masalah Sapura perlu diselidiki dengan lebih teliti bagi mendapat penyelesaian.

Sebenarnya, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan dan Anwar sebagai Ahli Parlimen Port Dickson adalah dua tokoh berpengalaman dalam politik dan kerajaan di negara ini. Banyak persamaan perjalanan politik kedua-dua tokoh ini.

Namun, dua pemimpin berkenaan tidak mengemukakan idea baharu ke atas semua perkara yang dibahaskan pada malam debat perdana.

Sebaliknya, semua idea yang dilontarkan adalah yang dikitar semula, malah idea berkenaan sudah banyak kali didengari daripada mereka.

Apa yang jelas ialah Najib dan Anwar bercakap kepada penonton masing-masing. Najib bercakap kepada khalayak orang Melayu, sementara Anwar tersepit antara bercakap kepada khalayak Melayu dengan penonton berbilang-bilang etnik.

Harus diakui, hal ini tidak dapat dielakkan kerana mereka pemimpin parti yang bersifat demikian: Najib bekas pemimpin parti Melayu, manakala Anwar pula pemimpin parti majoriti Melayu PKR.

Hal demikian adalah kerana sifat etnik pendengar dan pengundi masih menebal, sekali gus menjadikan sokongan berasaskan etnik diutamakan rakyat di negara ini dan tidak kepada isu abstrak demokrasi.

Pengundi bandar mungkin tertarik dengan jawapan berfalsafah dan abstrak, tetapi majoriti pengundi di negara ini adalah penduduk luar bandar, Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Maka, nada Melayu dan Bumiputera masih berpengaruh walaupun ramai berpura-pura berfikir sebaliknya.

Justeru, khalayak bukan sahaja yang datang ke dewan itu, tetapi seluruh negara yang dapat mengikuti debat itu.

Oleh itu, Najib mendahului kerana beliau bercakap dengan nada (tone) pro-Melayu dan pro-Bumiputera kepada khalayak di seluruh Malaysia dan bukan seperti Anwar yang bercakap kepada penonton di dewan itu dan di bandar utama sahaja.

Anwar terperangkap kepada keperluan menarik sokongan Melayu dan bukan Melayu di bandar khasnya.

Melayu dan Bumiputera miskin, maka hulurkan bantuan berbentuk tunai dan subsidi. Melayu dan Bumiputera di luar bandar suka hal demikian.

Sementara itu, Anwar menjual idea dan berfalsafah mengenai integriti, bebas rasuah serta idea tinggi demokrasi yang tidak dimakan oleh Melayu dan Bumiputera miskin dan di luar bandar.

Sistem pendidikan Malaysia belum berjaya lagi mendidik Melayu dan Bumiputera luar bandar untuk beralih pegangan prinsip kepada nilai-nilai abstrak dan tinggi demokrasi.

Kedua-dua tokoh gagal berbanding zaman lalu dan muda mereka. Kedua-dua tokoh itu memang pemidato hebat kerana saya pernah mendengar mereka berpidato secara dekat suatu masa terdahulu.

Namun malam debat perdana itu, kedua-dua tokoh itu sudah hilang bisa dan kehebatan sebagai pemidato kerana dimakan masa. Nampaknya, masa mereka berdua sudah berlalu.

Disebabkan saya adalah ahli akademik, maka kalau saya berikan markah kepada kedua-dua pemidato itu, maka kepada Najib, saya berikan C, iaitu 45 peratus, sementara Anwar saya berikan D (40 peratus).

Walaupun begitu, jika ada kebaikan yang timbul daripada debat perdana ulung kali diadakan itu, saya fikir ia membuka ruang untuk banyak lagi debat perdana seperti itu untuk bakal pemimpin di pelbagai peringkat: Calon Perdana Menteri di peringkat parti atau perikatan parti, pemilihan pemimpin parti dan calon yang bertanding di pilihan raya sama ada di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).

Buka ruang debat supaya semua calon bertanding diberikan platform sama untuk menyampaikan mesej mereka kepada pengundi, sekali gus akan menyuburkan demokrasi dan pada masa sama menegakkan ketelusan demi kebaikan sistem demokrasi yang diamalkan.

Penulis adalah Profesor Sains Politik Universiti Putra Malaysia (UPM)

Related Article