Trending
Agama

Kajian metafizik berlandas Islam, bantu manusia capai makna kebahagiaan hakiki

Oleh Mohd Jamizal Zainol / Pengerusi, Yayasan Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (Yayasan PEACE)

Manusia di pasca-moden, hilang arah dan makna. Kehidupan menjadi kacau-bilau dan melelahkan. Manusia semakin ganas, hilang pertimbangan dan hilang empati. Peperangan, rasuah, membunuh diri dan cinta maddiyah (materialisme) menebal adalah penyakit semakin membungkam manusia masa kini.

Ini berpunca kehilangan makna kepada hakikat kehidupan. Manusia cuba mencari kebahagian melalui harta benda, kenikmatan jasmaniah, pengiktirafan pangkat dan gelaran semata-mata.

Melihat kehidupan dunia sebagai tragedi penuh dengan penipuan dan tipu daya. Percaya manusia perlu menjadi ubermensch atau manusia superman yang perlu mencari potensi tertinggi bagi menghadapi tipu daya dan cabaran dunia bagi menentukan kehidupan sendiri hingga lupa dan membunuh 'Tuhan'.

Tidak lagi percaya adanya hari pembalasan di alam selepas dunia, tetapi semuanya mesti dihadapi dan dinikmati sekarang. Memeluk erat faham sekular yang percaya kepada semua perkara bersifat subjektif dan nisbi.

Untuk itu, manusia ribuan tahun mencari makna kebahagiaan tertinggi dan kebaikan terbaik dalam kehidupan dan potensi tertinggi boleh dicapai manusia (summum bonum). Jiwa manusia resah gelisah mencari-cari dalam gelap mengenai makna kebahagiaan.

Kebahagiaan terletak kepada satu perkataan, iaitu keyakinan (certainty). Keyakinan kepada apa? Kebahagiaan tercapai apabila jiwa dan akal rasional mencapai tahap keyakinan kepada kebenaran dan kenyataan metafizik seperti hakikat ketuhanan, penciptaan dan ilmu.

Melalui pengkajian metafizik sahajalah manusia akan menemui kebahagiaan sebenar. Ini bukan asing kerana manusia terdiri daripada jasad dan jiwa. Jasad kenyang tetapi jiwa lapar masih membuatkan manusia menjadi gelisah dan kelam.

Hakikat kebahagiaan sebenar bagi manusia ialah kebahagiaan dicapai jiwa. Inilah membezakan manusia dengan haiwan. Jika hanya kenikmatan jasmaniah dicari, apa bezanya manusia dengan haiwan?

Justeru, pengkajian metafizik penting bagi setiap manusia bagi mencapai kebahagiaan sebenar.

Pertama, perlu difahami asas pengajian metafizik. Kita perlu memahami letak duduk ilmu metafizik ini dahulu sebelum menyentuh isu dibahaskan di bawah tajuk besar Metafizik.

Metafizik ialah perbahasan ontologi, kosmologi dan psikologi. Ontologi ialah pengajian mengenai realiti, kejadian (being) dan kewujudan (existence).

Kosmologi ialah pengajian mengenai alam semulajadi (tabiah) termasuk perbincangan mengenai unsur (matter), ruang (space) dan masa (time) sesuatu evolusi, sains serta pengetahuan mengenai dunia. Psikologi pula ialah penelitian mengenai masalah jiwa (soul) dan jasad (body) serta kesan metafiziknya kepada moral, etika dan agama.

Jika mengikut tradisi Islam, pengkajian metafizik perlu meluas merangkumi perbahasan ahli falsafah, ahli sufi dan ahli lalam.

Menurut Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam karyanya, Prolegomena to the Metaphysics of Islam memerikan pengkajian metafizik sebagai pengkajian pandangan mengenai kewujudan yang hak dan realiti menurut Islam.

Ia mesti merangkumi kehidupan di dunia ini dan juga di akhirat (inilah dikatakan hal ghaib atau as- Sam'iyyat seperti syurga dan neraka).

Pengkajian metafizik dalam Islam mesti menjawab persoalan (1) Hakikat Ketuhanan; (2) Hakikat Wahyu; (3) Hakikat Penciptaan (Creation); (4) Hakikat Manusia; (5) Hakikat Jiwa (Soul); (6) Hakikat Ilmu; (7) Hakikat Agama; (8) Hakikat Kebebasan (Freedom); (9) Hakikat Nilai dan Kebaikan (Values

and Virtues) serta (10) Hakikat Kebahagiaan.

Kendatipun begitu, pengkajian metafizik mesti berdasarkan tauhid yakni Tuhan Yang Maha Esa sebagai tunjang dan titik tengah perbahasan. Pengkajian metafizik tidak boleh hanya melalui perspektif falsafi atau hanya dengan perspektif kalam atau hanya menerusi perspektif sufi.

Dengan pengkajian berpecah-pecah ini pengkaji Muslim terbelenggu oleh polemik tiada kesudahan ratusan tahun berkenaan isu sebab-akibat (causality); keterlibatan Tuhan dalam menentukan sesuatu (occasionalism) dan kewujudan konsep tertentu di alam metafizik (universalisme) mengakibatkan kesan negatif kepada umat Islam antaranya isu kafir-mengkafir dan ekstremisme.

Pengkajian metafizik mestilah bersepadu melihat semua kekayaan khazanah intelektual Islam dalam hal metafizik dan membawa kepada suatu bentuk kesatuan serta keluasan pandangan alam (worldview) dalam Islam.

Dalam hal ini, semua tokoh Islam dalam tradisi falsafah, sufi dan kalam mesti dibaca, dikaji serta dihadam. Tokoh seperti Ibnu Sina, al-Farabi, al-Ghazali, Fakhrudin al-Razi, al-Iji, hatta Mulla Sadra, Suhrawardi, Rumi serta Ibnu Arabi perlu diteliti dan dikaji supaya berlakunya kesatuan pandangan dalam hal metafizik bagi membentuk pandangan Islam tuntas dalam hal metafizik.

Semua tokoh ini Muslim dan percaya kepada Tuhan Yang Maha Esa dan sudah tentu ahli dan

berautoriti dalam tradisi masing-masing kerana idea mereka masih dirujuk ilmuwan hingga ratusan tahun.

Mengapa pengkajian metafizik penting terutama dalam zaman edan sekarang? Pengkajian Metafizik penting dalam Islam kerana metafizik bukan hanya ditaakul melalui akal dan pengalaman pancaindera tetapi menaakul perbahasan di dalam agama mengenai realiti dan kebenaran seperti dinyatakan dalam al-Quran.

Ini termasuklah persoalan Lauhul Mahfuz, qada' dan qadar, Arasy dan Qalam yang dinyatakan dalam al-Quran. Adakah kita tidak berfikir mengapa ianya dinyatakan dalam al-Quran?

Nah, apabila ia dinyatakan dalam al-Quran, maka ia harus dikaji dan ini membuktikan pengkajian metafizik mesti selari dengan al-Quran.

Faham metafizik yang betul penting kerana tindakan betul (right action) hanya dapat dicapai jika ia selari, sepadan dan disahkan dengan realiti ontologi dan logik kebenaran.

Ontologi di sini bermaksud realiti setiap sesuatu (haqa'iq al-ashya') yang ditetapkan setegap-tegapnya dalam ilmu Tuhan dikenali sebagai al-ayan al-thabitah. Tindakan betul (right action) itu nanti akan memastikan kita sentiasa beradab.

Adab ialah kebolehan meletakkan sesuatu pada tempatnya berdasarkan hakikat sesuatu. Dengan adanya adab dalam diri manusia, maka hikmah akan timbul. Melalui hikmah ini nantilah, seseorang manusia dapat melaksanakan keadilan pada dirinya dan dalam masyarakat.

Pendek kata, peri pentingnya memugarkan semula pengkajian metafizik kerana ilmu inilah nanti berupaya untuk memberikan kebahagiaan sebenar kepada manusia. Ia memberikan keyakinan kepada manusia kepada makna sebenar mengenai kehidupan.

Penulis adalah Pengerusi, Yayasan Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (Yayasan PEACE)

Related Article