Trending
kolumnis

Pelantikan Nurul Izzah jadi peluru lawan goncang kerajaan

'Di telan mati emak, diluah mati bapak'. Pepatah ini mungkin menggambarkan situasi dihadapi Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila umum mengetahui beliau melantik anaknya, Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.

Pelantikan Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR mengundang kontroversi kerana kanta digunakan ramai dan musuh politik Anwar ialah melihat seorang bapa melantik anak sendiri ke jawatan penting dalam kerajaan. Justeru, mereka berpandangan ia menyalahi etika dan moral walaupun tidak salah di sisi undang-undang.

Ada juga pandangan menyatakan ini contoh klasik salah guna kuasa dan tindakan nepotisme banyak dibangkitkan ketika zaman pemerintah kerajaan lalu.

Umum melihat keputusan Presiden PKR ini sebagai bertentangan dengan prinsip PKR selama ini. Pada sudut lain, apakah mungkin lantikan ini akan dilihat lantikan biasa sekiranya Nuzul Izzah bukan anak Anwar.

Dalam perspektif ini, mungkin terdapat perbezaan pandangan kerana ia lantikan pemimpin PKR ke dalam kerajaan. Jika diperhatikan, hampir semua pemimpin utama PKR seperti Presiden, Timbalan Presiden, Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan parti dilantik ke jawatan tertentu dalam kerajaan.

Maka, lantikan Nuzul Izzah disifatkan sebagai biasa. Maka, apa beza Nurul Izzah dengan pemimpin PKR lain seperti Naib Presiden (dilantik) K Saraswathy turut dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi.

Bertugas secara percuma 

Apakah kerana wujud hubungan kekeluargaan maka Nurul Izzah tidak dilantik ke jawatan dalam kerajaan seperti pemimpin utama PKR lain. Dalam isu ini, Anwar menjelaskan pelantikan Nurul Izzah adalah 'pro bono, maka anaknya itu bertugas secara 'percuma' atas niat mencurahkan bakti kepada bangsa dan negara.

Hal ini mengingatkan kita kepada keputusan Presiden Donald Trump melantik menantunya, Jared Corey Kushner ke jawatan penasihat kanan kepada presiden. Dalam konteks sama, Kushner tidak menerima gaji, namun oleh kerana ada peruntukan undang-undang berkaitan, maka beliau dibayar AS$1 setahun.

Dalam isu pelantikan Nurul Izzah, pengkritik mempersoalkan kelayakan beliau dilantik ke jawatan itu kerana beliau graduan kejuruteraan serta dasar sosial dan awam.

Justeru, apakah menteri dan timbalan menteri dilantik Anwar berdasarkan kepada latar belakang dan kepakaran mereka. Mengimbas kembali kelayakan Nurul Izzah, beliau diketahui mempunyai pengalaman panjang dan luas dalam politik nasional.

Bagi Pakatan Harapan (PH), Nurul Izzah adalah pemimpin harapan PKR. Beliau dan beberapa nama besar lain pembawa obor pembaharuan dan pemimpin masa depan negara. Nurul Izzah juga bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai (2008-2018).

Beliau menjadi wakil rakyat Lembah Pantai selama dua penggal sebelum berpindah ke Parlimen Permatang Pauh, kawasan tradisi keluarganya pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, namun gagal mempertahan kerusi itu pada PRU15.

Pelantikan Nurul Izzah ini mungkin menjadi 'peluru' kepada lawan untuk mewajarkan tindakan mereka mengkritik keputusan dan tindakan dibuat Anwar. Mungkin, pengkritik dan pihak lawan masih gagal melihat realiti politik negara pasca PRU15.

Kerajaan Perpaduan berdiri hari ini boleh dianggap tidak begitu untuk berdiri 'sendiri' kerana tiada parti dalam gabungan itu memiliki kerusi Parlimen mencukupi untuk menjadi majoriti mudah.

Kritikan, serangan dan mengganyang kerajaan ini semata-mata mahu meruntuhkannya boleh mengulangi episod tumbangnya dua kerajaan sebelum ini pasca PRU14. Maka, daripada sibuk 'menggoncang' kerajaan yang ada hari ini, lebih wajar semua pihak bergandingan memastikan kestabilan politik semasa demi pemulihan dan kemakmuran bersama.

Profesor Sains Politik Universiti Putra Malaysia (UPM)