Trending
kolumnis

Pekerja perlu tingkat kemahiran hadapi daya saing era IR4.0

Dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), trend pekerjaan berubah dengan cepat akibat teknologi digital dan automasi. Di negara ini, kira-kira 30 hingga 40 peratus daripada pekerjaan sedia ada akan berubah atau terhapus dalam masa beberapa tahun ini.

Beberapa jenis pekerjaan yang akan mengalami penurunan permintaan dalam era IR4.0 adalah membabitkan tugas rutin dan manual, tetapi ia juga membawa peluang kerjaya baharu memerlukan kemahiran teknologi digital dan automasi.

Kemahiran teknologi memberikan peluang untuk meningkatkan produktiviti dan efisiensi, menjimatkan masa serta kos, sekali gus membolehkan pekerja berfungsi dengan lebih cekap dan efektif.

Oleh itu, individu perlu mengembangkan kemahiran baharu untuk memenuhi permintaan pasaran dan bersaing dalam industri semakin kompetitif.

Menurut Laporan Tahunan Ekonomi Digital Malaysia, permintaan untuk pekerjaan dalam bidang teknologi seperti keselamatan siber, pengurusan data dan pembangunan aplikasi semakin mendapat permintaan tinggi.

Banyak pekerjaan pernah dilakukan secara manual sudah digantikan mesin atau perisian termasuk kerja berulang dan memerlukan tumpuan tinggi. Ini bermakna pekerja perlu memiliki kemahiran teknologi baharu untuk dapat bersaing dalam industri.

Pekerja tidak mempunyai kemahiran teknologi, akan menghadapi kesukaran bukan sahaja mencari pekerjaan, bahkan mengekalkan pekerjaan mereka. Mereka mungkin terjejas dari segi produktiviti dan kualiti kerja, akhirnya tertinggal dalam bidang masing-masing.

Oleh itu, penting bagi pekerja mempelajari kemahiran baharu untuk memenuhi permintaan pasaran dan menjadi berdaya saing dalam era IR4.0.

l Pertama, kemahiran teknologi, iaitu antara elemen penting diperlukan dalam era IR.0 contohnya penggunaan perisian dan peralatan teknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), internet benda (IoT) dan analisis data raya.

Kemahiran teknologi bukan sahaja memberikan kelebihan dalam mencari pekerjaan, bahkan meningkatkan produktiviti dan kecekapan pekerja. Pekerja mahir dalam teknologi akan dapat menyelesaikan tugas lebih cepat dan lebih baik berbanding mereka tidak mahir dalam teknologi.

Di negara ini, teknologi berkembang dengan pesat hingga organisasi memerlukan tenaga kerja berpengetahuan dan mampu menguasai teknologi terkini untuk memenuhi permintaan pasaran.

l Kedua, kemahiran menganalisis data. Pekerja mahir dalam teknologi juga mempunyai kelebihan dalam menguruskan dan menganalisis data. Ini kerana data menjadi sumber sangat penting dalam mengambil keputusan strategik bagi syarikat dan organisasi.

Kemahiran untuk mengumpul, memproses dan menganalisis data serta menghasilkan keputusan tepat dapat membantu organisasi untuk memahami dan mengambil tindakan strategik. Bagi memperoleh kemahiran ini, seseorang perlu menguasai kemahiran teknikal seperti pemprosesan data dan perisian analisis data serta kemampuan berfikir secara kritis dan logik.

l Ketiga, kreativiti dan inovasi. Menurut Laporan Tahunan Tenaga Kerja Malaysia, kemahiran ini menjadi faktor penting dalam memenuhi permintaan untuk produk terkini dan perkhidmatan berkualiti tinggi.

Disebabkan banyak pekerjaan semakin menjadi automatik dan bersifat rutin, kemahiran ini membantu individu memikirkan cara baharu untuk menyelesaikan masalah, menghasilkan idea segar dan mencipta nilai tambah dalam perniagaan, sekali gus dapat menarik pelanggan dan memenangi pasaran kompetitif.

 Kemahiran komunikasi bantu pekerja 

l Keempat, kemahiran komunikasi sememang diperlukan sebelum ini tetapi dalam era IR4.0, ia sangat menjadi elemen semakin penting untuk merealisasikan kerja secara berpasukan.

Dalam dunia global, keupayaan berkomunikasi jelas dan efektif dengan pelbagai pihak atau individu daripada pelbagai latar belakang serta budaya menjadi semakin dituntut.

Pekerja mahir dalam teknologi komunikasi terkini termasuk panggilan atau sidang video dan aplikasi perkongsian dokumen, akan dapat bekerjasama lebih efektif dan menjalin hubungan kerja lebih baik dengan rakan sekerja dari seluruh dunia.

Oleh itu, kemahiran komunikasi dapat membantu pekerja dalam berinteraksi dengan pelanggan, rakan sekerja dan pengurus secara lebih berkesan, sekali gus membina hubungan baik dan dipercayai dengan pelanggan hingga membantu meningkatkan jualan serta keuntungan organisasi.

l Kelima, pembelajaran sepanjang hayat yang dapat membantu individu menyesuaikan diri dengan perubahan dalam teknologi dan trend pasaran. Pekerja perlu mengambil inisiatif untuk belajar secara berterusan, mencari kemahiran baharu dan mengembangkan diri agar relevan dan berdaya saing.

Kerajaan dan industri sudah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat demi memastikan pekerja mempunyai kemahiran diperlukan untuk bersaing dalam era IR4.0.

l Keenam, kemahiran menyelesaikan masalah termasuk kemampuan memahami dan mengenal pasti punca, sekali gus mencari penyelesaian berkesan serta menilai hasil. Ini dapat meningkatkan produktiviti dan kecekapan perusahaan serta meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan.

Selain itu, kemahiran menyelesaikan masalah juga berperanan penting dalam meningkatkan kepuasan pelanggan dan membangun reputasi baik untuk industri.

l Ketujuh, kemahiran digital yang merujuk kepada perkembangan teknologi itu dalam pasaran kerja seperti dalam bidang keselamatan siber, pemasaran digital, pengurusan data serta pembangunan aplikasi dan platform.

Terdapat permintaan tinggi bagi tenaga kerja mahir dalam bidang ini, sekali gus menjadikan individu memiliki kemahiran ini berkelebihan dalam mencari pekerjaan berkaitan teknologi dan inovasi.

l Kelapan, kemahiran interpersonal perlu diasah dan ditajamkan lagi berbanding dahulu kerana kualiti pekerja dalam IR4.0 ditentukan dengan kemampuan bekerjasama, bekerja dalam pasukan, memimpin dan meyakinkan orang lain.

Dalam era teknologi semakin berperanan utama dalam dunia pekerjaan, kemahiran interpersonal baik sebenarnya dapat membantu individu memperoleh kepercayaan dan pengiktirafan daripada rakan sekerja dan majikan.

Keupayaan untuk bekerjasama dengan orang yang mempunyai latar belakang dan budaya yang berbeza adalah penting dalam industri global.

Realitinya, era IR4.0 membawa banyak cabaran kepada pekerja, tetapi ia juga sebenarnya menjadi peluang baharu dalam dunia pekerjaan asalkan kita dapat mengembangkan kemahiran baharu untuk memenuhi permintaan pasaran dan bersaing dengan baik dalam industri semakin kompetitif.

Pekerja yang ingin berjaya dalam era ini perlu terus mengembangkan kemahiran teknologi baharu dan menyesuaikan diri dengan perubahan dalam dunia teknologi untuk memastikan kebolehannya untuk bersaing dalam industri semakin berkembang pesat.

Penulis adalah Ketua Penyelidik Pengurusan Teknologi Pengeluaran, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia