Trending
Agama

Peristiwa fitnah terhadap Aishah bukti kebenaran al-Quran

KEDATANGAN Syaaban sebagai bulan persediaan sebelum Ramadan, dinantikan orang beriman. Umat Islam digalakkan memperbanyakkan ibadat pada bulan mulia ini selari dengan doa diajar Nabi Muhammad SAW: "Ya Allah, berkati kami pada Rejab dan Syaaban serta sampaikan kami hingga Ramadan." (Hadis riwayat Ahmad)

Syaaban antara bulan haram yang perlu dihargai dan diperbesarkan menerusi puasa sunat dan ibadat lain. Nabi juga bersabda "Itulah ia bulan (Syaaban) yang sering manusia lalai antara Rejab dengan Ramadan. (HR al-Nasaie)

Imam al-Syaukani mengulas hadis ini mengingatkan manusia lalai daripada membesarkan bulan ini dengan berpuasa seperti ketika Rejab dan Ramadan.

Sebenarnya, bulan mulia ini juga menyaksikan peristiwa penting dalam sejarah Islam. Antaranya, kisah fitnah melanda keluarga Rasulullah SAW dinamakan sebagai Hadith al-Ifki. Menerusi peristiwa ini, Allah SWT memuliakan Nabi SAW dan keluarga Baginda terutama Sayidatina Aishah RA seperti tercatat dalam surah al-Nur.

Kisah ini juga menunjukkan betapa kejinya perancangan golongan munafik dalam menyebarkan fitnah terhadap keluarga Nabi Muhammad SAW hingga Allah SWT menurunkan ayat ke-19 surah an-Nur sebagai kejian dan penghinaan kepada mereka.

"Sesungguhnya orang yang suka menghebah-hebahkan tuduhan buruk dalam kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)."

Imam al-Bughawi (wafat 516) menyatakan azab yang Allah SWT nyatakan itu ditujukan kepada Abdullah Ibnu Ubay dan kelompok munafik yang bersama-sama menyebarkan fitnah sedangkan Allah SWT amat mengetahui Aishah tidak terbabit di dalam urusan diadudombakan.

Ringkasnya, Hadith al-Ifki menyaksikan Aishah difitnah berdua-duaan bersama seorang Sahabat, Sofwan Ibnu Mu'attol RA ketika perjalanan pulang dari medan perang menentang Bani Mustaliq pada Syaaban tahun kelima Hijrah (terdapat pandangan menyatakan tahun keenam hijrah).

Reaksi sahabat Nabi SAW ketika itu berbeza-bezadalam menerima berita ini; ada menafikannya, adamempercayainya, bahkan ada mempercayai lebihdaripada apa digembar-gemburkan itu.

Sheikh Almarhum Dr Mohd Said Ramadan al-Buti mengulas dalam kitab Fiqh Sirah, peristiwa itu membuktikan dua hakikat utama kenabian kepada kita.

Pertama, meskipun dimuliakan dengan kenabian dan wahyu, ia tidak mengeluarkan seseorang Nabi daripada sifat kemanusiaannya, apatah lagi menisbahkan Baginda dengan sifat layak dan tertentu bagi Allah SWT semata-mata.

Kedua, wahyu diterima Nabi Muhammad SAW bukanlah direka-reka atau perasaan yang boleh diwujudkan sewenang-wenangnya. Jika tidak, sudah pasti Baginda boleh menerima wahyu lebih awal sebelum berlaku kisah ini, sekali gus menyelesaikan segala masalah berbangkit daripadanya.

Sementara itu, Sheikh Almarhum Dr Muhammad Abdullah Darraz menerusi kitab al-Naba al-'Azhim turut menukilkan permasalahan ini bukan sahaja kerana meluasnya tiupan fitnah kaum munafik hingga didengari semua penduduk Madinah, malah diberatkan lagi dengan kelewatan penurunan wahyu bagi menerangkan duduk perkara sebenar.

Namun, ia tidak menghalang Nabi SAW untuk terus positif dan bersangka baik dengan menasihati serta memberikan kekuatan kepada Aishah: "Wahai Aishah, aku mendengar berita mengenaimu, jika kamu tidak melakukannya Allah SWT pasti akan menyucikan kembali nama dan maruahmu, sebaliknya jika engkau terbabit di dalam kesalahan berkenaan, mintalah ampun dari Allah SWT".

Ternyata setelah sebulan peristiwa itu berlaku, Allah SWT menurunkan ayat ke-11 hingga ke-20 surah an-Nur yang membebaskannya daripada tuduhan itu, sekali gus memberi peringatan dan pengajaran iman begitu berkesan kepada umat Islam seluruhnya.

Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya orang membawa berita amat dusta itu ialah segolongan dalam kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang antara mereka akan beroleh hukuman sepadan kesalahan dilakukannya itu dan orang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya antara mereka, akan beroleh seksa besar (di dunia dan akhirat)." (An-Nur: 11)

Hakikatnya, tidak semua perkara buruk akan menatijahkan hasil negatif. Peristiwa ini mengukuhkan lagi iman sahabat Nabi SAW kepada Allah SWT dan Islam disampaikan kepada mereka. Jika benarlah al-Quran itu ciptaan Nabi SAW, sudah tentu Baginda akan berusaha mendatangkan ayat baharu bagi memulihkan keadaan berkenaan.

Apa yang berlaku, Nabi SAW sendiri menunggu kedatangan wahyu Allah SWT untuk menerang dan menjelaskan apa sebenarnya berlaku.

Bagi manusia yang hidup selepas zaman Nabi SAW hingga hari ini, sekiranya terlintas di hati bahawa al-Quran itu bukan kalam Allah SWT, sebaliknya olahan Nabi SAW sendiri, sudah pastinya kisah seperti ini tidak akan dijadikan kandungan dalam Kitab Suci ini.

Kisah ini secara tidak langsung memperihalkan 'konflik' yang pernah melanda rumah tangga Nabi Muhammad SAW.

Hakikatnya, kitab al-Quran ialah kalam Allah SWT yang bukan dicipta mana-mana manusia, khususnya Nabi SAW sendiri. Al-Quran adalah dokumentasi wahyu diterima Baginda daripada-Nya dan disampaikan dengan penuh amanah dan mutawatir, daripada satu generasi kepada generasi seterusnya, hingga hari ini.

Kewujudannya itu sendiri tidak mampu dicabar mana-mana manusia untuk menyainginya, sekali gus bukti ampuh menunjukkan ia wahyu dan syariat kekal hingga akhir zaman.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Related Article