Trending
kolumnis

Bina model perladangan terbaik jamin sekuriti makanan negara

Pandemik COVID-19, pemanasan global dan terbaru, krisis Russia-Ukraine memberi kesan terhadap jaminan keselamatan makanan dunia. Ketidakstabilan situasi global ini pasti memberi kesan terhadap negara yang masih banyak bergantung kepada sumber luar.

Beberapa kesan juga dirasai rakyat disebabkan kekurangan stok bekalan makanan seperti daging dan telur ayam serta kenaikan harga barang mentah dan makanan semakin membimbangkan.

Baru-baru ini, India yang menjadi pengeluar gandum kedua dunia dilapor memberhentikan eksport akibat gelombang pemanasan dunia dan dikeruhkan lagi dengan krisis Russia-Ukraine.

Langkah itu diambil untuk memastikan bekalan makanan domestik tidak terputus, tetapi mengundang gangguan kekurangan bekalan gandum kepada negara mengimportnya.

Selain itu, Ukraine dan Russia antara dua pengeluar utama gandum, soya serta jagung terbesar dunia sehingga krisis antara kedua-dua negara menyebabkan harga komoditi meningkat kerana permintaan tinggi, tetapi bekalan berkurangan. Bahan komoditi itu juga diperlukan sebagai sumber makanan (dedak) kepada haiwan ternakan seperti lembu, kambing dan ayam.

Malaysia sudah pun mengalami kerugian akibat COVID-19, kini krisis Russia-Ukraine menggugat kestabilan bekalan makanan ternakan ruminan. Kestabilan bekalan makanan negara termasuk untuk haiwan berada pada tahap membimbangkan disebabkan kebergantungan terlalu tinggi terhadap sumber import.

Sehingga kini, negara masih tidak mencapai tahap sara diri mencukupi kepada keperluan rakyat Malaysia untuk daging ruminan dan susu.

Sasaran sekurang-kurangnya 50 peratus tahap sara diri bagi daging ruminan masih belum berjaya. Industri ruminan negara juga masih terumbang-ambing dan bergelut dengan isu kenaikan harga dedak, kos operasi serta ancaman wabak penyakit haiwan ternakan. Natijahnya, pengusaha kecil tidak mampu bertahan dan gulung tikar.

Realitinya, keselamatan dan kesejahteraan negara bukan sahaja boleh digugat dalam bentuk peperangan, bahkan diancam masalah kekurangan bekalan dan sekatan makanan.

Makanan adalah sumber asasi penting kepada kehidupan sehingga sebarang krisis makanan berlaku, pulangan sosial, iaitu kestabilan dan keamanan negara akan terjejas.

Oleh itu, dasar sekuriti makanan negara terutama berteraskan daging ruminan harus diperkukuh. Malah, data tahap sara diri dikeluarkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menunjukkan trend penurunan dengan pengeluaran daging ruminan tempatan lembu/kerbau hanya mencapai 22.28 peratus dan daging kambing/bebiri (11.84 peratus tahap sara diri) pada 2019 berbanding kadar dicatatkan masing-masing, 25.28 peratus serta 12.73 peratus pada 2014.

Mekanisme penetapan harga daging ruminan perlu dilakukan dengan kaedah menang-menang bagi kepentingan semua pihak iaitu penternak, peniaga dan pengguna.

Justeru, data mengenai kos membesarkan anak lembu atau kambing sehingga sampai saiz sesuai untuk sembelihan perlu diperoleh.

Data mengenai nisbah penukaran makanan (FCR), iaitu merujuk jumlah berat kering dedak diperlukan untuk menghasilkan sekilogram daging boleh dijadikan rujukan dalam penetapan harga daging ruminan tempatan.

Selain itu, kualiti dedak, diet tambahan dan amalan penternakan baik dalam mencegah penyakit pada ternakan ruminan boleh diambil kira dalam kos operasi. Ini untuk mengelak kerugian besar sehingga gulung tikar terutama kepada penternak, pemborong dan penggiat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Dengan tambahan gelombang pemanasan global, krisis Russia-Ukraine yang belum selesai dan kenaikan kadar inflasi, adakah mereka dapat menyerap kos operasi serta harga import dedak tinggi?

Jika dibuat perkiraan teliti, kos sebenar produksi untuk seekor ruminan dan kos membesarkan ruminan pedaging dapat diketahui. Selain jaminan keselamatan makanan, kebergantungan kepada daging ruminan import tidak membantu menstabilkan harga, sebaliknya mengganggu industri ruminan tempatan.

Penternak kecil dan sederhana juga berpotensi untuk gulung tikar. Tambahan pula, kualiti daging import kurang segar jika diambil kira proses masa diambil dari ladang di negara luar dan diimport ke negara ini berbanding daging tempatan.

Justeru, Malaysia perlu meningkatkan kemahiran dan produktiviti penternak kerana mereka tulang belakang kepada pengeluaran makanan berasaskan daging dan susu sejak dahulu. Negara perlu membina model contoh ladang ternakan terancang dan berteknologi tinggi terbukti berjaya untuk menjadi ikutan penternak.

Ini juga boleh menggalakkan minat anak muda untuk menceburi bidang penternakan. Semakin ramai menceburi bidang ini dan berjaya, semakin baik untuk jaminan bekalan daging ruminan tempatan pada masa depan.

Penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan industri ruminan perlu dipergiatkan lagi sehingga ke tahap pengkomersialan. Sebagai contoh, R&D dalam penghasilan dedak haiwan berasaskan sumber tempatan seperti daripada pelepah kelapa sawit dan daun nanas.

Kebiasaannya bahagian pelepah kelapa sawit dan daun nanas dibuang atau dibiarkan kering di ladang. Namun jika diolah, sisa pertanian berkenaan mampu dijadikan dedak. Penambahbaikan dari semasa ke semasa diperlukan.

Wabak penyakit seperti hawar berdarah dan brucella antara ancaman kepada penternak industri ruminan. Masalah kecacingan dan kerintangan banyak penyakit terhadap ubat-ubatan sedia ada juga antara masalah perlu ditangani kerana ia mengganggu produksi daging dan susu tempatan.

Malaysia mempunyai kemampuan menghasilkan dedak untuk haiwan ternakan ruminan dan vaksin sendiri. Justeru, kerjasama antara universiti, institut, agensi swasta, penggerak industri serta penternak perlu dilakukan.

Negara tidak mempunyai pilihan, selain lebih bersiap sedia menghadapi dan menyelesaikan krisis industri ternakan ruminan sebelum terlambat kerana ia berkaitan jaminan keselamatan makanan negara yang menjadi tunjang negara.

Bagaimana negara mengharungi dan mendepani wabak pandemik COVID-19 mungkin boleh dijadikan rujukan.

Pemilihan pemimpin kompeten dan cekap serta terbukti kepakarannya dari segi teori serta lapangan berkaitan industri ruminan sangat penting. Ia akan menentukan kejayaan dan hala tuju industri ruminan mampan.

Aspek pengeluaran makanan asasi membabitkan pelbagai sektor baik penternakan atau pertanian perlu diberi keutamaan segera untuk mengelak krisis lebih membimbangkan dan berpanjangan.

Justeru, pelan strategik perlu dirangka dan disepakati semua pemegang secara kolektif bagi menangani industri ternakan ruminan ini kerana ia sekuriti makanan negara.

Jaminan keselamatan makanan baik mampu memastikan kelangsungan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat. Menjadi harapan agar situasi ini dapat diselesaikan dengan segera serta diberi perhatian semua bagi mengelakkan krisis kemanusiaan dan kebuluran.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti MalaysiaKelantan (UMK)

Related Article