Trending
kolumnis

Pastikan petani, penternak tak terjejas di pasaran tanpa AP

Keputusan memansuhkan permit import (AP) terhadap bahan makanan berkuat kuasa serta-merta seperti diumumkan Perdana Menteri, kelmarin, mengambil kira pelbagai faktor daripada kesinambungan isu tekanan inflasi makanan dan kekurangan bekalan akibat pandemik hingga peristiwa semasa.

Jelas ketika ini, tekanan inflasi dan kekurangan bekalan makanan menjadi isu utama dalam cabaran memulihkan kembali ekonomi pascapandemik. Cabarannya bukan sahaja dari segi gangguan rantaian bekalan global dan permintaan tinggi melebihi penawaran akibat penutupan sempadan semasa pandemik, bahkan pelbagai isu terkait muncul seperti konflik Russia-Ukraine dan keputusan kerajaan India melarang eksport
gandum mengeruhkan lagi keadaan.

Dalam negara pula, kos sara hidup semakin mencanak naik, ditambah kejatuhan nilai mata wang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) serta tekanan inflasi semakin meningkat, ketika rata-rata rakyat masih lagi berusaha membina kembali kehidupan terjejas akibat pandemik dan musibah banjir.

Justeru, rasional di sebalik penghapusan AP, ia diharap dapat mengawal keadaan meruncing ini. Ia bermakna, langkah itu dapat mengelak tekanan inflasi makanan dan kekurangan bekalan menjadi lebih teruk pada masa hadapan.

Harus diingat, ia bertindak sebagai pelengkap kepada dasar dan langkah diperkenalkan sebelum ini seperti pemberian subsidi, pengenalan harga siling dan skim harga maksimum.

Bagaimanapun, pada jangka panjang usaha untuk meningkatkan pengeluaran makanan perlu diperkukuhkan supaya kita tidak perlu lagi mengimport bagi memenuhi keperluan seluruh rakyat.

Ini bermakna, bukan sahaja isu sekuriti makanan dapat ditangani, bahkan juga persoalan nutrisi makanan itu sendiri dengan bentuk aktiviti pengeluaran makanan yang mampan tanpa memberi kesan serius terhadap alam sekitar.

Jadi, di sinilah pentingnya dokumen Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang dilancarkan kerajaan. DAN 2.0 akan menjadi dokumen penting dalam usaha agenda transformasi sektor agromakanan negara supaya akhirnya kita tidak lagi menghadapi masalah terputus bekalan akibat faktor di luar kawalan kita.

Dengan itu, kita bukan sahaja tidak lagi
bergantung kepada import, bahkan dapat memperkasakan petani, nelayan, pekebun, peladang, penternak dan pesawah agar mereka dapat bersaing secara sihat di pasaran tanpa AP.

Bagaimanapun, bagi 'melepaskan' mereka untuk bersaing secara sihat, kapasiti dan keupayaan perlu ditingkatkan, apatah lagi dengan suasana persaingan terbuka dengan pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Seranta (RCEP) yang Malaysia sudah pun meratifikasi perjanjian ini.

Pada jangka sederhana dan panjang, persoalan penting adalah bagaimana tahap sara diri (SSL) atau petunjuk untuk mengetahui keperluan makanan domestik sudah dipenuhi sehingga dapat ditingkatkan.

Realitinya, tahap sara diri bukan sahaja perlu ditingkatkan untuk memenuhi keperluan domestik, bahkan keupayaan untuk mengeksport dan menembusi pasaran antarabangsa, terutama dalam negara
anggota RCEP.

Kita ambil contoh beras. Mengikut data dalam dokumen DAN 2.0, tahap sara diri bagi pengeluaran beras di negara ini pada 2019 adalah 63 peratus. Pada 2030, tahap sara diri disasar akan meningkat kepada 80 peratus.

Dengan erti kata lain, walaupun jika kita andaikan sasaran ini dapat dicapai pada 2030, keperluan makanan domestik bagi beras masih tidak mencukupi dan kita perlu import 20 peratus lagi serta kapasiti untuk eksport belum ada.

Begitu jugalah dengan komoditi bahan makanan lain seperti buah-buahan, sayur-sayuran, daging lembu, daging kambing dan juga telur ayam.

Mungkinkah perlu ada penambahbaikan dari segi dasar dan strategi di bawah DAN 2.0 supaya pada akhir pelaksanaannya pada 2030, bukan sahaja
keperluan domestik dapat dipenuhi, bahkan kita mempunyai lebihan untuk eksport dalam konteks pengeluaran makanan mampan, iaitu sejajar dengan agenda pembangunan mampan (SDG) 2030.

Isu pokok di sini adalah bagaimana produktiviti sektor agromakanan dapat ditingkatkan dan bagaimana sektor ini dapat menarik golongan muda untuk menceburinya.

Namun, dalam jangka pendek, iaitu pada ketika ini, penghapusan AP bahan makanan ini adalah tindakan tepat. Ia bukanlah satu bentuk kaedah mudah untuk menyelesaikan masalah tekanan inflasi dan kekurangan bekalan makanan, tetapi sedikit sebanyak dapat membantu.

Ia juga mungkin dapat menghapuskan isu orang tengah dalam sistem AP sebelum ini. Namun, apa yang pasti adalah penghapusan AP ini memberikan kesan positif kepada struktur pasaran lebih kompetitif dalam industri agromakanan ini.

Pemantauan secara berterusan dan menyeluruh perlu dibuat kepada penternak atau petani yang mungkin terjejas akibat penghapusan AP. Mungkin kaedah subsidi bersasar boleh juga diperkenalkan untuk mengurangkan impak negatif kepada terjejas. Begitu juga dengan nasib pemegang AP sedia ada yang dihapuskan ini.

Akhirnya, dalam usaha untuk memperkukuhkan sekuriti makanan negara, sudah tiba masanya untuk sektor pertanian dimodenkan dan diperkasakan. Banyak pengalaman kita boleh pelajari daripada sejarah pembangunan ekonomi sendiri untuk merangka hala tuju atau visi sektor pertanian negara lebih baik pada masa hadapan.

Penulis adalah Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM)

Related Article