Trending
kolumnis

Saifuddin, Amiruddin miliki kelebihan berbanding Rafizi

Pemilihan PKR yang berakhir hari ini sekali lagi menyaksikan proses pengundian dalam talian menjadi isu dibangkitkan ahlinya serta calon bertanding.

Mereka mendakwa sistemnya terganggu dan berdepan masalah ketika proses pengundian berjalan di beberapa peringkat cabang sejak pengundian bermula secara rasmi 13 Mei lalu. Berikutan masalah itu, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dalam suratnya pada 13 Mei lalu juga memutuskan menangguhkan pemilihan di lima cabang di Kelantan iaitu Tumpat, Bachok, Pengkalan Chepa, Ketereh serta Gua Musang.

Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli turut menggesa supaya pemilihan secara fizikal di beberapa negeri semalam dan hari ini ditangguh susulan permasalahan itu.

Namun, Pengerusi JPP, Dr Zaliha Mustafa menegaskan ia akan tetap diteruskan mengikut jadualnya. Tidak kurang juga, isu 'curi ahli' yang turut menghangatkan siri pemilihan PKR kali ini.

Berikutan sistem 'satu ahli satu undi', maka setiap undi ahli yang layak memilih amat penting dalam memastikan kemenangan calon bertanding. Mengikut jadual, pemilihan PKR bagi pusingan terakhir dilaksana secara fizikal di Selangor berlangsung semalam sementara bagi Perak, Sabah dan Sarawak, berjalan hari ini.

Bagi pemilih atas talian yang mula mengundi pada Rabu lalu, tempoh pengundian tamat malam kelmarin. Pengundian di empat negeri terakhir ini amat penting, memandangkan ia bakal menjadi penentu kepada pola keputusan pemilihan PKR kali ini.

Empat negeri ini merekodkan keahlian PKR yang tinggi, melebihi 60 peratus daripada jumlah keseluruhan ahlinya yang layak memilih di seluruh negara.

Sudah pasti, seluruh ahli PKR mahukan supaya perjalanan baki proses pengundian di empat negeri ini tidak berdepan gangguan, khususnya di Selangor dan Sabah.

Dalam pemilihan sebelum ini, Sabah dan Selangor menjadi antara negeri menyaksikan kekecohan luar biasa. Selain perebutan pengundi di cabang, masalah kiraan undi serta isu sistem pengundian tergendala, menjadi punca pertelagahan membabitkan penyokong calon bertanding.

Bahkan, sebahagiannya turut dilapor dan siasatan dibuka pihak polis berkait insiden kekerasan yang berlaku sepanjang proses pengundian.

Rafizi yang bersaing merebut jawatan nombor dua parti pada masa itu didakwa 'diserang' sekumpulan ahli PKR ketika lawatannya meninjau proses pengundian parti di daerah Keningau, Sabah.

Tidak kurang kejadian kekecohan sama turut tercetus dalam pemilihan beberapa cabang di Selangor. Justeru, proses pemilihan PKR di dua negeri ini, yang membentuk lebih separuh keahlian PKR di seluruh negara, bukan hanya bakal menjadi penentu kepada bayangan siapa akan menang, namun ia penanda aras sebenar perjalanan keseluruhan pemilihan PKR kali ini.

Jika berlaku kekecohan luar jangka menyebabkan proses pengundian terganggu atau terpaksa ditangguhkan saat akhir, maka keseluruhan proses pemilihan khususnya pengumuman siapa akan menang dalam pemilihan kali ini juga terjejas.

Mengikut jangkaan, keputusan siapa bakal mengungguli perebutan jawatan utama dalam PKR khususnya membabitkan jawatan Timbalan Presiden dan empat Naib Presiden PKR serta kepemimpinan utama sayapnya, dijangka bakal diketahui seawalnya malam ini, sebaik pengundian secara fizikal ditutup.

Memasuki pusingan akhir pemilihan PKR di empat negeri ini, calon bertanding dilihat mula menjual senarai 'cai' masing-masing menerusi aplikasi WhatsApp atau akaun media sosial masing-masing untuk 'memancing' undi serta panduan untuk ahlinya memilih.

Rafizi, yang turut mempertaruh dirinya merebut jawatan Ketua Cabang PKR Pandan, berkongsi di Facebooknya senarai 'cai' beliau yang merebut jawatan Naib Presiden PKR, Ketua Wanita dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), berserta timbalan ketua sayap serta tiga naib ketua sayap.

Sementara di beberapa cabang juga termasuk di Ampang menyaksikan wujud pertindihan 'cai' calon bertanding di kedua-dua pasukan mengambil bahagian.

Menjelang minit akhir berkempen, Rafizi masih dilihat mempunyai pengaruh dan kekuatannya sendiri untuk meraih undi dalam kalangan ahli PKR, terutama mereka yang tidak condong kepada pemimpin tertentu dalam parti, biarpun berdepan cabaran untuk beliau memperoleh undi lebih tinggi di Selangor.

Sementara itu, hashtag #KitaKeadilan yang menghiasi kempen seorang lagi calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bergandingan pula dengan calon Naib Presiden PKR, yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari, dilihat memiliki kelebihan untuk meraih undi lebih baik di Selangor.

Saifuddin yang sebelum ini menjadi Ahli Parlimen Machang sebelum berpindah kawasan Kulim Bandar Baharu, juga dilihat memiliki kelebihan di Kedah dan Pulau Pinang, selain Kelantan serta Terengganu berdasarkan hubungan rapatnya dengan pemimpin akar umbi di negeri berkenaan.

Amiruddin dilihat berpotensi untuk menang di cabang Gombak, walaupun dicabar bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang turut mencabarnya bagi jawatan Naib Presiden PKR.

Apa pun bayangan keputusan yang bakal diketahui malam ini, PKR perlu memastikan pemilihan mereka kali ini tidak mencetuskan sebarang perpecahan dalam parti, kerana mereka perlu bersiap untuk mengharungi satu lagi perang besar yang dijangka diadakan beberapa bulan dari sekarang, iaitu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Wartawan BH

Related Article