Trending
Agama

Sifat sederhana Muslim berpuasa jadikan alam lebih lestari

Suatu perkara mengejutkan ramai orang adalah hakikat meskipun pandemik COVID-19 mendatangkan kesusahan kepada ramai orang, ia memberi banyak kebaikan kepada alam sekitar, hanya kerana manusia kurang melakukan pencemaran.

Apabila manusia kurang berpergian, kurang melakukan aktiviti di luar dan kilang ditutup untuk suatu ketika, pencemaran semakin kurang berlaku yang menyebabkan langit semakin cerah, udara semakin bersih dan sungai semakin jernih.

Pada umumnya umat Islam mengetahui berpuasa pada Ramadan tidak hanya bermaksud menahan diri daripada makan minum pada siang hari, bahkan menahan diri daripada melakukan perkara diharamkan atau ditegah syariah supaya pahala melaksanakan ibadat puasa dapat diraih.

Oleh itu, kita memahami terdapat falsafah di sebalik kewajipan berpuasa merangkumi aspek kesihatan rohaniah, kesihatan fizikal, kesihatan moral dan bahkan, seperti akan dijelaskan dalam tulisan ini, falsafah puasa boleh diperluaskan lagi hingga merangkumi aspek kesihatan alam sekitar.

Tujuan diwajibkan berpuasa pada Ramadan adalah untuk mencapai sifat takwa (surah al-Baqarah: 183). Takwa adalah hasil tercapai apabila seseorang menjaga bukan hanya anggota badannya seperti mulut, mata dan tangan kaki daripada melakukan perkara dilarang, bahkan menjaga anggota batinnya seperti hati serta fikiran, daripada memikirkan atau menghendaki perkara tidak diredai Allah.

Pengamalan ibadat puasa dengan penuh keimanan akan menatijahkan sifat berdisiplin dalam diri manusia dengan hanya melakukan perkara baik (amal soleh) yang diredai Allah SWT.

Apabila diperhatikan dengan lebih mendalam, puasa mengisyaratkan suatu cara hidup sederhana. Manusia berpuasa dibenarkan makan minum pada waktu lewat malam (sebelum Subuh) dan awal malam (waktu Maghrib), yakni waktu sahur serta waktu iftar.

Dengan hanya makan dua kali sehari semalam, bermakna ia berjaya mengurangkan konsumsi lebih kurang separuh daripada kebiasaan. Pengurangan konsumsi ini bahagian penting daripada maksud berpuasa. Ini kerana hanya dengan pengurangan ini, manfaat puasa itu terhasil, iaitu kesihatan rohani dan jasmani.

Jika pengurangan konsumsi ini tidak berlaku, seperti banyak kita saksikan pada hari ini, maka maksud berpuasa itu tidak tercapai. Justeru, kebiasaan masyarakat hari ini yang berbelanja lebih pada Ramadan, bahkan berpesta makanan hingga berlaku banyak pembaziran adalah perkara bertentangan maksud dan tujuan berpuasa itu sendiri.

Singkatnya, puasa perlu dapat mengurangkan kemahuan insan, bukan menjadikannya semakin banyak kemahuan.

Falsafah puasa berfungsi untuk mengurangkan kemahuan manusia ini bertepatan dengan falsafah kesederhanaan yang juga ditekankan dalam Islam. Zuhud dan qana'ah ialah konsep penting diamalkan dalam kehidupan Muslim kerana ia menjanjikan kebahagiaan serta cara hidup lestari.

Gaya hidup sederhana inilah dimaksudkan dalam al-Quran (al-Furqan: 67). Ulama tafsir menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan 'israaf' (pembaziran) yang disebutkan dalam ayat itu bukan hanya berlebih-lebihan tetapi setiap perbelanjaan dilakukan pada perkara tidak diredai Allah SWT dan 'iqtaar' (bakhil) adalah keengganan untuk berbelanja di jalan diredai Allah SWT.

Rasulullah SAW memberikan teladan mulia dalam hidup bersederhana apabila Baginda sering berlapar dan sentiasa memberikan apa sahaja yang dimiliki untuk kemaslahatan orang ramai.

Jika Rasulullah SAW mahu, Baginda boleh sahaja membina istana untuk dirinya dan keluarganya, namun Baginda lebih rela tidur di atas tikar kasar demi kesejahteraan masyarakat di sekelilingnya.

Bagi tujuan pendidikan kepada sahabatnya, Baginda bersabda: "Telah berjayalah orang mendapat hidayah Islam dan diberikan rezeki mencukupi (kafaaf) dan diberikan sifat qana'ah terhadap apa yang ia ada." (Hadis riwayat Muslim). Baginda juga dilaporkan berdoa: "Ya Allah, jadikanlah aku hidup dalam keadaan miskin, matikanlah aku dalam keadaan miskin." (Fath al-Bari, Ibn Hajar). Perkataan miskin ini perlu dibezakan dengan faqir bermaksud orang tidak mempunyai apa-apa, sedangkan miskin bermaksud orang mempunyai sedikit tetapi mencukupi.

Di sinilah pentingnya untuk kita memahami konsep kesederhanaan dalam Islam. Ia adalah satu gaya hidup pilihan. Berbanding gaya hidup berlebih-lebihan atau gaya hidup mewah, Islam menganjurkan gaya hidup sederhana.

Sesungguhnya gaya hidup sederhana ini kunci bukan sahaja kepada kebahagiaan individu di dunia dan akhirat, tetapi juga kunci kelestarian alam sekitar. Justeru, apabila manusia memilih gaya hidup bermewah-mewah, sentiasa berusaha untuk memuaskan kemahuan dan keinginan diri yang tidak pernah benar-benar tercapai, maka ia hanya akan merosakkan dirinya serta alam sekitar di sekelilingnya. Sebaliknya dengan gaya hidup sederhana, manusia akan kurang mengkonsumsi, kurang menghabiskan tenaga dan kurang menyebabkan pencemaran.

Apa lebih penting dari sudut pandang Islam adalah motivasi untuk hidup bersederhana ini bukanlah untuk matlamat keduniaan semata-mata tetapi lebih penting lagi adalah mencapai keredaan Allah SWT. Apabila seseorang berbelanja lebih, menghabiskan masa dan tenaga lebih untuk perkara tidak begitu penting, maka akan lebih banyak pertanggungjawaban yang mesti dipikul di akhirat.

Orang Islam bertakwa sedar bahawa apa dilakukan olehnya akan dipersoalkan di akhirat kelak. Ia akan memeriksa dirinya sama ada yang ia dilakukan itu demi kepentingan dan kepuasan peribadi atau demi membantu orang lain, makhluk lain, tujuan murni dan kemaslahatan sejagat.

Hanya perbuatan baik (amal soleh) akan bernilai ibadat dan mendapat pahala. Disebabkan itu juga Islam menggalakkan umatnya untuk bersedekah. Sedekah dalam erti kata menyumbang kerana Allah SWT tanpa mengharapkan pulangan material.

Dengan maksud ini sedekah adalah penyaluran sebahagian harta dimiliki untuk tujuan baik dan mulia, tentunya bukan daripada lebihan harta atau untuk tujuan duniawi seperti mengelakkan cukai, sebaliknya untuk tujuan menyumbang kepada masyarakat.

Manusia mengamalkan gaya hidup sederhana secara tabiinya akan menyumbang lebih banyak hartanya demi kebaikan, sebaliknya apabila mengamalkan gaya hidup konsumerisme, materialisme dan individualisme, maka gaya hidupnya itu hanya menatijahkan lebih banyak kerosakan kepada alam semesta.

Maka jelas, kesederhanaan dicanangkan Islam adalah cara hidup terbaik. Apabila kesederhanaan menjadi amalan dan budaya masyarakat, kita akan dapat melihat masa depan sejahtera bagi semua makhluk di muka bumi ini.

Penulis adalah Pengarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS-CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Related Article