Trending
Agama

Al-Quran asas peradaban, sumber ilmu memajukan manusia

Al-Quran adalah puncak bagi segala mukjizat yang dikurniakan Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Bagi menyelami keindahan dan keluasan ilmu al-Quran, maka ia perlu didekati dan dibaca dengan penuh ta'zim lagi tahrim (penghormatan).

Keagungan al-Quran disampaikan kepada Rasulullah SAW dalam bahasa Arab yang baharu dan dizahirkan dengan jelas, gaya bahasa menakjubkan sehingga tidak mungkin sama sekali dapat dikelirukan atau dicampur aduk dengan hasil khayalan manusia.

Oleh sebab itu, hanya dengan satu lafaz sahaja sudah memadai untuk mengingatkan manusia mengenai kebesaran dan keluasan sifat Rahmat Tuhan. Keagungan al-Quran dengan susunan bahasa luar biasa mendorong seorang Arab Badwi bersujud walaupun belum memeluk Islam kerana terlalu asyik dan terpegun mendengar kalimah dibacakan di hadapannya.

Ini berlaku selepas hamba Allah ini mendengar ayat ke-44 Surah al-Hijr bermaksud; "Oleh itu, secara berterus-terang sampaikan apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad)".

Sebaik saja dia bersujud, seseorang bertanya kepadanya; "Adakah engkau memeluk Islam? Lalu dia menjawab, 'Tidak', tetapi aku sujud kerana kagum dengan balaghah yang terdapat pada ayat itu".

Apa yang dimaksudkan sebagai balaghah di sini secara umumnya adalah menyangkut mengenai kehalusan, kesesuaian dan keunikan lafaz digunakan dalam menerangkan suatu perkara di samping kekuatan makna terkandung dalamnya.

Setiap susunan lafaz dan ayat dalam al-Quran ibarat jarum jam menghitung saat, minit dan jam, yakni setiap satunya menyempurnakan di antara satu sama lain.

Al-Quran adalah sumber dapat menyuburkan dan memperkayakan akal dan ia juga ibarat santapan bagi hati serta ubat dan penawar bagi jiwa. Ia sentiasa segar, manis dan tidak memuakkan sehinggakan apabila salah seorang pemimpin Quraisy mendengar al-Quran daripada Rasulullah SAW, orang itu berkata; "Sesungguhnya ia dipenuhi dengan kemanisan dan kesegaran. Apa yang diucapkan Muhammad itu sedikitpun tidak menyerupai segala puisi yang ada".

Bagaimanapun, pemahaman mengenai al-Quran tidak akan sempurna tanpa disusuli dengan mendalami ilmu mengenai sunnah dan sirah Rasulullah SAW, ilmu fiqh, kalam, tasauf, sejarah dan selok-belok bahasa Arab al-Quran.

Persoalannya bagaimana kita dapat memahami sifat dan perbuatan Tuhan seperti dinyatakan dalam al-Quran sedangkan kita tidak pernah dibiasakan dengan ilmu yang menjadi prasyarat kepada tercapainya makrifat kebesaran dan keagungan Tuhan.

Ia termasuk bagaimana kita beroleh petunjuk dan pedoman ke jalan lurus seperti terkandung dalam al-Quran dan terdorong untuk menuruti segala contoh teladan Rasulullah SAW seperti diperintahkan dalam al-Quran.

Semua persoalan ini akan dapat diselesaikan jika ilmu yang betul lagi lengkap mengenai ajaran al-Quran dijadikan dasar dalam kehidupan. Jika al-Quran tidak difahami, nescaya akan mengakibatkan seseorang itu berada dalam keraguan, kekeliruan dan ingkar mengamalkan ajaran al-Quran.

Ilmu dan hikmah terkandung dalam al-Quran boleh diibaratkan seperti makanan lazat dan enak dihidangkan dalam jamuan dinikmati orang yang mempunyai darjat dan kedudukan yang tinggi.

Atas kefahaman yang mendalam hakikat al-Quran dan keyakinan tinggi mengenai kebenarannya, ia menjadi dorongan utama kepada ulama dan ahli ilmu zaman kegemilangan tamadun Islam menuntut ilmu di dalam ak-Quran.

Inilah juga yang menjadi tonggak utama dalam pembinaan ilmu sains dalam Islam. Malangnya, tradisi diamanahkan kepada kita ini hilang sedikit demi sedikit.

Amat malang jika ada pemimpin Islam dalam pelbagai bidang penting kehidupan insan hanya berpuas hati menjadi peniru dan pengikut tradisi ilmu pengetahuan menafikan al-Quran sebagai sumber ilmu utama.

Hakikatnya, warisan penting bagi orang Islam adalah ilmu dan ahli ilmu yang lahir dalam rangka al-Quran. Apa juga falsafah dan tradisi ilmu menafikan al-Quran sebagai sumber utama rujukan sebenarnya hanya berpandukan kepada tekaan atau agakan akal semata-mata.

Perlu disedari, kehidupan orang Islam akan menjadi suram, hambar dan tidak bermaya jika pemikiran mereka tidak lagi disinari oleh nur al-Qur'an.

Tidak hairanlah jika kita lihat masyarakat Islam hilang maruah dan rasa malu lalu sehingga sanggup melakukan kemungkaran serta pembohongan secara terang-terangan selain ada yang mabuk mengejar pangkat dan kemewahan.

Allah SWT mengingatkan supaya manusia tidak menjual kebenaran dengan harga yang murah dan tidak menukar-ganti keyakinan dengan keraguan serta jangan sekali-kali mencari kemuliaan selain daripada kemuliaan dari sisi Allah.

Namun sebahagian orang Islam menjadi 'pekak dan tuli' terhadap suruhan serta amaran ini. Bagi yang sedar dan benar-benar mahu memperakui dan menegakkan kebenaran al-Quran, mereka perlu bersabar tanpa memadamkan cita-cita untuk mengikut ajaran al-Quran.

Di samping itu, kita perlu menyediakan asas ilmiah kukuh berasaskan al-Quran kepada semua pembina peradaban. Pada masa sama, usaha perlu dirancang dengan kemas dan betul bagi melahirkan semula ahli fikir dan ilmu yang jujur serta ikhlas dalam memperkembangkan kebenaran al-Quran.

Penulis adalah Penulis adalah Pensyarah Program WISE

Related Article