Trending
Agama

Berlapang dada raikan perbezaan pandangan

Islam menuntut mukmin menjaga hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia, bahkan berbuat baik dengan dengan semua perkara termasuk tumbuh-tumbuhan, haiwan dan seluruh alam,

Pendekatan menjaga hubungan, silaturahim, kesepakatan dan perpaduan dalam masyarakat perlu dibuat menerusi amalan memelihara hubungan baik bagi menjamin kehidupan harmoni dan sejahtera.

Nabi Muhammad SAW banyak memberi teladan dalam bab menjaga hubungan hingga orang yang membenci Islam juga mengakui keperibadian Baginda dalam melayani mereka ketika menyebarkan ajaran Islam.

Penceramah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Muhammad Nurkhairi Ishak, berkata kasih sayang dalam pergaulan seharian akan menggembirakan sesama makhluk dalam kehidupan Muslim, malah disukai malaikat, sekali gus menambahkan pahalanya.

Islam menekan kasih sayang dan perdamaian kerana mukmin menjalinkan persaudaraan dan menghidupkan silaturahim seperti sering bertegur sapa, menziarahi individu sakit dan kematian, menderma, kunjung-mengunjung dan memenuhi jemputan.

Firman Allah SWT: "Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan serta Kami jadi kamu pelbagai bangsa dan bersuku supaya kamu berkenal-kenalan dan beramah mesra antara satu sama lain. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang lebih takwanya antara kamu, bukan lebih keturunan atau bangsanya. Sesungguhnya Allah lebih Mengetahui lagi Maha Mendalam pengetahuannya akan keadaan dan amalan kamu." (Al-Hujarat: 13)

Muhammad Nurkhairi berkata, persaudaraan ialah nikmat amat berharga kurniaan Allah SWT kerana seluruh umat manusia itu adalah sama kecuali dibezakan ketakwaan kepada-Nya.

"Kita sedia maklum, Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN) Melaka baharu sahaja selesai namun masih terasa kehangatan dan bahang semangat pengundi dengan fikrah serta parti pilihan masing-masing.

"Kita berjaya melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai rakyat untuk mengundi namun amanah dan tugas individu sebagai manusia harus dilaksanakan berlandaskan syariat Islam," katanya.

Beliau berkata, umat Islam diajar berlapang dada dan belajar menerima kenyataan dalam semua perkara termasuk dalam berpolitik hingga tidak boleh terlalu berlebihan dan lupa adab sebagai Muslim.

"Perbezaan pendapat lumrah dalam kehidupan kerana Allah SWT menciptakan manusia dengan akal fikiran berbeza," katanya.

Dalam menangani perbezaan pendapat ini, Muhammad Nurkhairi berkata, perkara utama perlu dilakukan adalah meraikan perbezaan pendapat atau pandangan dengan antara adab utama ialah sikap tasaamuh, iaitu berlapang dada.

Firman Allah SWT: "Maka maafkanlah mereka dan lapangkanlah dada kerana sesungguhnya Allah mencintai orang melakukan kebaikan." (Al-Maidah: 13)

"Jangan kita membenci sesuatu pihak atas kekalahan tetapi tetap bersilaturahim sepanjang masa kerana banyak faedah dan ganjaran dijanjikan Allah SWT," katanya.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya dan dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim." (Hadis riwayat Bukhari)

Saling membantu, berkasih sayang

Muhammad Nulkhairi berkata, hukum mengeratkan silaturahim adalah wajib, manakala memutuskannya pula haram dan termasuk dalam golongan orang melakukan maksiat dan dosa besar hingga tidak akan masuk syurga bagi orang memutuskan silaturahim seperti hadis diriwayatkan Jubair Ibnu Muth'im RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan masuk syurga bagi memutuskan silaturahim." (HR Muslim)

"Masyarakat bersatu padu, saling bantu-membantu untuk melakukan kebaikan dan menolak kejahatan serta saling berkasih sayang akan membentuk pertahanan atau benteng sangat kuat dan kukuh hingga sukar dipecah-belahkan," katanya.

Beliau turut mengingatkan Rasulullah SAW menjadikan golongan Ansar dan Muhajirin sebagai bersaudara hingga dengan ikatan itu, segala usaha mengembangkan Islam menjadi kuat dan berjaya kerana mendapat sokongan dan dukungan sahabat Baginda yang sentiasa bersatu hati.

"Justeru, kita harus mengelakkan perpecahan dan perbalahan kerana boleh menjadikan negara huru-hara dan kucar-kacir," katanya.

Muhammad Nulkhairi berkata, kesepakatan dan perpaduan harus dipupuk ke dalam setiap umat Islam dengan prinsip ketaatan kepada Allah SWT dan Rasul menjadi kunci perpaduan sebenarnya.

"Berpegang teguhlah kepada al-Quran dan sunnah dengan menjadikannya sebagai sumber utama dalam membuat sesuatu keputusan. Jangan kita mengikut hawa nafsu semata-mata demi mendapat pangkat, harta dan nama.

"Kita perlu berusaha menjaga dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim. Jika berlaku perselisihan, berusahalah mencari jalan penyelesaian dan perdamaian kerana semua mukmin itu bersaudara," katanya.

Menurutnya, umat Islam perlu menjauhi sebarang perkara yang boleh memutuskan persaudaraan dan silaturahim, manakala jika terdapat masalah, tanganilah dengan perasaan rasional dan eratkanlah semula perhubungan itu dengan rasa kesedaran serta keinsafan.

"Sehubungan itu, komuniti harus terus berusaha dan berdoa semoga hubungan silaturahim akan sentiasa terjalin, dan semua akan mendapat keredaan Allah SWT di dunia dan akhirat," katanya.

Related Article