Trending
kolumnis

Pindaan perlembagaan tak jamin UMNO tidak digugat dari dalam

Delegasi 2,586 daripada 2,666 keseluruhan perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas bersetuju pindaan kepada perlembagaan parti itu untuk membolehkan pemilihan ditangguhkan hingga 18 bulan atau 6 bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

Pindaan kepada Perkara 8.5 dan 30 Perlembagaan UMNO itu dilakukan bagi mengelakkan pemilihan perlu diadakan selewat-lewatnya Disember ini selepas kebenaran penangguhan sudah diberikan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) atas faktor wabak COVID-19.

Tempoh 18 bulan penangguhan sebelum ini sudah tamat pada Jun tahun lalu.

Meskipun terdapat isu peraturan dan undang-undang harus diselesaikan UMNO untuk membolehkan pindaan berkenaan dilakukan, ia dilihat mengikut jejak langkah MCA yang pernah melakukan tindakan sama dengan meminda
perlembagaan parti pada 2011 supaya pemilihan diadakan enam bulan selepas PRU.

Melihat kepada kes lalu, kemungkinan besar ROS tiada halangan menerima pindaan Perlembagaan UMNO itu.

Namun, kebimbangan hanya timbul sekiranya ada isu teknikal, seperti tempoh pemilihan dan tempoh serta cara penangguhan seperti dikehendaki ROS gagal diselesaikan UMNO untuk meluluskan pindaan meskipun parti itu dilihat berusaha mematuhi peraturan ditetapkan.

Sebarang pindaan perlu berasaskan peruntukan di bawah Akta Pertubuhan 1966. Rakyat juga ingin melihat ketelusan ROS dalam menguatkuasakan Akta Pertubuhan tanpa campur tangan politik.

Justeru, segala campur tangan politik boleh menjejaskan kredibiliti kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Yang pasti, ROS sahaja boleh menginterpretasikan Akta Pertubuhan dan meluluskan pindaan kepada Perlembagaan UMNO ini.

Bagaimanapun, ada persoalan lebih penting untuk dirungkai, iaitu adakah pindaan perlembagaan itu bermatlamat untuk menyatukan UMNO menghadapi PRU akan datang itu, dapat menyelesaikan polemik politik dalaman masa kini?

Ramai pengkritik melihat langkah meminda perlembagaan ini adalah cubaan mengekalkan kepemimpinan UMNO sedia ada dan mengelak mereka daripada ditewaskan dalam pemilihan UMNO.

Bagi pihak UMNO sendiri, tanggapan itu dinafikan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjelaskan isu kepentingan beliau tidak timbul.

Sebaliknya, beliau bimbang sekiranya pemilihan diadakan sebelum PRU, ia akan memecahbelahkan UMNO dan melemahkan persediaan mereka menghadapinya.

Malah sebelum ini pada PRU 2008, 2013 dan 2018 juga terbukti UMNO menangguhkan pemilihan atas faktor PRU.

Yang penting bagi Ahmad Zahid, beliau bersama UMNO dapat memberikan tumpuan jelas untuk memastikan kemenangan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Terdapat rasional di sebalik pindaan Perlembagaan UMNO ini, namun jelas ia tidak dapat
menyelesaikan polemik dalaman dihadapi UMNO khususnya pada pihak menolak penangguhan pemilihan yang membenarkan kepemimpinan sekarang memegang jawatan dalam tempoh agak lama.

Malah ada mempersoalkan penangguhan pemilihan UMNO ini sebagai tidak demokratik meskipun tidak ada isu atau bercanggah dari segi perundangan.

Bagi mereka, parti seperti PKR, PAS dan DAP boleh mengadakan pemilihan mengikut masa ditetapkan tetapi tidak UMNO.

Dalam demokrasi, tempoh pentadbiran parti dan kerajaan biasanya ditetapkan, manakala sebarang perlanjutan tempoh dilihat sebagai kelemahan.

Meskipun penangguhan ini perkiraan dalaman UMNO, isu demokrasi parti ini adalah cerminan persepsi rakyat dalam melihat perjalanan UMNO itu sendiri.

Ini menyebabkan pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah mengingatkan partinya bahawa pindaan perlembagaan meskipun dibenarkan undang-undang, ia perlu dilihat telus dan mempunyai matlamat jelas dalam demokrasi.

Malah, ia perlu dinilai dalam memperjuangkan hak dan kebajikan orang Melayu serta tidak
bertindak untuk perjuangan peribadi pemimpin
tertentu untuk terus memimpin parti dalam tempoh panjang.

Harus juga disorot, ada perwakilan dan ahli
UMNO membangkitkan isu watikah Presiden
UMNO yang juga Pengerusi BN dalam menentukan calon PRU.

Kebimbangan adalah kepada pihak merasakan tidak akan terpilih sebagai calon sekiranya kepemimpinan sedia ada dikekalkan. Oleh itu, ada desakan supaya pemilihan UMNO diadakan bagi menukar kepemimpinan masa kini kepada yang baharu.

Meskipun hakikat persaingan politik parti itu normal, rakyat melihat isu ini lebih kepada persaingan politik yang tidak mengambil kira hal mereka.

Rakyat melihat orang politik gemar bermain politik untuk mendapatkan kuasa sebagai matlamat utama. Matlamat diri berbanding rakyat difikirkan sebagai matlamat utama sebagai wadah perjuangan kepartian.

Bagi rakyat, isu watikah dan persaingan politik ini seharusnya tidak timbul dan diselesaikan secara dalaman. Mereka harus memikirkan cara untuk bersatu padu kerana wadah UMNO sebenarnya adalah untuk memperjuangkan hak orang Melayu dan rakyat Malaysia, bukannya hak untuk pemimpin tertentu mendapatkan kuasa.

Hakikatnya, tiada jaminan sekiranya pindaan ini diluluskan ROS, UMNO akan bersatu menghadapi PRU akan datang selagi parti itu terus berpuak- puak dan gagal sepakat memperjuangkan hak orang Melayu dan rakyat secara umumnya.

Melihat senario PRU sebelum ini, sabotaj terhadap BN adalah tinggi kerana rasa tidak puas hati pemimpin dan ahli terhadap cara serta keputusan kepimpinan.

Senario ini dijangka berterusan tetapi boleh
diminimumkan sekiranya parti boleh diuruskan
secara muafakat.

UMNO perlu menerima hakikat bahawa
kemenangan parti itu dan BN dalam PRU bukanlah kerana sokongan ahli UMNO semata-mata, malah rakyat perlu percaya dan diyakinkan terus menyokong dan mengundi parti berkenaan dalam PRU.

Sebenarnya pindaan Perlembagaan UMNO
bukanlah isu pokok, isu sebenar adalah terletak kepada kredibiliti dan imej UMNO dalam
meyakinkan rakyat untuk memberikan sokongan.

Selagi polemik politik berterusan dalam UMNO, selagi itulah ia boleh membawa kepada kelemahan dan kejatuhan parti itu sendiri.

Ini kerana rakyat semakin bijak menilai siapa diyakini boleh memimpin mereka di peringkat nasional untuk lima tahun mendatang selepas PRU-15 nanti.

Jadi sama ada pindaan ini diluluskan atau tidak oleh ROS, UMNO harus menerimanya dengan tangan terbuka dan bersatu padu meneruskan wadah perjuangan bagi membela orang Melayu dan menyelesaikan masalah dalaman secara bijaksana.

Penulis adalah Profesor Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Related Article