Trending
kolumnis

Bajet 2023 platform perkasa belia, promosi TVET pilihan pengajian

Belia adalah ejen utama untuk pembangunan negara mampan, perubahan sosial, pertumbuhan ekonomi dan inovasi teknologi. Maka, mendepani cabaran baharu pasca pandemik, Bajet 2023 tidak seharusnya mengetepikan begitu saja rancangan bagi memperkasa golongan belia sebagai pemangkin pertumbuhan semula negara.

Tahun lalu, Bajet 2022 menyediakan pelbagai inisiatif untuk belia dan graduan seperti Perantisiswa iaitu tablet kepada pelajar B40, e-pemula untuk pemangkin perniagaan dalam talian, JaminKerja iaitu insentif penggajian dan usaha mengambil pekerja rentan.

Teras utama Bajet 2022 menyentuh aspek terpenting belia seperti pewujudan pekerjaan, peningkatan kemahiran, latihan dan program pembiayaan usahawan.

Namun begitu, adakah peruntukan diberikan kepada belia mencapai matlamatnya? Apakah yang kita boleh cadangkan untuk diperuntukkan kepada belia pada Bajet 2023?

Pertama, boleh dikatakan masalah terbesar golongan belia adalah kekurangan peluang pekerjaan. Dalam hal ini, usah dilihat pada kadar pengangguran sahaja, tetapi perlu ditinjau juga masalah over-education.

Masalah ini menyebabkan ada graduan tidak bekerja dalam bidang atau kursus dipelajari di institusi pengajian tinggi (IPT). Sebagai contoh, graduan kejuruteraan, tetapi bekerja di dalam ekonomi gig yang tidak memerlukan kelayakan dimiliki graduan terbabit.

Pelaburan masa, tenaga, dan kewangan graduan terbabit selama tiga hingga empat tahun di universiti untuk mendapatkan kemahiran tidak dapat dimanfaatkan.

Contoh ini adalah masalah mismatch (tidak sepadan) semakin berleluasa dalam kalangan belia masa kini. Lompang dalam pasaran kerja menyebabkan banyak berlaku over-education yang mana graduan mengambil peluang pekerjaan yang sepatutnya diambil bukan graduan, sekali gus peluang lepasan sekolah mendapat pekerjaan semakin tipis.

Manfaat graduan berkemahiran tinggi 

Keadaan ini mencapai ke paras membimbangkan apabila golongan remaja lepasan sekolah tidak lagi ingin menyambung pelajaran ke IPT untuk mengelakkan hutang pendidikan dan ketiadaan jaminan pekerjaan sesuai.

Perkara ini patut menjadi agenda utama kerajaan untuk mengenal pasti apakah menyebabkan mismatch ini berlaku dan apakah usaha paling berkesan bagi memastikan graduan berkemahiran tinggi ini dapat dimanfaatkan untuk pembangunan negara.

Selain isu over-education, isu gaji minimum masih perlu diberi perhatian. Adakah belia kita malas sedangkan ramai belia tempatan sanggup bekerja di sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) di negara luar. Kalau kita cuba memahami mengapa mereka sanggup berhijrah ke negara luar untuk bekerja di dalam sektor ini, jawapannya kerana faktor gaji.

Bermakna, jika kita mampu menawarkan gaji 'bermaruah' kepada belia tempatan, tidak mustahil ramai sanggup bekerja di sektor pertanian, pembinaan dan perkhidmatan mencuci.

Dalam memutuskan kadar gaji minimum yang wajar, perlu difahami kekangan majikan, terutama sektor perusahaan kecil sederhana (PKS) yang mana kos upah adalah tertinggi bagi sesebuah perniagaan.

Insentif khusus kepada PKS dan berfokus kepada pengambilan pekerja tempatan harus diberi penekanan penting dalam pengisian Bajet 2023.

Kita tidak mahu lambakan pekerja asing atas alasan sukar mencari warga tempatan bagi mengisi kekosongan pekerjaan. Ini sering digunakan alasan sesetengah majikan memanipulasi pekerja asing dengan memberikan gaji terlalu rendah.

Pekerja asing yang kita patut panggil adalah mereka yang berkemahiran tinggi supaya kemahiran itu mengalir ke dalam negara dan membantu meningkatkan pembangunan, manakala pekerja tempatan boleh belajar kemahiran dibawa dari negara luar.

Ketiga, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga dituntut untuk diperkasakan. Antara faktor menarik pelabur ke negara ini adalah kemahiran dan kecekapan teknikal tenaga kerja tempatan.

Justeru, negara perlu melahirkan pekerja mahir dan antara satu caranya adalah pemerkasaan TVET. Apa yang penting, negara memerlukan kumpulan belia menguasai kedua-dua kemahiran ini. Diharapkan Bajet 2023 mempunyai peruntukan khusus bagi memperkasa dan mempromosikan TVET sebagai pilihan pengajian diterima umum.

Pensyarah Kanan di Jabatan Ekonomi dan Statistik Gunaan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM)