Trending
kolumnis

UMNO ragui keikhlasan PAS ajak lawan 'khemah besar' PH

USAHA menggabungkan kembali kerjasama politik PAS-UMNO atas nama Muafakat Nasional (MN) terus menjadi polemik dan tanda tanya.

Ia susulan PAS kekal dengan pendirian ingin menjalinkan hubungan dengan UMNO sebagai rakan 'taawun' (tolong-menolong) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Atas dasar taawun, pelawaan PAS kepada UMNO ini bersandarkan hasrat mewujudkan kerajaan stabil dan kuat jika kedua-dua parti berjaya memenangi PRU-15.

Pendirian PAS untuk bekerjasama dengan UMNO adalah kenyataan kedua dikeluarkan PAS menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan selepas sebelum ini ia diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bersidang di Kedah.

Kelihatannya, PAS konsisten untuk terus membuka pintu rundingan dengan UMNO bagi mengelak pertembungan tiga penjuru atau lebih antara calon parti Melayu Islam pada PRU-15.

Dari satu sudut strategi dan pendekatan, pendirian PAS tidak jauh berbeza dengan UMNO yang tidak mahu Pakatan Harapan (PH) menang pada PRU-15 nanti.

PAS melihat kerjasama dengan UMNO adalah ruang dan peluang untuk mengelak kemenangan PH pada PRU-15 dengan menawarkan formula kerjasama PAS-UMNO.

Persoalannya kenapa semakin menghampiri PRU-15, PAS sangat teruja untuk bekerjasama dengan UMNO, sedangkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pernah menyatakan tawaran PAS hanya kerjasama politik dangkal tidak mengambil kira keperluan rakyat seperti semangat MN sebenar?

UMNO dan PAS mengisytiharkan pembentukan MN membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia pada 14 September 2019.

Antara tujuan MN adalah menjunjung dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan, Islam sebagai agama Persekutuan, kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum lain, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta memelihara kepentingan masyarakat majmuk.

Namun impian MN ini tidak menjadi realiti. UMNO menganggap PAS mencabuli semangat MN apabila konsisten dan kekal bersahabat dengan musuhnya, iaitu BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN).

Dari satu sudut, UMNO dilihat sudah menutup rapat pintu rundingan untuk bekerjasama dengan PAS, apatah lagi menjadi rakan seperjuangan dalam menghadapi PRU-15.

Namun, terdengar seruan dan usaha pihak tertentu dalam kalangan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang reda PAS bersama UMNO atas wadah MN untuk menghadapi PRU-15.

Justeru, apakah natijah sebenarnya di sebalik harapan PAS pada UMNO serta pendirian UMNO terhadap keinginan PAS? Situasi teka-teki ini agak membingungkan.

Adakah akan ada keputusan saat akhir nanti yang menetapkan kerjasama UMNO-PAS menjadi game-changer atau 'jerangkap samar'?

Sama tujuan halang PH kembali berkuasa

Apa yang penting, ketetapan dan pendirian membentuk kerjasama ini perlu dibuat secepat mungkin. Dalam konteks persaudaraan Islam, kerjasama dihulurkan PAS membuka ruang untuk UMNO 'sama-sama menolong' dalam melakukan kebaikan. Konteks kebaikan ini adalah untuk menghalang PH kembali menjadi kerajaan.

Ini selari dengan pendirian PAS yang menegaskan musuh sebenar penyatuan ummah adalah PH dan sekutunya, termasuk parti yang masih berharap diwujudkan 'khemah besar'.

Agenda khemah besar mula diperkenalkan PH pada April tahun lalu menerusi konsep menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak berkongsi prinsip dan agenda reformasi gabungan itu, namun menolak kerjasama dengan 'golongan kleptokrat.'

PAS dilihat terus berusaha memujuk UMNO dengan pelbagai pendekatan antaranya menyeru kedua-dua parti bekerjasama bagi menghadapi PRU-15 atas semangat mahu menjelmakan kerajaan baharu lebih mantap dan berautoriti.

Namun, mengimbau Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor, wujud kejanggalan strategi dek wujud pertentangan meraih sokongan pengundi.

Pada kedua-dua PRN itu, PAS dan BERSATU di bawah payung PN menentang BN/UMNO, tetapi menyaksikan BN mampu membentuk kerajaan di Johor dan Melaka walaupun bertanding secara solo.

Boleh dikatakan, keputusan PRN itu menggambarkan PAS terpaksa 'gigit jari' apabila memilih BERSATU sebagai rakan kongsi untuk menentang BN/UMNO.

Justeru, sejauh mana keikhlasan PAS sebenarnya mahu 'bantu-membantu' bersama UMNO dalam menghadapi PRU-15 nanti? Adakah PAS sanggup meninggalkan BERSATU dalam usaha memurnikan semula gagasan MN bersama UMNO?

Politik 'genjotan' begini yang sebenarnya menjadi pendorong kuat perlunya PRU-15 disegerakan supaya wujud politik dan kerajaan stabil.

Walaupun PAS optimis hanya dengan perpaduan dan kerjasama politik antara parti utama Melayu Islam dapat memastikan pertandingan satu lawan satu pada PRU-15 nanti, parti itu tetap tidak dapat menerima Parti Amanah Negara (AMANAH) untuk dijadikan sekutu.

Pendirian PAS ini seperti UMNO yang tidak akan bekerjasama dengan BERSATU dalam gerakan politik nasional bagi usaha menubuhkan kerajaan Melayu Islam di negara ini.

Justeru, muafakat atas nama Melayu-Islam bukan saja dapat menjamin terbentuknya pentadbiran adil dan saksama kepada rakyat merentas kaum, agama, bangsa dan budaya, tetapi dapat mengelak berulangnya sejarah pada PRU-14.

Penulis adalah Penganalisis politik merangkap Pensyarah di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM)


Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH